Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Menara Pengawal Bahasa Greenland Mendapat Pujian dalam Siaran TV

Januari 2013 menandakan genapnya 40 tahun majalah Menara Pengawal diterbitkan dalam bahasa Greenland. Bahasa ini merupakan bahasa suku Inuit yang hanya dituturkan oleh 57,000 orang.

Di Greenland, hanya terdapat kira-kira 150 orang Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi jumlah majalah yang diedarkan mencapai 2,300 naskhah. Hal ini bererti bahawa sebahagian besar pembaca Napasuliaq Alapernaarsuiffik (nama majalah itu dalam bahasa Greenland) bukanlah Saksi-Saksi Yehuwa.

Dalam sebuah temu ramah televisyen, penyelia bahagian penterjemahan di bandar Nuuk menjelaskan: “Ramai orang di Greenland sangat berminat dengan Bible. Itulah sebabnya mereka membaca majalah Napasuliaq Alapernaarsuiffik.”

Seorang penemu ramah bertanya kepada salah seorang penterjemah, yang merupakan penduduk asli Greenland, mengenai apa yang disukainya tentang majalah itu. Dia menjawab, “Saya sendiri telah meraih banyak manfaat kerana membaca majalah itu. Misalnya, saya belajar tentang cara hidup yang lebih baik dan sihat. Dahulu saya kuat merokok walaupun saya tahu merokok dapat membahayakan kesihatan. Tapi Bible memberitahu kita bahawa jika kita ingin hidup sihat, kita perlu menjaga tubuh badan agar tetap bersih.”

Siaran TV itu juga menyatakan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa telah bergiat di Greenland sejak pertengahan tahun 1950-an dan menerbitkan banyak buku dan majalah dalam bahasa Greenland. Kerja penterjemahan dilakukan oleh para sukarelawan yang berasal dari Denmark dan Greenland. Matlamat mereka adalah untuk menghasilkan terjemahan yang kedengaran asli dan semula jadi.

Seorang lelaki yang sudah lama menjadi Saksi di Greenland berkata, “Selama 25 tahun saya telah menginjil kepada penduduk Greenland, saya dapat melihat manfaatnya apabila ada bahan bacaan dalam bahasa mereka. Di beberapa buah kawasan terpencil, terdapat orang yang suka membaca majalah kami. Tetapi tempat-tempat itu hanya dapat dicapai dengan bot pada bulan-bulan tertentu dalam setahun. Jadi, semasa kami tidak dapat mengunjungi mereka, kami mengirim surat dan bahan bacaan secara tetap.”

Sejak Januari 2013, majalah Menara Pengawal edisi pembelajaran dan edisi umum dalam bahasa Greenland telah diterbitkan secara tetap. Edisi-edisi ini boleh dibaca atau dimuat turun di tab “Bahan Terbitan” dalam laman jw.org dengan memilih bahasa Greenland dan klik “Cari.”