Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Apakah Kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa?

Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kami berusaha untuk beribadat mengikut cara yang diajar oleh Yesus dan seperti yang dilakukan oleh para rasulnya. Rencana ini menjelaskan kepercayaan asas kami.

  1. Tuhan. Kami menyembah satu-satunya Tuhan yang benar, Yehuwa. Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa dan Pencipta segalanya. (Kejadian 2:4, nota kaki; Wahyu 4:11) Dia Tuhan Abraham, Musa, dan Yesus.​—Keluaran 3:6; 32:11; Yohanes 20:17.

  2. Alkitab. Kami menganggap Alkitab sebagai mesej yang diilhami oleh Tuhan kepada manusia. (Yohanes 17:17; 2 Timotius 3:16) Kepercayaan kami adalah berdasarkan 66 buku dalam Alkitab yang merangkumi “Perjanjian Lama” dan “Perjanjian Baharu.” Profesor Jason D. BeDuhn menjelaskan dengan tepat apabila dia menulis bahawa kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa adalah “didasarkan sepenuhnya pada Alkitab. Mereka tidak membuat kesimpulan mengenai ajarannya terlebih dahulu sebelum mengkajinya.” *

    Kami sememangnya mempercayai seluruh Alkitab. Namun, kami sedar bahawa sebahagian daripada kandungan Alkitab ditulis secara kiasan dan tidak patut difahami secara harfiah.​—Wahyu 1:1.

  3. Yesus. Kami mengikut ajaran dan teladan Yesus Kristus. Oleh itu, kami ialah orang Kristian. (Kisah 11:26) Kami juga menghormati Yesus sebagai Anak Tuhan dan Penyelamat kami. (Matius 20:28; Kisah 5:31) Walau bagaimanapun, kami telah mempelajari bahawa Yesus bukan Tuhan Yang Maha Kuasa dan ajaran Tritunggal memang tidak berdasarkan Alkitab.​—Yohanes 14:28.

  4. Kerajaan Tuhan. Kerajaan Tuhan tidak berada dalam hati seseorang. Kerajaan ini benar-benar wujud dan sedang memerintah di syurga. Kerajaan Tuhan akan menggantikan semua kerajaan manusia dan melaksanakan tujuan Tuhan untuk bumi. (Daniel 2:44; Matius 6:9, 10) Tidak lama lagi, kerajaan ini akan bertindak kerana nubuat Alkitab menyatakan bahawa kita sedang hidup pada “hari-hari terakhir.”​—2 Timotius 3:1-5; Matius 24:3-14.

    Yesus ialah Raja Kerajaan Tuhan di syurga. Dia mula memerintah sejak tahun 1914.​—Wahyu 11:15.

  5. Penyelamatan. Melalui korban tebusan Yesus, manusia dapat dibebaskan daripada cengkaman dosa dan kematian. (Matius 20:28; Kisah 4:12) Untuk meraih manfaatnya, seseorang bukan sahaja perlu menunjukkan iman kepada Yesus, tetapi juga mengubah haluan hidupnya dan dibaptis. (Matius 28:19, 20; Yohanes 3:16; Kisah 3:19, 20) Iman seseorang ditunjukkan melalui perbuatannya. (Yakobus 2:24, 26) Namun, kita tidak boleh mendapat penyelamatan atas usaha sendiri. Hanya melalui “kebaikan hati Tuhan yang unggul” manusia boleh diselamatkan.​—Galatia 2:16, 21.

  6. Syurga. Tuhan Yehuwa, Yesus Kristus, dan para malaikat yang setia tinggal di syurga. * (Mazmur 103:19-21; Kisah 7:55) Sekumpulan kecil manusia, yang berjumlah 144,000 orang, akan dibangkitkan ke syurga untuk memerintah dengan Yesus di Kerajaan Tuhan.​—Daniel 7:27; 2 Timotius 2:12; Wahyu 5:9, 10; 14:1, 3.

  7. Bumi. Tuhan menciptakan bumi sebagai tempat tinggal manusia untuk selama-lamanya. (Mazmur 104:5; 115:16; 119:90) Tuhan akan memberkati manusia yang setia dengan kesihatan yang sempurna dan kehidupan kekal di bumi firdaus.​—Mazmur 37:11, 34.

  8. Kejahatan dan penderitaan. Kejahatan dan penderitaan bermula apabila salah satu malaikat Tuhan memberontak. (Yohanes 8:44) Malaikat ini, yang dipanggil sebagai “Syaitan” dan “Iblis” selepas pemberontakannya, telah memperdaya pasangan manusia yang pertama untuk menyertainya. Akibatnya, keturunan manusia dilanda musibah. (Kejadian 3:1-6; Roma 5:12) Untuk menyelesaikan masalah ini, Tuhan telah membenarkan kejahatan dan penderitaan berlaku. Namun, Dia tidak akan membiarkannya berlaku selama-lamanya.

  9. Kematian. Orang yang mati tidak lagi wujud. (Mazmur 146:4; Pengkhutbah 9:5, 10) Mereka tidak diseksa di neraka.

    Tuhan akan menghidupkan berbilion-bilion orang yang sudah meninggal. (Kisah 24:15) Tetapi, mereka yang enggan mengikut haluan Tuhan selepas dibangkitkan akan dibinasakan selama-lamanya dan tidak mempunyai harapan untuk dibangkitkan lagi.​—Wahyu 20:14, 15.

  10. Keluarga. Kami mengikut piawaian Tuhan mengenai perkahwinan. Perkahwinan merupakan ikatan antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Mereka hanya boleh bercerai atas sebab perbuatan seks yang tidak bermoral. (Matius 19:4-9) Kami yakin bahawa nasihat Alkitab dapat membantu keluarga untuk berjaya.​—Efesus 5:22–6:1.

  11. Ibadat kami. Kami tidak memuja salib atau lambang-lambang lain. (Ulangan 4:15-19; 1 Yohanes 5:21) Aspek penting dalam ibadat kami adalah seperti berikut:

  12. Organisasi kami. Kami mempunyai banyak sidang di seluruh dunia dan setiap sidang diselia oleh badan penatua. Namun, para penatua tidak memegang pangkat yang istimewa dan mereka juga tidak mendapat gaji. (Matius 10:8; 23:8) Kami tidak membayar persepuluhan atau mengutip derma. (2 Korintus 9:7) Semua kegiatan kami disokong oleh sumbangan sukarela.

    Badan Pimpinan ialah sekumpulan kecil orang Kristian matang yang berkhidmat di ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka menyediakan bimbingan untuk Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia.​—Matius 24:45.

  13. Perpaduan kami. Di seluruh dunia, kami mengikut ajaran yang sama. (1 Korintus 1:10) Kami tidak membeza-bezakan orang mengikut kedudukan sosial, bangsa, suku, atau kaum. (Kisah 10:34, 35; Yakobus 2:4) Walaupun demikian, kami masih boleh membuat pilihan peribadi. Setiap Saksi akan membuat pilihan selaras dengan hati nurani masing-masing yang telah dilatih menurut prinsip Alkitab.​—Roma 14:1-4; Ibrani 5:14.

  14. Kelakuan kami. Kami berusaha untuk menunjukkan kasih. (Yohanes 13:34, 35) Kami menjauhi perbuatan yang tidak menyenangkan hati Tuhan. Hal ini termasuk menerima transfusi darah. (Kisah 15:28, 29; Galatia 5:19-21) Kami hidup dengan damai dan tidak terlibat dalam peperangan. (Matius 5:9; Yesaya 2:4) Kami menghormati pihak kerajaan dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, asalkan undang-undang tersebut tidak bercanggah dengan perintah Tuhan.​—Matius 22:21; Kisah 5:29.

  15. Hubungan kami dengan orang lain. Yesus memberikan perintah: “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” Dia juga berkata bahawa orang Kristian “bukan sebahagian daripada dunia.” (Matius 22:39; Yohanes 17:16) Jadi, kami berusaha untuk “berbuat baik kepada semua orang.” Namun, kami juga memastikan bahawa kami tetap neutral dan tidak terlibat dengan agama lain atau hal ehwal politik. (Galatia 6:10; 2 Korintus 6:14) Walau bagaimanapun, kami menghormati pilihan orang lain mengenai hal ini.​—Roma 14:12.

Jika anda menginginkan maklumat lanjut mengenai kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa, sila rujuk laman web kami, hubungi pejabat cawangan kami, ikuti perjumpaan kami, atau hubungi Saksi-Saksi Yehuwa di tempat anda.

^ per. 4 Lihat buku Truth in Translation, muka surat 165.

^ per. 10 Malaikat-malaikat jahat telah dihalau dari syurga. Namun, mereka masih wujud di alam roh.​—Wahyu 12:7-9.