Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Siapakah atau Apakah itu Firman Tuhan?

Jawapan Bible

Ungkapan “firman Tuhan” sering merujuk kepada suatu atau beberapa perkhabaran daripada Tuhan. (Lukas 11:28) Sesetengah ayat Bible menggunakan ungkapan “Firman Tuhan” atau “Firman” sebagai suatu gelaran.​—Wahyu 19:13; Yohanes 1:​14.

Mesej daripada Tuhan. Para nabi sering mengatakan bahawa mesej yang disampaikan mereka merupakan firman Tuhan. Misalnya, semasa Yeremia bernubuat, dia menggunakan ungkapan ‘Yehuwa berfirman kepadaku.’ (Yeremia 1:​4, 11, 13; 2:1) Selain itu, sebelum Samuel memberitahu Saul bahawa Tuhan melantiknya sebagai raja, Samuel berkata, ‘Berhentilah di sini sebentar. Aku hendak memberitahukan firman Tuhan kepadamu.’​—1 Samuel 9:​27.

Gelaran. Dalam Bible, Yesus Kristus juga digelar “Firman,” baik sebagai makhluk roh di syurga mahupun sebagai manusia di bumi. Perhatikan beberapa contoh:

  • Firman itu wujud sebelum segala sesuatu diciptakan. Bible menyatakan, ‘Pada mulanya, Firman itu wujud. Pada mulanya dia sudah ada bersama Tuhan.’ (Yohanes 1:​1, 2) Yesus ialah ‘anak sulung antara semua ciptaan. Dia wujud sebelum segala sesuatu yang lain diciptakan.’​—Kolose 1:​13-​15, 17.

  • Firman itu turun ke bumi dan menjadi manusia. Menurut catatan Bible, “Firman itu telah menjadi manusia dan tinggal dalam kalangan kita.” (Yohanes 1:​14) Kristus Yesus telah ‘melepaskan segala-gala yang dimilikinya dan menjadi seperti seorang hamba. Dia menjadi seorang manusia.’​—Filipi 2:​5-7.

  • Firman itu ialah Anak Tuhan. Yohanes berkata bahawa “Firman itu telah menjadi manusia.” Kemudian dia berkata, “Kita telah melihat kemuliaannya, iaitu kemuliaan yang dimiliki anak tunggal seorang bapa.” (Yohanes 1:​14) Yohanes juga menulis bahawa “Yesus ialah Anak Tuhan.”​—1 Yohanes 4:​15.

  • Firman itu mencerminkan sifat-sifat Tuhan. Bible mencatatkan bahawa “Firman itu tuhan,” atau “seperti tuhan.” (Yohanes 1:1, nota kaki) Yesus “mencerminkan kemuliaan Tuhan dan merupakan gambaran tepat bagi Tuhan.”​—Ibrani 1:​2, 3.

  • Firman itu memerintah sebagai raja. Bible menyatakan bahawa di atas kepala Firman Tuhan “terdapat banyak mahkota.” (Wahyu 19:12, 13) Firman itu juga dipanggil “Raja atas segala raja dan Tuan atas segala tuan.” (Wahyu 19:16) Yesus juga dipanggil “Raja ke atas mereka yang memerintah sebagai raja dan Tuan ke atas mereka yang memerintah sebagai tuan.”​—1 Timotius 6:​14, 15.

  • Firman itu merupakan jurucakap Tuhan. Gelaran “Firman” ditujukan kepada seseorang yang digunakan oleh Tuhan untuk menyampaikan mesej dan arahan-Nya. Yesus menunjukkan bahawa dia memainkan peranan tersebut. Dia berkata, ‘Bapa yang mengutus aku telah memberikan perintah kepadaku tentang apa yang harus dikatakan dan apa yang harus disampaikan. Apa sahaja yang aku katakan merupakan apa yang diberitahukan oleh Bapa kepadaku.’​—Yohanes 12:49, 50.