Dua Tawarikh 6:1-42

  • Ucapan Salomo kepada orang Israel (1-11)

  • Doa Salomo semasa perasmian Rumah Tuhan (12-42)

6  Pada waktu itu, Salomo berkata, “Ya Yehuwa, Engkau berfirman bahawa Engkau akan tinggal di dalam awan tebal itu.+ 2  Aku telah membina sebuah rumah yang agung untuk-Mu, sebuah tempat yang ditetapkan untuk menjadi kediaman-Mu buat selama-lamanya.”+ 3  Kemudian raja berpaling menghadap segenap umat Israel yang sedang berdiri dan mula memberkati mereka.+ 4  Dia berkata, “Terpujilah Yehuwa, Tuhan orang Israel. Dia telah berjanji kepada ayahanda beta Daud, dengan mulut-Nya sendiri, dan telah menunaikan janji-Nya dengan tangan-Nya sendiri. Dia pernah berfirman, 5  ‘Sejak Aku membawa umat-Ku keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh kawasan suku Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah supaya nama-Ku tetap berada di situ.+ Aku juga belum memilih seseorang untuk menjadi pemimpin umat-Ku Israel. 6  Tetapi sekarang Aku memilih Yerusalem+ supaya nama-Ku tetap berada di situ, dan Aku memilih Daud untuk memerintah umat-Ku Israel.’+ 7  Daud, ayahanda beta, memang berhasrat untuk membina sebuah rumah bagi memuliakan nama Yehuwa, Tuhan orang Israel.+ 8  Tetapi Yehuwa berfirman kepada ayahanda beta, ‘Engkau berhasrat untuk membina sebuah rumah bagi memuliakan nama-Ku, dan hasratmu ini memang baik. 9  Namun engkau tidak akan membinanya. Anakmu, ya anakmu sendirilah yang akan membina rumah untuk memuliakan nama-Ku.’+ 10  Yehuwa telah menunaikan janji-Nya. Beta telah duduk di atas takhta Israel dan menggantikan ayahanda beta sebagai raja,+ seperti yang telah dijanjikan oleh Yehuwa.+ Beta juga telah membina sebuah rumah untuk memuliakan nama Yehuwa, Tuhan orang Israel. 11  Di sana, beta telah meletakkan tabut yang mengandungi batu-batu tulis yang mencatatkan perjanjian+ antara Yehuwa dengan orang Israel.” 12  Kemudian Salomo berdiri di hadapan mazbah Yehuwa, di hadapan semua orang* Israel. Dia mengangkat kedua-dua tangannya ke langit.+ 13  (Salomo telah membina sebuah pentas tembaga dan meletakkannya di tengah-tengah halaman.+ Pentas itu berukuran lima hasta* panjang, lima hasta lebar, dan tiga hasta tinggi. Dia berdiri di atas mazbah itu.) Sambil mengangkat tangannya ke langit, dia berlutut di hadapan semua orang Israel+ 14  dan berdoa, “Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, tidak ada Tuhan lain seperti Engkau, baik di syurga mahupun di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dan memperlihatkan kasih yang setia kepada hamba-hamba-Mu yang menyembah-Mu dengan sepenuh hati.+ 15  Engkau menepati janji-Mu kepada bapaku Daud.+ Engkau telah berjanji dengan mulut-Mu sendiri, dan Engkau telah menunaikannya dengan tangan-Mu sendiri pada hari ini.+ 16  Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, tunaikanlah juga janji ini, iaitu janji yang telah Engkau ucapkan kepada bapaku Daud semasa Engkau berfirman, ‘Jika keturunanmu memperhatikan jalan hidup mereka dan mematuhi hukum-Ku,+ seperti yang engkau lakukan, salah seorang daripada mereka akan sentiasa berada di hadirat-Ku dan duduk di atas takhta Israel.’+ 17  Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, semoga janji-Mu kepada hamba-Mu Daud menjadi kenyataan. 18  “Tetapi adakah Tuhan akan betul-betul tinggal di bumi bersama umat manusia?+ Bahkan langit, ya seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu,+ apalagi rumah yang telah aku bina ini!+ 19  Ya Yehuwa, Tuhanku, dengarlah doa hamba-Mu, dan kabulkanlah permohonannya. Dengarlah hamba-Mu apabila hamba-Mu berdoa dan berseru meminta tolong di hadapan-Mu. 20  Semoga mata-Mu memerhatikan rumah ini siang dan malam, dan dengarlah hamba-Mu apabila dia berdoa menghadap ke tempat ini, kerana Engkau telah berfirman bahawa nama-Mu akan ada di sini.+ 21  Dengarlah seruan hamba-Mu dan umat-Mu Israel yang meminta pertolongan semasa mereka berdoa menghadap ke tempat ini.+ Semoga Engkau mendengar dari tempat kediaman-Mu di syurga,+ ya semoga Engkau mendengar dan mengampuni mereka.+ 22  “Jika seorang daripada hamba-Mu dituduh bersalah dan disuruh mengangkat sumpah,* lalu dia datang menghadap-Mu di depan mazbah di rumah ini selepas mengangkat sumpah itu,+ 23  dengarlah dari syurga dan hakimilah hamba-Mu itu. Ambillah tindakan terhadap orang yang bersalah dan jatuhkanlah hukuman yang setimpal dengan perbuatannya,+ dan nyatakanlah siapa yang tidak bersalah dan berikanlah berkat yang sesuai dengan perbuatan baiknya.+ 24  “Apabila umat-Mu Israel dikalahkan oleh musuh kerana mereka terus berdosa terhadap-Mu,+ tetapi kemudian mereka kembali kepada-Mu, memuliakan nama-Mu,+ dan berdoa+ serta membuat permohonan kepada-Mu di rumah ini,+ 25  semoga Engkau mendengar dari syurga+ dan mengampunkan dosa umat-Mu Israel. Bawalah mereka pulang ke tanah yang telah Engkau berikan kepada mereka dan nenek moyang mereka.+ 26  “Apabila langit tertutup dan tidak ada hujan yang turun+ kerana mereka terus berdosa terhadap Engkau,+ tetapi kemudian mereka berdoa menghadap ke tempat ini dan memuliakan nama-Mu serta bertaubat daripada dosa mereka kerana Engkau mengizinkan mereka menderita,*+ 27  semoga Engkau mendengar dari syurga dan mengampunkan dosa hamba-hamba-Mu, umat Israel. Ajarlah mereka haluan benar yang harus diikuti,+ dan turunkanlah hujan+ ke atas tanah yang telah Engkau berikan kepada mereka sebagai warisan. 28  “Jika negeri ini ditimpa kebuluran+ atau wabak penyakit,+ jika tanaman diserang penyakit,*+ angin panas, atau kawanan belalang juta yang lahap,+ jika mana-mana kota umat-Mu dikepung oleh musuh,+ jika umat-Mu ditimpa tulah atau penyakit,+ 29  lalu seseorang atau segenap umat-Mu mengangkat tangan ke arah rumah ini+ untuk berdoa+ atau membuat permohonan+ (kerana masing-masing tahu akan penderitaan dan keperitan diri sendiri),+ 30  semoga Engkau mendengar dari tempat kediaman-Mu di syurga,+ dan semoga Engkau mengampuni mereka.+ Berkatilah setiap orang sesuai dengan perbuatannya kerana Engkau tahu apa yang ada dalam hatinya. Ya, Engkau sahajalah yang benar-benar tahu isi hati manusia.+ 31  Dengan demikian, mereka akan takut kepada-Mu dan menyembah-Mu selama mereka hidup di tanah yang Engkau berikan kepada nenek moyang kami. 32  “Selain itu, berkenaan orang asing yang bukan sebahagian daripada umat-Mu Israel, yang telah datang ke sini dari negeri yang jauh kerana mendengar tentang nama-Mu yang agung,+ tangan-Mu yang perkasa, dan lengan-Mu yang terentang untuk bertindak, lalu dia datang dan berdoa menghadap ke arah rumah ini,+ 33  semoga Engkau mendengar dari tempat kediaman-Mu di syurga. Kabulkanlah segala permintaan orang asing itu agar semua orang di bumi menjadi seperti umat-Mu Israel yang mengenal nama-Mu+ dan takut kepada-Mu serta mengetahui bahawa nama-Mu ada pada rumah yang telah aku bina ini. 34  “Jika Engkau mengutus umat-Mu untuk berperang melawan musuh mereka,+ dan mereka berdoa+ kepada-Mu di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih dan rumah yang telah aku bina untuk nama-Mu ini,+ 35  dengarlah doa dan permohonan mereka dari syurga, lalu pastikanlah bahawa mereka diperlakukan dengan adil.+ 36  “Jika mereka berdosa terhadap-Mu (kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa),+ dan Engkau murka lalu membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri yang jauh ataupun dekat,+ 37  tetapi jika mereka sedar dan berpaling kepada-Mu semasa menjadi tawanan di negeri musuh, lalu mereka merayu kepada-Mu dan berkata, ‘Kami telah berdosa dan berbuat salah. Kami telah berbuat jahat,’+ 38  dan mereka kembali kepada-Mu dengan sepenuh hati+ dan jiwa, serta berdoa sambil menghadap tanah yang Engkau berikan kepada nenek moyang mereka, kota yang telah Engkau pilih,+ dan rumah yang telah aku bina untuk nama-Mu, 39  dengarlah doa dan permohonan mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga. Pastikanlah mereka diperlakukan dengan adil+ dan ampunilah umat-Mu yang telah berdosa terhadap-Mu. 40  “Ya Tuhan, semoga Engkau menumpukan perhatian dan mendengar semua doa yang diucapkan dari* tempat ini.+ 41  Ya Tuhan Yehuwa, hendaklah Engkau dan tabut yang melambangkan kekuatan-Mu itu tinggal di tempat ini.+ Ya Tuhan Yehuwa, semoga imam-imam-Mu menyingkapkan bahawa penyelamatan berasal daripada-Mu.* Semoga umat-Mu yang setia bersukacita kerana kebaikan-Mu.+ 42  Ya Tuhan Yehuwa, janganlah mengabaikan orang yang telah Engkau urapi.+ Ingatlah akan kasih setia-Mu kepada hamba-Mu Daud.”+

Nota Kaki

^ Atau “seluruh sidang.” Lihat Kamus.
^ Iaitu, sumpah yang membawa hukuman jika seseorang menipu atau tidak dapat memenuhinya.
^ Atau “membuat mereka rendah hati.”
^ Atau “kulapuk.”
^ Atau “tentang.”
^ Harfiah, “Semoga imam-imam-Mu memakai kain penyelamatan.”