Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

BIBLE MENGUBAH HIDUP

“Saya Menggali Kubur Sendiri”

  • Tahun Lahir: 1978

  • Negara Asal: El Salvador

  • Latar Belakang: Ahli Kongsi Gelap yang Ganas

KISAH SILAM SAYA

Setelah saya mempelajari Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa buat suatu jangka waktu, ada orang berkata kepada saya, “Kalau kamu mahu mengenal Tuhan, teruslah belajar dengan Saksi-Saksi Yehuwa.” Saya terkejut mendengar kata-kata ini. Mengapa? Biarlah saya menceritakan sedikit sebanyak tentang kehidupan saya.

Saya dilahirkan di Quezaltepeque, sebuah kota di El Salvador. Saya mempunyai 14 orang adik-beradik, dan saya ialah anak ke-6. Ibu bapa saya mengajar saya untuk bersikap jujur dan mematuhi undang-undang. Kadangkala, Saksi-Saksi Yehuwa akan datang mengajar kami tentang Bible, dan salah seorang daripada mereka bernama Leonardo. Biarpun begitu, saya tidak mengamalkan apa yang saya pelajari dan membuat banyak keputusan yang buruk. Sewaktu saya berumur 14 tahun, saya mula minum alkohol dan mengambil dadah bersama rakan sekolah saya. Saya juga mengikut teladan buruk mereka dan berhenti sekolah lalu menyertai kumpulan kongsi gelap. Setiap hari, kami melepak di tepi jalan, memeras ugut orang, dan mencuri wang untuk membiayai tabiat buruk kami.

Saya menganggap ahli-ahli kongsi gelap yang lain sebagai keluarga saya. Saya percaya bahawa saya harus setia kepada mereka. Misalnya, pada suatu hari, seorang ahli kongsi gelap yang sedang berkhayal selepas mengambil dadah telah menyerang jiran saya. Mereka berdua mula bergaduh, tetapi jiran saya menang lalu menelefon polis. Hal itu membuat saya naik marah. Saya mengambil sebatang kayu dan mula memukul kereta jiran saya agar dia melepaskan kawan saya itu. Seraya saya memecahkan tingkap-tingkap keretanya, jiran saya merayu agar saya tidak merosakkan keretanya, tetapi saya tidak menghiraukannya dan terus memukul kereta itu.

Sewaktu saya berumur 18 tahun, geng saya berlawan dengan pihak polis. Saya membawa sebiji bom tangan dan bersedia untuk melemparkannya, tetapi entah kenapa, bom itu tiba-tiba meletup dalam tangan saya. Saya nampak tangan saya hancur lalu saya pengsan. Apabila saya sedar, saya berada di dalam hospital. Tangan kanan saya sudah hilang, telinga kanan saya menjadi pekak, dan mata kanan saya hampir buta.

Meskipun saya cedera parah, saya terus kembali kepada geng saya setelah saya keluar dari hospital. Tidak lama kemudian, saya ditangkap polis dan dimasukkan ke dalam penjara. Di situ, hubungan saya dengan ahli-ahli kongsi gelap yang lain bertambah erat. Kami selalu bersama sepanjang hari, dari waktu bersarapan, iaitu semasa kami mula menghisap ganja, sehinggalah ke waktu tidur.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

Semasa saya di penjara, Leonardo melawat saya. Sewaktu kami berbual, dia menunjuk ke arah tatu pada lengan kanan saya dan bertanya, “Apakah maksud tiga titik ini?” Saya menjawab, “Seks, dadah, dan rock and roll.” Leonardo berkata, “Saya rasa titik-titik itu melambangkan hospital, penjara, dan kematian. Kamu sudah pernah masuk hospital, dan sekarang kamu ada di penjara. Jadi kamu tahu apa yang akan berlaku seterusnya.”

Kata-kata Leonardo membuat saya terpegun. Kata-katanya memang betul kerana saya sedang menggali kubur sendiri! Dia mengajak saya untuk belajar Bible bersamanya, dan saya bersetuju. Kebenaran dalam Bible membantu saya mengubah cara hidup saya. Misalnya, Bible menyatakan bahawa “pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.” (1 Korintus 15:33) Maka, saya tidak lagi bergaul dengan ahli-ahli kongsi gelap dan tidak menghadiri perjumpaan mereka. Sebaliknya, saya mula menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa yang diadakan di dalam penjara. Semasa perjumpaan itu, saya berkenalan dengan Andrés, yang telah dibaptis di dalam penjara. Dia mengajak saya untuk bersarapan dengannya. Sejak waktu itu, saya tidak lagi memulakan hari saya dengan menghisap ganja. Sebaliknya, saya dan Andrés akan membincangkan satu ayat Bible setiap pagi.

Ahli-ahli kongsi gelap nampak saya berubah. Maka salah seorang ketua mengajak saya untuk berbual-bual. Saya takut dan tidak tahu apa yang akan berlaku kerana biasanya mereka tidak akan membenarkan sesiapa pun untuk menarik diri daripada kumpulan kongsi gelap. Ketua itu berkata, “Baru-baru ini, kamu tidak lagi bergaul dengan kami. Sebaliknya kamu pergi ke perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Kamu mahu buat apa?” Saya berkata bahawa saya ingin terus mempelajari Bible dan mengubah hidup saya. Reaksinya mengejutkan saya. Dia berkata bahawa jika saya membuktikan bahawa saya betul-betul ingin menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, mereka akan membenarkan saya pergi. Kemudian dia menyambung, “Kalau kamu mahu mengenal Tuhan, teruslah belajar dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Kamu tidak boleh lagi berbuat jahat. Tahniah! Kamu membuat keputusan yang baik, dan Saksi-Saksi Yehuwa dapat membantu kamu. Saya pernah belajar Bible bersama mereka semasa di Amerika, dan beberapa orang saudara-mara saya juga merupakan Saksi-Saksi Yehuwa. Jangan takut. Teruslah berusaha.” Saya masih takut, tetapi pada masa yang sama, saya juga sangat gembira. Saya amat bersyukur kepada Yehuwa. Saya berasa seperti seekor burung yang dilepaskan dari sangkarnya. Yesus pernah berkata, “Kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan membebaskan kamu.” Ya, kata-kata ini memang betul!​—Yohanes 8:​32.

Tetapi beberapa orang ahli kongsi gelap masih memberikan dadah kepada saya untuk menguji saya. Sedihnya, kadangkala saya gagal melawan godaan mereka. Tetapi seraya masa berlalu, saya selalu berdoa, dan akhirnya saya berjaya menghentikan semua tabiat buruk saya.​—Mazmur 51:10, 11.

Banyak orang percaya bahawa selepas saya keluar dari penjara, saya akan kembali kepada cara hidup saya yang lama. Tetapi sangkaan mereka salah sama sekali. Sebaliknya, saya selalu kembali ke penjara untuk mengongsi pengetahuan Bible yang telah saya pelajari. Selepas beberapa waktu, barulah kawan-kawan lama saya yakin bahawa saya betul-betul telah berubah. Tetapi musuh-musuh lama saya tidak berfikir sedemikian.

Pada suatu hari, sewaktu saya dan seorang saudara menginjil, musuh-musuh lama saya datang dan mengerumuni kami berdua. Mereka membawa senjata dan ingin membunuh saya. Dengan tenang dan berani, saudara itu menjelaskan bahawa saya sudah meninggalkan kumpulan kongsi gelap. Saya pula berdiri di situ dan berusaha bersabar dan bertenang. Setelah mereka membelasah saya dan memberikan amaran agar tidak memasuki kawasan mereka lagi, mereka menyimpan senjata mereka dan membenarkan kami pergi. Sebelum ini, saya pasti akan membalas dendam, tetapi Bible telah mengubah hidup saya. Sekarang saya mematuhi nasihat yang tercatat di 1 Tesalonika 5:​15, “Pastikanlah agar tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang membalas kejahatan dengan kejahatan kepada sesiapa pun. Sebaliknya kamu harus sentiasa berusaha melakukan apa yang baik terhadap satu sama lain dan terhadap semua orang yang lain.”

Sejak saya menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, saya berusaha untuk bersikap jujur. Hal ini tidak mudah bagi saya. Tetapi dengan bantuan Tuhan Yehuwa, nasihat Bible, dan sokongan saudara saudari, saya berjaya berbuat demikian. Saya bertekad untuk tidak kembali kepada cara hidup saya yang lama.​—2 Petrus 2:​22.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

Dulu saya cepat marah dan ganas. Kalau bukan kerana Bible, sekarang saya mungkin sudah mati. Bible telah membantu saya menghentikan semua tabiat buruk saya. Saya tidak lagi menaruh dendam terhadap musuh-musuh lama saya. (Lukas 6:​27) Sekarang saya mempunyai banyak sahabat yang membantu saya memupuk sifat-sifat yang baik. (Amsal 13:20) Hidup saya bahagia dan bermakna, dan saya amat bersyukur kerana dapat menyembah Tuhan yang sudi mengampunkan segala dosa saya.​—Yesaya 1:​18.

Pada tahun 2006, saya berpeluang menghadiri sekolah latihan untuk penginjil Kristian yang bujang. Beberapa tahun kemudian, saya berkahwin dengan saudari yang baik, dan kami mempunyai seorang anak perempuan. Sekarang saya meluangkan banyak masa untuk mengajar orang tentang prinsip-prinsip Bible. Saya juga berkhidmat sebagai seorang penatua. Saya berusaha membantu kaum muda untuk menghindari haluan yang buruk. Dahulu saya menggali kubur sendiri, tetapi sekarang saya berusaha mengejar masa depan yang cerah yang dijanjikan oleh Tuhan dalam Bible.