Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Bilakah Yesus Lahir?

Bilakah Yesus Lahir?

Jawapan Bible

Bible tidak menyatakan secara spesifik tarikh lahir Yesus Kristus. Perhatikan rujukan berikut:

  • “Tarikh sebenar kelahiran Kristus tidak diketahui.”—New Catholic Encyclopedia.

  • “Tanggal sebenar Kristus dilahirkan tidak diketahui.”—Encyclopedia of Early Christianity.

Bible tidak menyatakan jawapan secara langsung kepada soalan “Bilakah Yesus Lahir?” Namun berkenaan kelahiran Yesus, Bible menyatakan dua peristiwa yang berlaku pada masa itu. Melalui dua peristiwa tersebut, ramai orang menyimpulkan bahawa Yesus tidak dilahirkan pada 25 Disember.

Bukan pada musim sejuk

  1. Pembancian. Tidak lama sebelum kelahiran Yesus, Kaisar Agustus telah membuat satu undang-undang yang mengarahkan “semua penduduk bumi untuk mendaftarkan diri.” Semua orang harus pulang “ke kota masing-masing.” Ada yang mungkin perlu mengadakan perjalanan jauh selama seminggu atau lebih. (Lukas 2:1-3) Perintah tersebut mungkin dibuat untuk mendapatkan cukai dan untuk mengambil anggota baharu bagi pasukan tentera. Pada bila-bila masa pun, perintah sebegini tidak akan menyenangkan hati rakyat. Jadi tidak mungkin Agustus menyuruh rakyatnya membuat perjalanan yang jauh pada musim sejuk, kerana hal ini mungkin menimbulkan kemarahan rakyat.

  2. Kawanan biri-biri. Gembala-gembala “berada di padang terbuka untuk menjaga kawanan biri-biri mereka.” (Lukas 2:8) Menurut buku Daily Life in the Time of Jesus, kawanan biri-biri berada di padang terbuka dari “satu minggu sebelum hari Paska [akhir bulan Mac]” sehingga pertengahan November. Buku itu juga menulis: “Biri-biri akan berlindung di dalam kandang semasa musim sejuk. Daripada catatan ini sahaja, kita dapat menyimpulkan bahawa tarikh Krismas yang ditetapkan sejak dahulu lagi, iaitu pada musim sejuk, adalah kurang tepat. Hal ini kerana buku Lukas mencatatkan bahawa para gembala berada di padang terbuka.”

Pada awal musim luruh

Kita boleh menggunakan tarikh kematian Yesus untuk mengetahui bila dia dilahirkan. Yesus mati pada musim bunga tanggal 14 bulan Nisan tahun 33 M, pada hari Paska. (Yohanes 19:14-16) Dia memulakan kerja penyebarannya semasa dia berumur sekitar 30 tahun, dan dia menginjil selama tiga tahun setengah. (Lukas 3:23) Maka, kita dapat menyimpulkan bahawa Yesus lahir sekitar awal musim luruh, 2 SM.

Mengapakah Krismas jatuh pada 25 Disember?

Memandangkan tiada bukti yang menunjukkan bahawa Yesus Kristus lahir pada 25 Disember, mengapakah Krismas dirayakan pada tanggal tersebut? Encyclopædia Britannica menyatakan bahawa pemimpin gereja mungkin memilih tarikh itu supaya perayaan itu berlangsung pada hari yang sama dengan “perayaan orang Roma kafir yang menyambut ‘hari jadi matahari yang tidak tertakluk,’” iaitu pada solstis musim sejuk. Menurut The Encyclopedia Americana, ramai cendekiawan percaya bahawa semua ini dibuat agar “agama Kristian menjadi lebih bermakna kepada orang kafir yang memeluk agama Kristian.”