CAROL APPLEBY | KISAH HIDUP
Yehuwa Bantu Saya Membesarkan Lima Anak Saya
Sepanjang hidup saya, saya tinggal di North Yorkshire, England, berdekatan pekan Malton. Kawasan itu sangat cantik dan dikelilingi bukit bukau dan hutan yang indah. Ada padang rumput yang luas, jalan yang berliku-liku, dan rumah batu yang menawan. Suasana di sana sangat sesuai untuk membesarkan lima anak saya. Namun, ada banyak cabaran yang saya hadapi. Biar saya jelaskan.
Saya ada seorang abang, seorang kakak, dan dua adik. Keluarga kami ada sebuah ladang yang kecil. Kami membela ayam, babi, dan lembu, dan semua ini dapat bantu menampung kehidupan keluarga kami. Walaupun kami perlu kerja keras, kami berasa gembira.
Saya di ladang semasa berumur 14 tahun
Kami menghadiri gereja Methodist. Oleh sebab bapa saya pandai bernyanyi, dia menyertai koir gereja dan bahkan pergi ke gereja lain untuk membuat persembahan. Saya selalu mengikutnya. Gereja-gereja di situ sangat besar dan diperbuat daripada batu. Jadi semasa musim sejuk, bangunan itu sangat dingin. Biasanya, bapa akan bernyanyi di bahagian depan gereja. Tapi saya terpaksa duduk di belakang kerana barisan depan dikhaskan untuk orang yang berstatus. Biarpun begitu, saya gembira kerana dapat dengar nyanyian bapa yang merdu.
Nenek sebelah bapa melawat kami setiap hari Ahad. Tetapi semasa saya berumur 16 tahun, dia telah meninggal. Saya sangat sedih. Saya ingin tahu di mana dia berada dan sama ada saya dapat jumpa dia lagi. Jadi, saya pergi mencari seorang bomoh beberapa kali. Rumahnya sejuk dan seram. Saya rasa sangat takut di sana. Tapi saya betul-betul mahu tahu di mana nenek berada. Malang sekali, bomoh itu tidak dapat beritahu saya.
Beberapa tahun kemudian, salah seorang saudara-mara bapa saya yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa menjemput saya menghadiri perjumpaan. Saya pun pergi walaupun saya dengar bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ada ajaran yang pelik. Semasa perjumpaan itu, ada seorang wanita yang baik hati menawarkan pembelajaran Bible kepada saya. Itulah masanya saya mula menempuh haluan kehidupan. Pada mulanya, saya menggunakan Bible versi King James kerana ibu pernah beritahu saya bahawa Saksi-Saksi Yehuwa menggunakan terjemahan Bible yang tidak tepat. Tapi selepas belajar untuk suatu ketika, saya sedar itu tidak benar.
Saya sangat teruja semasa mempelajari kebenaran Bible, terutamanya tentang keadaan nenek. Dia seperti sedang tidur dan saya dapat jumpa dengannya lagi semasa dia dibangkitkan! a Semakin banyak saya belajar, semakin saya sedar saya langsung tidak tahu apa-apa tentang Tuhan atau Bible. Bapa saya yang telah pergi gereja selama bertahun-tahun pun tidak tahu apa-apa tentang Tuhan. Banyak kali kami nyanyi lagu gereja yang berjudul, “Bimbinglah Aku, Ya Yehuwa yang Berkuasa,” tapi kami tidak faham lagu itu tentang siapa.
Perkahwinan dan Tentangan
Teman lelaki saya, Ian, menunjukkan minat dalam kebenaran dan mula belajar Bible. Dia membuat kemajuan dan bahkan berhenti merokok. Kami telah berkahwin pada bulan September 1971. Tapi kemudian, kami menghadapi cubaan semasa ibu mentua saya tiba-tiba meninggal. Selain upacara pengebumian, ahli keluarga dan kawan baik kami menjemput kami untuk menyertai acara sosial. Semasa acara itu, mereka akan merokok dan minum banyak arak. Jadi, Ian berasa sangat tertekan untuk kembali kepada cara hidupnya yang lama.
Akhirnya, Ian mula menyerah kepada pengaruh buruk itu. Dia tidak lagi belajar Bible secara tetap dan mengabaikan perjumpaan. Saya pula sangat gembira melakukan aktiviti rohani. Saya menikmati pembelajaran Bible, perjumpaan, dan kerja menginjil. Pada 9 Mac 1972, saya dibaptis. Ian ada datang untuk melihat acara pembaptisan saya. Namun lama-kelamaan, dia menentang saya. Mula-mula, dia tidak mahu lagi melihat bahan bacaan kita. Selepas itu, dia tidak mahu saya pergi menginjil. Dia juga mendesak saya untuk mengikutnya pergi ke bar semasa parti Krismas dan hari jadi. Ada kalanya, saya mengikutnya kerana ingin tunjuk hormat kepadanya sebagai ketua keluarga. Tapi saya selalu berhati-hati agar tidak melakukan apa-apa yang bercanggah dengan prinsip Yehuwa. b Saya akan pergi ke bilik air dan berdoa berulang kali untuk meminta bantuan Yehuwa supaya dapat tetap setia dan mengekalkan hati nurani yang bersih. Saya dapat merasai bahawa Yehuwa selalu menyokong saya.
Saya dan Ian ada tiga anak lelaki, iaitu Philip, Nigel, dan Andrew. Ian bekerja sebagai pemandu lori jarak jauh. Jadi, dia hanya ada di rumah pada hujung minggu. Saya berusaha untuk menjadi seorang isteri yang baik, dan pada masa yang sama menyembah Yehuwa dengan bersungguh-sungguh. Saya akan melakukan aktiviti penyebaran semasa dia tiada. Apabila Ian ada di rumah pada hujung minggu, saya akan meluangkan masa bersamanya. Saya juga memastikan agar tidak memburuk-burukkannya di depan anak-anak kami.
Saya ada banyak kawan di sidang, dan saya juga membawa mereka melawat ibu bapa saya. Ibu bapa saya juga suka berkawan dengan saudara saudari. Apabila seorang saudara di sidang saya meninggal, ibu menghadiri ceramah pengebumiannya di Dewan Perjumpaan. Tidak lama selepas itu, ibu, bapa, abang saya Stanley, dan isterinya Averil mula belajar Bible dan dibaptis.
Saya dan Averil suka melakukan kerja penyebaran. Dia akan bawa dua orang anaknya dan saya juga akan bawa anak-anak saya bersama. Kami tiada kereta, jadi kami perlu berjalan sangat jauh sambil menolak kereta sorong bayi. Andrew akan duduk di dalam kereta sorong itu, Nigel akan duduk di bahagian atas, dan Philip pula akan berjalan di sebelah kami sambil memegang kereta sorong itu. Semasa membuat semua ini, hati kami penuh dengan sukacita.
Kami berkhemah semasa menghadiri konvensyen bersama Philip, Nigel, dan bapa saya
Melatih Anak-Anak Saya
Kemudian, saya dan Ian telah membesarkan dua lagi anak perempuan yang bernama Caroline dan Debbie. Saya bertekad untuk melatih dan membesarkan anak-anak saya dengan ajaran Yehuwa. Saya mahu melakukan yang terbaik dan menerapkan nasihat Bible untuk ibu bapa. Memandangkan saya sudah membaktikan diri kepada Yehuwa, saya mahu tunjuk kepada anak-anak bahawa saya pentingkan janji saya kepada Yehuwa dengan melakukan apa-apa sahaja mengikut cara-Nya.
Salah satu ayat Bible yang saya cuba hafalkan ialah 1 Korintus 15:33 yang kata, “Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.” Semasa satu perhimpunan, seorang saudari telah menceritakan bagaimana dia menggalakkan anak-anaknya untuk tetapkan batas dengan rakan sekolah dan tidak meluangkan terlalu banyak masa dengan mereka selepas waktu sekolah. Saya cuba terapkan cadangan itu, tapi ini memang tidak mudah. Kadangkala, anak lelaki saya akan keluar dari rumah secara diam-diam untuk main bola sepak dengan budak-budak lain. Walaupun budak-budak itu tidak jahat, mereka masih bukan penyembah Yehuwa, dan hal ini dapat dilihat daripada kata-kata dan kelakuan mereka.
Pernah sekali, saya beritahu anak saya kalau mereka mahu main bola sepak selepas habis sekolah, saya akan main dengan mereka. Tapi, nampaknya cara itu tidak begitu berhasil sebab saya langsung tidak pandai main bola sepak! Walaupun begitu, saya tidak putus asa. Saya terus bantu anak-anak saya lihat pentingnya untuk pilih pergaulan dengan bijak. Syukurlah anak-anak saya berusaha untuk mencari hiburan dan aktiviti yang seronok tanpa perlu bergaul rapat dengan orang yang tidak menyembah Yehuwa.
Satu lagi ayat Bible yang saya selalu ingat ialah 1 Yohanes 2:17. Ayat itu kata, “Dunia dan segala sesuatu di dalamnya yang diingini oleh manusia sedang berlalu, tetapi orang yang melakukan kehendak Tuhan akan hidup selama-lamanya.” Saya tahu dunia Syaitan akan berakhir. Jadi saya ingin membantu anak-anak saya untuk mengejar matlamat rohani dan membuat hati Yehuwa gembira selama-lamanya. Semasa menghadapi cabaran, tidak kira sekecil mana pun, saya akan berdoa meminta bantuan Yehuwa, dan saya selalu dapat mencari prinsip-prinsip Bible yang sesuai. Apabila saya tunjuk anak-anak apa yang Bible katakan, anak-anak dapat lihat nasihat itu bukan hanya daripada ibu mereka tapi sebenarnya daripada Yehuwa. Saya berusaha untuk menggalakkan mereka dengan kata-kata dan teladan saya, dan ini membawa kesan yang baik terhadap mereka. Contohnya, dari kecil lagi, mereka berusaha untuk melakukan kunjungan kembali masing-masing dalam kerja penyebaran, dan ini membawa sukacita dan galakan yang besar kepada mereka.
Saya tahu perjumpaan sangat penting. Tapi ada satu masalah. Saya perhatikan anak-anak selalu mengantuk semasa perjumpaan pertengahan minggu. Jadi pada hari perjumpaan, saya akan ambil mereka dari sekolah, dan kami akan makan sedikit, dan kemudian tidur sekejap. Masalah itu terus beres! Jika salah seorang daripada kami sakit dan tidak dapat pergi ke dewan, barulah kami tidak menghadiri perjumpaan. Jika begitu, kami akan kaji program perjumpaan di rumah. Selepas itu, barulah kami tengok TV. Ada kalanya, Ian akan pulang rumah secara tiba-tiba. Masa itu, kami akan cepat-cepat sembunyikan buku kami dan memasang TV.
Kami selalu memastikan kami mengadakan penyembahan keluarga. Ada kalanya, kami akan bincang tentang Bethel dan bahagian mana yang anak-anak mahu berkhidmat pada masa depan.
Dari kiri ke kanan: Anak-anak kesayanganku, iaitu Philip, Caroline, Debbie, Andrew, dan Nigel
Matlamat untuk Merintis
Semasa anak sulung saya, Philip, berumur 16 tahun dan akan tamat sekolah, dia diberi tawaran kerja sepenuh masa sebagai mekanik. Pada masa yang sama, dia juga dapat tawaran kerja sambilan untuk membersih tingkap. Dia fikir lebih baik dia bekerja sepenuh masa supaya dapat membantu menyara keluarga. Tapi, saya beritahu dia itu bukan tanggungjawab dia tetapi tanggungjawab bapanya untuk menjaga keperluan keluarga. Lagipun kami selalu ada apa yang kami perlukan. Saya jelaskan jika dia ambil kerja sambilan, dia dapat terus mula merintis.
Sejurus selepas Philip tamat sekolah, dia menceburi khidmat perintis biasa dan saya pula menjadi perintis sokongan. Nigel, anak kedua saya, juga mula merintis selepas dia tamat sekolah. Pada masa itu, saya memohon menjadi perintis biasa. Saya fikir jika saya dapat merintis biarpun hanya setahun, saya dapat menyokong anak-anak lelaki saya dalam kerja penyebaran dan menghadiri sekolah perintis bersama-sama. Hasrat saya tercapai kerana saya dapat menghadiri sekolah perintis bersama Nigel.
Saya sangat menikmati khidmat perintis dan saya tahu ini dapat menggalakkan anak-anak saya dan memberi teladan yang baik bagi mereka. Saya sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana saya dapat merintis secara berterusan selama 35 tahun. Jika suami saya tahu saya merintis, dia pasti menghalang saya. Tapi saya selalu rancang untuk menyertai aktiviti penyebaran semasa dia kerja supaya saya dapat meluangkan masa dengannya semasa dia ada di rumah.
Beberapa waktu kemudian, Nigel memohon untuk pergi ke Bethel dan telah diterima. Pergaulan dan latihan yang diterimanya telah membantunya menjadi seorang saudara yang matang. Philip dan Andrew juga telah menghadiri Sekolah Latihan Pengorganisasian. c Sewaktu mereka pergi, mereka seperti anak kecil di mata saya. Tapi mereka pulang sebagai lelaki yang dewasa dan matang. (1 Petrus 5:10) Semua sekolah yang disediakan oleh organisasi Yehuwa sangat bagus. Saya berterima kasih kepada Yehuwa dan organisasi-Nya kerana memberi latihan ini kepada anak-anak lelaki saya.
Dalam perjalanan untuk menyertai kerja penyebaran
Cabaran yang Besar
Sepanjang hidup saya, saya telah menghadapi beberapa cabaran yang besar. Salah satunya ialah suami saya telah berlaku curang selepas 33 tahun kami berkahwin. Dia meninggalkan saya dan pergi bersama orang lain. Satu lagi cabaran ialah melihat ibu bapa saya menjadi semakin tua. Bapa saya meninggal pada Mac 1997. Ini membuat ibu rasa sangat sunyi dan sedih. Oleh sebab dia tidak dapat memandu, saya akan selalu mengajaknya untuk keluar dan membuat kunjungan kembali bersama. Selepas beberapa tahun, dia juga memutuskan untuk menjadi perintis biasa. Keputusan ini telah memberi dia semangat yang baharu. Dia sangat menikmati kerja merintis dan telah melakukannya selama 10 tahun sehingga akhir hayatnya.
Semasa mengenang kembali, memang tidak senang untuk membesarkan lima anak dalam kebenaran. Saya tahu mereka perlu membuat keputusan sendiri sama ada untuk menyembah Yehuwa atau tidak. Walaupun saya tidak dapat menentukan langkah hidup mereka, saya dapat menentukan apa yang saya mahu lakukan. Jadi, saya berusaha sedaya upaya untuk mematuhi bimbingan Tuhan dan mengajar anak-anak melalui teladan dan kata-kata saya. Saya sangat bangga dengan mereka kerana akhirnya, mereka memilih untuk menyembah Tuhan. d Sememangnya, Yehuwa telah membantu saya membesarkan mereka dalam haluan-Nya.
Bersama anak-anak saya hari ini
a Lihat video Bagaimanakah Keadaan Orang Mati?
b Lihat penjelasan 5 “Sambutan dan Perayaan” dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!
c Sekolah ini digantikan dengan Sekolah Latihan Penginjil.
d Hari ini, Philip berkhidmat sebagai pengajar sekolah teokratik di Ireland. Nigel ialah seorang penjaga Dewan Perhimpunan di England. Andrew ialah seorang penatua dan sudah merintis selama 30 tahun. Caroline merintis selama lima tahun, dan Debbie tinggal bersama Carol dan menyokongnya dalam kerja penyebaran.

