Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Apakah Pandangan Saksi-Saksi Yehuwa tentang Sains?

Kami menghormati pencapaian sains dan percaya kepada penemuan saintifik yang disokong bukti yang kukuh.

Sebuah kamus menjelaskan bahawa “sains ialah bidang ilmu dan kajian tentang sifat dan perkara alam semula jadi.” (Collins Cobuild Advanced Learner’s English Dictionary) Walaupun Bible bukan sebuah buku teks sains, Bible menggalakkan orang untuk mengkaji alam semula jadi dan mendapat manfaat daripada penemuan saintifik. Pertimbangkan beberapa contoh:

  • Astronomi: “Pandanglah ke langit dan perhatikanlah! Siapakah yang menciptakan bintang-bintang? Dia yang menyuruh bintang keluar seperti pasukan askar, Dia tahu akan jumlahnya, dan memanggil nama setiap bintang! Kuasa-Nya amat besar—tidak satu bintang pun yang hilang!”​—Yesaya 40:26.

  • Biologi: Salomo “berbicara tentang pokok dan tumbuh-tumbuhan: daripada pokok sedar yang tumbuh di pergunungan Lebanon sampai kepada rumput hisop yang tumbuh di tembok. Baginda berbicara tentang binatang, burung, reptilia dan ikan.”​—1 Raja-Raja 4:​33.

  • Perubatan: “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit.”​—Lukas 5:​31.

  • Meteorologi: ‘Pernahkah engkau melawat ke gudang-gudang-Ku, tempat Aku menyimpan salji dan hujan batu? Pernahkah engkau pergi ke tempat asal angin timur?’​—Ayub 38:22-​24.

Kami menggalakkan orang untuk menghormati bidang sains. Bahan bacaan kami mempunyai banyak rencana mengenai alam semula jadi dan pencapaian saintifik. Ibu bapa yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa menggalakkan anak mereka untuk memperoleh pendidikan supaya dapat memahami dunia di sekitar mereka. Sebilangan Saksi-Saksi Yehuwa juga menceburi bidang sains, termasuk bidang biokimia, matematik, dan fizik.

Keterbatasan sains

Kami tidak percaya bahawa sains dapat menjawab semua soalan umat manusia. * Sebagai contoh, ahli geologi mengkaji bumi, dan ahli biologi mengkaji tubuh manusia. Tetapi mengapakah bumi begitu sesuai untuk kehidupan, dan mengapakah anggota tubuh kita dapat berfungsi dengan harmoni?

Hanya Bible dapat memberikan jawapan yang memuaskan kepada soalan-soalan tersebut. (Mazmur 139:13-​16; Yesaya 45:18) Oleh itu, kami percaya bahawa pendidikan yang baik haruslah merangkumi ilmu sains dan pengetahuan Bible.

Kadangkala orang fikir bahawa penemuan sains bercanggah dengan ajaran Bible. Tetapi pada hakikatnya, mereka tidak betul-betul memahami ajaran Bible. Sebagai contoh, Bible tidak menyatakan bahawa bumi diciptakan dalam masa enam hari dan panjang setiap hari itu ialah 24 jam.​—Kejadian 1:1; 2:4.

Ahli-ahli sains yang dihormati telah menolak sesetengah teori saintifik yang popular kerana teori-teori itu tidak disokong oleh bukti yang kukuh. Sebagai contoh, kerana alam semula jadi mempunyai reka bentuk yang pintar, ramai ahli biologi, ahli kimia, dan pakar-pakar lain, menyimpulkan bahawa mutasi dan pemilihan semula jadi tidak dapat menghasilkan pelbagai spesies hidupan yang baharu. Kami bersetuju dengan kesimpulan mereka.

^ per. 10 Erwin Schrödinger, seorang ahli fizik Austria dan pemenang hadiah Nobel, menulis bahawa sains “tidak dapat memberikan jawapan . . . untuk semua isu yang betul-betul penting bagi kita.” Albert Einstein juga berkata, “Melalui pengalaman pahit, kita telah belajar bahawa kita tidak dapat menyelesaikan masalah sosial manusia melalui pemikiran yang rasional sahaja.”