Lompat ke kandungan

Apakah Itu Watch Tower Bible and Tract Society?

Apakah Itu Watch Tower Bible and Tract Society?

 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania ialah sebuah perbadanan yang tidak bertujuan untuk mengaut keuntungan. Perbadanan ini ditubuhkan pada tahun 1884 di bawah undang-undang Komanwel Pennsylvania, A.S. Saksi-Saksi Yehuwa menggunakan perbadanan ini untuk menyokong kegiatan sedunia mereka, termasuk menerbitkan Bible serta bahan bacaan Bible.

 Berdasarkan piagamnya, perbadanan ini ditubuhkan untuk tujuan “keagamaan, pendidikan, dan kebajikan,” terutamanya dalam “menginjil dan mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan yang dipimpin oleh Yesus Kristus.” Keahlian bagi perbadanan ini bukannya berdasarkan jumlah sumbangan yang diberikan. Sebaliknya, seseorang perlu dijemput untuk menjadi ahli. Ahli-ahli dan para pengarah perbadanan ini membantu Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa.

Penyeliaan Badan Berdaftar yang Lain

 Selain Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania, Saksi-Saksi Yehuwa juga menggunakan badan-badan berdaftar yang lain di pelbagai negara. Sesetengah daripada badan berdaftar ini menggunakan nama “Watch Tower,” “Watchtower,” atau terjemahan bagi nama ini dalam bahasa tempatan. a

 Sejak ditubuhkan, badan-badan berdaftar ini telah membantu kami mencapai banyak perkara seperti yang berikut:

  •   Penulisan dan penerbitan. Kami telah menerbitkan sekitar 220 juta Bible dan kira-kira 40 bilion bahan bacaan Bible. Bahan terbitan kami disediakan dalam lebih daripada 900 bahasa. Laman web jw.org membolehkan orang untuk membaca Bible dalam talian secara percuma dalam lebih daripada 160 bahasa. Mereka juga boleh mendapatkan jawapan kepada soalan Bible seperti, “Apakah Itu Kerajaan Tuhan?

  •   Pendidikan. Kami menyediakan pelbagai sekolah Bible. Contohnya, sejak tahun 1943, sekitar 9,000 orang Saksi-Saksi Yehuwa telah meraih manfaat daripada latihan intensif menerusi Sekolah Latihan Gilead. Sekolah ini membolehkan mereka untuk berkhidmat sebagai mubaligh atau untuk memantapkan dan memajukan kerja menginjil di seluas dunia. Selain itu, berjuta-juta orang, termasuk yang bukan Saksi, mendapat manfaat daripada perjumpaan sidang yang diadakan setiap minggu. Kami juga mengadakan kelas membaca dan menulis serta telah menghasilkan sebuah buku teks dalam 120 bahasa untuk tujuan ini.

  •   Kebajikan. Kami telah menghulurkan bantuan kebendaan kepada mangsa-mangsa tragedi tidak kira yang disebabkan oleh manusia atau yang berlaku secara semula jadi, seperti pembunuhan kaum di Rwanda pada tahun 1994 dan gempa bumi di Haiti pada tahun 2010.

  Sememangnya, banyak perkara telah dicapai menerusi perbadanan dan badan-badan berdaftar. Namun, kerja kami tidak bergantung pada mana-mana pihak ini. Setiap orang Kristian mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan perintah Tuhan untuk menginjil dan mengajar orang tentang berita baik. (Matius 24:14; 28:19, 20) Kami percaya bahawa Tuhan sedang menyokong kerja kami dan Dialah yang terus “menyebabkannya bertumbuh.”—1 Korintus 3:6, 7.

a Badan berdaftar yang digunakan di Malaysia dikenali sebagai Pertubuhan Bible dan Risalah Watchtower Malaysia.