Yehezkiel 2:1-10

  • Yehezkiel diutus sebagai nabi (1-10)

    • ‘Sama ada mereka mendengar atau tidak’ (5)

    • Ditunjukkan gulungan yang mengandungi lagu ratapan (9, 10)

2  Dia berfirman kepada aku, “Anak manusia,* berdirilah. Aku hendak berfirman kepadamu.”+ 2  Apabila Dia berfirman kepadaku, kuasa suci-Nya menguasai aku lalu aku dapat berdiri+ dan mendengar Dia berfirman. 3  Dia berfirman, “Anak manusia, Aku mengutus engkau kepada orang Israel,+ iaitu bangsa-bangsa yang telah menentang dan memberontak terhadap Aku.+ Mereka dan nenek moyang mereka telah berdosa terhadap-Ku dari dahulu sampai sekarang.+ 4  Aku mengutus engkau kepada anak-anak yang suka memberontak dan keras kepala.+ Engkau harus berkata kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.’ 5  Bangsa Israel suka memberontak,+ jadi sama ada mereka mendengar engkau atau tidak, mereka akan tahu bahawa ada seorang nabi dalam kalangan mereka.+ 6  “Tetapi engkau, hai anak manusia, janganlah takut akan mereka+ atau kata-kata mereka, meskipun engkau dikelilingi duri dan semak berduri,*+ dan hidup di tengah-tengah kala jengking. Janganlah takut akan kata-kata mereka,+ dan janganlah gentar semasa engkau nampak wajah mereka+ kerana mereka memang suka memberontak. 7  Sama ada mereka mendengar atau tidak, engkau harus menyampaikan firman-Ku kepada mereka yang suka memberontak itu.+ 8  “Hai anak manusia, dengarlah firman-Ku. Janganlah memberontak seperti bangsa Israel yang suka memberontak. Bukalah mulutmu dan makanlah apa yang Aku berikan ini.”+ 9  Ketika aku memandang, aku nampak tangan yang terhulur ke arahku.+ Tangan itu memegang sebuah gulungan yang bertulis.+ 10  Apabila gulungan itu dibuka, aku nampak ada tulisan pada kedua-dua belahnya,+ dan padanya tertulis lagu-lagu ratapan, keluhan, dan rintihan.+

Nota Kaki

^ “Anak manusia” digunakan buat kali pertama di ayat ini. Gelaran ini muncul sebanyak 93 kali di dalam buku Yehezkiel.
^ Atau mungkin, “meskipun mereka berdegil dan meskipun mereka seperti benda-benda tajam yang menusuk engkau.”