Lompat ke kandungan

Menterjemahkan Video ke dalam Bahasa Isyarat Quebec

Menterjemahkan Video ke dalam Bahasa Isyarat Quebec

Quebec ialah sebuah wilayah yang terletak di timur Kanada. Penduduk di situ menuturkan bahasa Perancis, dan kebanyakan orang pekak di situ pula menggunakan Bahasa Isyarat Quebec (LSQ). a Oleh sebab hanya terdapat 6,000 orang yang menggunakan LSQ, bahan yang tersedia dalam LSQ sangat sedikit. Tetapi untuk membantu mereka memahami Bible, Saksi-Saksi Yehuwa melipatgandakan usaha untuk menerbitkan video yang bermutu tinggi dalam LSQ secara percuma.

Untuk memahami mengapa usaha Saksi-Saksi Yehuwa begitu penting, marilah kita melihat kisah Marcel. Dia dilahirkan pada tahun 1941 di Quebec, Kanada. Dua tahun kemudian, dia menghidap penyakit meningitis dan menjadi pekak. Dia berkata, “Semasa saya berumur sembilan tahun, saya mula menghadiri sekolah orang pekak dan belajar LSQ di situ.” Dia menyambung, “Ada buku yang mengajarkan bahasa isyarat yang asas, tetapi tiada buku dalam bahasa isyarat.”

Mengapakah begitu penting untuk menerbitkan video dalam LSQ? Marcel menjelaskan bahawa jika orang pekak tidak ada maklumat dalam LSQ, mereka terpaksa bergantung pada bahasa yang dituturkan, dan hal itu bermaksud bahawa mereka tidak dapat memahami sepenuhnya apa yang disampaikan.

Pada tahun 2005, Saksi-Saksi Yehuwa telah menerbitkan video yang pertama dalam LSQ untuk memenuhi keperluan Marcel dan orang pekak yang menggunakan LSQ. Baru-baru ini, mereka telah meluaskan pejabat terjemahan mereka di Montreal, Quebec. Dalam pejabat itu, terdapat dua buah studio untuk membuat rakaman video LSQ. Terdapat 7 orang pekerja sepenuh masa dan lebih daripada 12 orang pekerja sambilan di situ. Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan penterjemahan.

Orang yang menggunakan LSQ menghargai video-video yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Stéphan Jacques, pembantu pengarah Association des Sourds de l’Estrie, b berkata, “Mereka menghasilkan video-video yang bermutu tinggi. Bahasa isyarat yang digunakan amat jelas, ekspresi wajah mereka sangat baik, dan pakaian mereka sangat kemas.”

The Watchtower ialah majalah yang digunakan dalam perjumpaan mingguan Saksi-Saksi Yehuwa. Kini majalah Watchtower terdapat dalam LSQ, c dan digunakan oleh 220 orang Saksi dan orang lain yang menghadiri perjumpaan LSQ. Terdapat tujuh buah sidang dan kumpulan LSQ di Quebec. Selain itu, Saksi-Saksi Yehuwa terus menerbitkan lebih banyak video LSQ dalam laman web mereka, termasuk lagu-lagu berdasarkan Bible yang menggugah semangat.

Marcel, yang disebutkan pada awal rencana ini, gembira kerana dia dapat melihat lebih banyak video dalam LSQ. Dia amat menghargai video-video yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Dia berkata, “Saya bersyukur kerana terdapat banyak video LSQ di jw.org.” Kemudian dia menyambung, “Saya sangat gembira apabila melihat video dalam bahasa saya sendiri!”

a LSQ (atau dalam bahasa Perancis Langue des signes québécoise) ialah bahasa isyarat yang unik, meskipun bahasa ini mempunyai persamaan dengan Bahasa Isyarat Amerika yang digunakan dengan lebih meluas.

b Sebuah pertubuhan amal bagi orang pekak di Quebec.

c Majalah ini telah diterbitkan dalam LSQ pada setiap bulan sejak Januari 2017.