Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

PELAJARAN 3

Benarkah Berita Baik Berasal daripada Tuhan?

Benarkah Berita Baik Berasal daripada Tuhan?

1. Siapakah Pengarang Bible?

Berita baik bahawa manusia akan tinggal di bumi buat selama-lamanya telah ditulis di dalam Bible. (Mazmur 37:29) Bible terdiri daripada 66 buah buku kecil. Tuhan menggunakan kira-kira 40 orang lelaki yang setia untuk menulisnya. Lima buah buku pertama dalam Bible ditulis oleh Musa sekitar 3,500 tahun dahulu. Buku terakhir pula ditulis oleh rasul Yohanes kira-kira 1,900 tahun dahulu. Para penulis Bible menulis fikiran siapa? Tuhan berfirman kepada mereka melalui daya aktif-Nya. (2 Samuel 23:2) Mereka menulis fikiran Tuhan, bukannya fikiran sendiri. Jadi, Yehuwa ialah Pengarang Bible.​—Baca 2 Timotius 3:16; 2 Petrus 1:20, 21.

2. Mengapakah kita pasti bahawa Bible berasal daripada Tuhan?

Kita tahu bahawa Bible berasal daripada Tuhan kerana Bible menyatakan masa depan dengan tepat dan terperinci. Tiada manusia yang boleh berbuat demikian. (Yosua 23:14) Hanya Tuhan Yang Maha Kuasa dapat mengetahui masa hadapan manusia dengan tepat.​—Baca Yesaya 42:9; 46:10.

Bible yang berasal daripada Tuhan memang istimewa. Berbilion-bilion naskhah Bible telah diedarkan dalam ratusan bahasa. Meskipun kitab ini ditulis lama dahulu, isinya selaras dengan fakta-fakta sains. Tambahan lagi, catatan yang dibuat oleh 40 orang penulisnya tidak bercanggahan. Seterusnya, Bible mencerminkan kasih Tuhan, dan dapat membantu orang memperbaik hidup mereka. Semua ini telah meyakinkan jutaan orang bahawa Bible ialah Firman Tuhan.​—Baca 1 Tesalonika 2:13.

3. Apakah maklumat yang terkandung dalam Bible?

Bible bertemakan berita baik bahawa Tuhan mengasihi manusia dan mempunyai tujuan yang baik untuk mereka. Bible menceritakan bagaimana manusia kehilangan bumi firdaus, dan bagaimana firdaus akan dipulihkan.​—Baca Wahyu 21:4, 5.

Firman Tuhan juga mengandungi pelbagai hukum, prinsip, dan nasihat. Selanjutnya, Bible mencatatkan cara Tuhan memperlakukan manusia, dan kita boleh belajar tentang sifat-sifat Tuhan menerusi catatan tersebut. Maka, Bible dapat membantu anda mengenali Tuhan. Bible menjelaskan bagaimana anda dapat menjadi sahabat Tuhan.​—Baca Mazmur 19:812; Yakobus 2:23; 4:8.

4. Bagaimanakah anda dapat memahami Bible?

Semasa Yesus mengajar orang, dia menerangkan ayat Bible satu demi satu agar mereka dapat memahami maksudnya. Kaedah yang sama akan digunakan dalam brosur ini.​—Baca Lukas 24:27, 45.

Berita baik daripada Tuhan sememangnya sangat menarik. Tetapi sesetengah orang tidak mempedulikannya, dan ada yang bahkan tidak menyukainya. Janganlah tawar hati. Jika anda ingin hidup selama-lamanya, anda harus mengenali Tuhan.​—Baca Yohanes 17:3.