Bible dari Jepun

Bible dari Jepun

Agar dapat memenuhi permintaan untuk Bible yang berkulit keras dan yang berkulit lembut, Saksi-Saksi Yehuwa telah memasang mesin penjilidan baru dalam kilang percetakan mereka di Ebina, Jepun.

Pada mulanya, terdapat masalah gangguan elektrik ekoran gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac 2011.

Namun demikian, projek pemasangan telah bermula pada September 2011. Kurang daripada tiga bulan kemudian, mesin penjilidan baru ini telah menghasilkan Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Cina.

Mesin penjilidan ini berfungsi secara automatik sepenuhnya, dan berukuran kira-kira 400 meter panjang. Proses mesin ini akan menjilid bahan cetakan, menambahkan kulit, menekannya, menyusunkannya, dan memasukkannya ke dalam kotak yang ditutup dan disusun pada palet.

Kerjasama Membawa Kejayaan

Projek itu berjaya kerana adanya perancangan dan pengaturan yang teliti. Sebagai contoh, bahagian-bahagian mesin penjilidan perlu dibalut, dimasukkan ke dalam kotak besar yang kemudiannya dimasukkan ke dalam 34 buah kontena, lalu dihantar dari Eropah ke Jepun.

Sepuluh orang dari pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Amerika Syarikat telah pergi ke Jepun untuk membantu dalam projek ini. Ada yang berada di Jepun selama enam bulan untuk mengajar para pekerja di Jepun cara mengendalikan dan menyelenggarakan mesin tersebut.

Mesin penjilidan baru itu menarik perhatian industri penjilidan, percetakan, dan penerbitan di Jepun. Pada 19 Mac 2012, lebih daripada seratus orang daripada bidang-bidang itu melawat kilang di cawangan Jepun. Mereka sangat kagum dengan apa yang dilihat.

Sebelum mereka beredar, setiap orang diberikan sebuah Bible Terjemahan Dunia Baru yang dihasilkan dengan menggunakan mesin baru itu.

Kini, cawangan kami di Jepun, Amerika Syarikat, dan Brazil bertanggungjawab menghasilkan Bible berkulit keras untuk Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia.

‘Projek Seterusnya akan Susah Sekali’

Saksi-Saksi dan para pekerja dari syarikat lain suka bekerja bersama-sama dalam projek ini. Seorang pekerja yang bukan Saksi berkata, “Kamu semua seperti keluarga saya.”

Pada hari terakhir projek itu, seorang lagi pekerja yang bukan Saksi berkata, “Projek seterusnya akan susah sekali, kerana tidak akan menggembirakan seperti projek di Watchtower!”