Lompat ke kandungan

Menghasilkan Bible dalam Bahasa Ibunda Mereka

Menghasilkan Bible dalam Bahasa Ibunda Mereka

Saksi-Saksi Yehuwa mengedarkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baru kepada sesiapa sahaja yang ingin membacanya.

Banyak pertubuhan Bible memiliki pelbagai terjemahan Bible dan telah mencetakkan berbilion-bilion naskhah Bible. Namun, akibat kemiskinan dan prasangka agama, ramai orang tidak mempunyai Bible dalam bahasa sendiri. Oleh itu, Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baru dalam lebih daripada 115 bahasa.

Perhatikan contoh-contoh berikut:

  • Rwanda: Silvestre dan Venantie, yang mempunyai empat orang anak, berkata, “Kami sangat miskin, jadi kami tidak mampu membeli Bible untuk setiap ahli keluarga. Sekarang, kami masing-masing mempunyai Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Kinyarwanda, dan kami membaca Bible bersama setiap hari.”

    Seorang pastor Anglikan di negara itu berkata, “Saya dapat memahami Bible ini. Bible ini jauh lebih baik daripada semua Bible yang pernah saya baca. Saksi-Saksi Yehuwa benar-benar mengambil berat terhadap orang lain!”

  • Republik Demokratik Congo: Sesetengah gereja enggan menjual Bible bahasa Lingala kepada Saksi-Saksi Yehuwa, padahal bahasa Lingala merupakan salah satu bahasa yang paling banyak dituturkan di negara tersebut.

    Maka, tidak hairanlah sejak pengeluaran Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Lingala, Saksi-Saksi di Congo telah menggunakan dan mengedarkan terjemahan ini dengan bersemangat. Pengeluaran Terjemahan Dunia Baru telah menerima sambutan yang hangat. Ketika terjemahan ini dikeluarkan semasa konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa, para pegawai polis yang hadir di stadium juga beratur untuk mendapatkan Bible masing-masing.

  • Fiji: Dahulu, ramai daripada Saksi-Saksi Yehuwa terpaksa menggunakan Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Inggeris, kerana Bible dalam bahasa Fiji terlalu mahal. Namun pada tahun 2009, penduduk Fiji menerima Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baru (Perjanjian Baru) dalam bahasa ibunda mereka.

    Seorang lelaki berasa sungguh kagum kerana Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Fiji sangat jelas. Dia ingin mendapatkan Bible itu, tetapi Saksi-Saksi tempatan memberitahu dia bahawa dia perlu menunggu sekurang-kurangnya satu bulan sebelum pengiriman Bible seterusnya tiba di pekannya. Namun, lelaki itu tidak mahu tunggu, maka dia sanggup menempuh perjalanan sejauh 35 kilometer (22 batu) untuk berjumpa dengan seorang Saksi yang dapat memberinya senaskhah Terjemahan Dunia Baru. Lelaki itu berkata, “Terjemahan ini jauh lebih bagus daripada terjemahan yang biasa kita gunakan. Bible ini jelas dan mudah difahami.”

  • Malawi: Selepas Davide mula belajar dengan Saksi-Saksi Yehuwa, ahli-ahli gereja Baptis tempatan pergi ke rumahnya dan mengambil kembali Bible yang diberikan mereka kepadanya. Oleh itu, semasa Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Chichewa dikeluarkan, Davide berasa bahawa impiannya sudah tercapai.

    Memandangkan Bible di Malawi sangat mahal, Davide pernah berasa bahawa dia tidak akan memiliki Bible lagi. Tetapi apabila dia diberi senaskhah Terjemahan Dunia Baru, dia berkata, “Bible yang saya ada sekarang lebih baik daripada Bible saya yang dahulu!”

Lebih daripada 60 tahun yang lalu, ketika bahagian pertama Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Inggeris dikeluarkan di sebuah konvensyen di Bandar Raya New York, para hadirin digesa: “Bacalah seluruh Bible ini. Kajilah Bible ini . . . Berikannya kepada orang lain.” Untuk mencapai tujuan itu, Saksi-Saksi Yehuwa telah menerbitkan lebih daripada 175 juta naskhah Terjemahan Dunia Baru. Tambahan pula, anda dapat membaca Bible dalam talian dalam kira-kira 50 bahasa.