Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Muzik yang Memuji Tuhan Selama 100 Tahun

“Saya mahu kamu pergi ke Studio Colombia di Bandar Raya New York untuk menyanyikan sebuah lagu ibadat kita. Mereka akan merakam lagu itu. Jangan beritahu tugas kamu kepada sesiapa pun.”

William Mockridge

Pada akhir tahun 1913, William Mockridge telah melaksanakan tugas istimewa ini yang diberikan oleh Charles Taze Russell. * Lagu tersebut, yang dikenali sebagai “The Sweet By-and-By,” telah dirakam ke dalam piring hitam. Kemudian, Willam mendapati bahawa lagu tersebut akan dimainkan pada permulaan tayangan “Drama-Foto Penciptaan.” Tayangan itu ialah tayangan gambar yang disertai dengan rakaman ceramah Bible dan muzik yang diselaraskan dengan wayang gambar tanpa suara serta slaid kaca berwarna. Pada Januari 1914, “Drama-Foto” ditayangkan buat kali pertama di Bandar Raya New York.

Selain daripada rakaman William, terdapat lebih daripada 50 rakaman yang dimainkan semasa tayangan “Drama-Foto” dalam bahasa Inggeris. Walaupun kebanyakan muzik diterbitkan oleh orang lain, terdapat beberapa rakaman yang dihasilkan dan dinyanyikan oleh Pelajar Bible. Lirik yang digunakan dalam rakaman tersebut, termasuk rakaman William, dipetik daripada salah satu buku lagu mereka, Hymns of the Millennial Dawn.

Memberikan Perhatian kepada Lirik Lagu

Selama bertahun-tahun, Saksi-Saksi Yehuwa menggunakan lagu ibadat yang ditulis oleh orang lain. Namun, mereka mungkin perlu menyesuaikan sesetengah lirik lagu mengikut pemahaman Bible mereka.

Contohnya, lirik lagu Our King Is Marching On (Raja Kita Bergerak Maju) yang dimainkan sewaktu tayangan “Drama-Foto” adalah berdasarkan lagu “Battle Hymn of the Republic.” Lagu “Battle Hymn” bermula dengan ayat: “Mataku melihat kedatangan Tuan yang mulia.” Namun, Pelajar Bible menukar ayat tersebut menjadi: “Mataku melihat kehadiran Tuan yang mulia.” Perubahan ini menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja mempercayai kedatangan pemerintahan Yesus, tetapi juga kehadirannya selama suatu jangka masa.​—Matius 24:3.

Pada tahun 1966, buku Singing and Accompanying Yourselves With Music in Your Hearts (Nyanyikanlah Pujian dari Lubuk Hatimu) diterbitkan. Buku ini tidak lagi menggunakan lagu yang dihasilkan oleh agama lain atau yang berasaskan sumber sekular. Pada tahun itu, Saksi-Saksi Yehuwa membentuk sebuah orkestra untuk merakam 119 buah lagu yang terdapat dalam buku itu. Rakaman lagu tersebut digunakan semasa perjumpaan Kristian. Selain itu, sesetengah Saksi suka memainkan lagu-lagu itu di rumah.

Pada tahun 2009, Saksi-Saksi Yehuwa telah menerbitkan sebuah buku lagu baru, Nyanyilah kepada Yehuwa. Muzik yang disertai dengan nyanyian telah dirakamkan dalam pelbagai bahasa. Pada tahun 2013, Saksi-Saksi Yehuwa mula menerbitkan video untuk kanak-kanak. Antaranya ialah video yang bertajuk Berdoalah Sentiasa. Setiap bulan, lagu di laman web jw.org dimuat turun sebanyak jutaan kali.

Ramai orang menunjukkan penghargaan mereka terhadap muzik yang dihasilkan. Mengenai buku lagu Nyanyilah kepada Yehuwa, seorang wanita bernama Julie menulis, “Lagu-lagu baru ini sangat merdu! Sewaktu bersendirian, saya mainkan lagu yang menggambarkan perasaan saya. Hasilnya, hubungan saya dengan Yehuwa lebih akrab dan saya lebih bertekad untuk menyembah-Nya dengan sepenuh hati.”

Seorang ibu yang bernama Heather menyatakan bahawa video Berdoalah Sentiasa telah membantu dua orang anaknya yang berumur tujuh dan sembilan tahun. Dia menulis, “Video ini membantu mereka untuk berdoa kepada Yehuwa pada bila-bila masa saja, dan bukan hanya pada waktu pagi atau semasa bersama kami.”

^ per. 3 Charles Taze Russell (1852–​1916) mengambil pimpinan di antara Pelajar Bible, yang kemudiannya digelar sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.