Bahan bacaan Saksi-Saksi Yehuwa kebanyakannya mengandungi teks yang disertai gambar yang berwarna-warni. Namun, bahan bacaan kami tidak begitu pada mulanya. Terbitan pertama Zion’s Watch Tower, yang dikeluarkan pada tahun 1879, langsung tidak mempunyai gambar. Selama puluhan tahun, bahan bacaan kami padat dengan perkataan. Sekali-sekala, lukisan atau foto hitam putih akan disertakan.

Sekarang, bahan bacaan kami kaya dengan gambar. Pelukis dan jurugambar kami menghasilkan kebanyakan gambar, lukisan, dan foto yang terdapat dalam bahan cetakan dan di laman web ini. Untuk menghasilkan gambar yang mengandungi maklumat sejarah dan ajaran Bible, penyelidikan yang teliti dan menyeluruh amat penting.

Sebagai contoh, lihatlah gambar dalam rencana ini, yang digunakan dalam bab 19 buku “Memberikan Kesaksian” (Bearing Thorough Witness About God’s Kingdom). Menurut bab 18 dalam buku Kisah, rasul Paulus sedang berdiri di hadapan bema, atau tempat pengadilan di Korintus. Para penyelidik memberi pelukis maklumat tentang hasil cari gali yang berkaitan dengan kedudukan dan warna struktur marmar di tempat yang mana Paulus menghadap Gallio. Para penyelidik juga memberikan maklumat tentang pakaian di Rom pada abad pertama. Dengan demikian, pakaian diraja Gallio, gabenor daerah yang berdiri di tengah-tengah gambar, dapat dilukis. Dalam gambar itu, dia memakai jubah luar dan baju labuh yang lebar lengannya, yang mempunyai jalur ungu yang lebar, dan dia juga memakai kasut yang dipanggil calcei. Para penyelidik juga mendapati bahawa semasa Gallio berdiri di atas bema, dia sepatutnya menghadap ke arah barat laut. Dengan maklumat ini, pelukis dapat mengetahui arah cahaya yang sepatutnya untuk gambar itu.

Cekap dan Tersusun

Semua gambar yang digunakan akan disimpan, dan butiran-butiran yang penting akan dicatatkan agar gambar tersebut dapat digunakan semula pada masa depan. Selama bertahun-tahun, kami telah menyimpan gambar dan lukisan di dalam sampul yang besar, lalu mencatatkan nama bahan bacaan yang menggunakan gambar atau lukisan tersebut. Foto pula disusun mengikut topik. Apabila fail-fail yang disimpan menjadi semakin banyak, kerja mencari gambar untuk digunakan semula menjadi semakin susah.

Untuk menyelesaikan masalah ini, kami telah menghasilkan pangkalan data yang dikenali sebagai Sistem Perkhidmatan Imej pada tahun 1991. Maklumat di dalam pangkalan data ini membolehkan pengguna mencari gambar-gambar yang disimpan di dalamnya. Pangkalan data ini kini mengandungi lebih daripada 440,000 gambar. Selain daripada gambar-gambar yang telah digunakan dalam bahan bacaan kami, ribuan foto lain juga disimpan agar dapat digunakan pada masa depan.

Butiran terperinci, termasuk tarikh gambar tersebut digunakan, nama bahan bacaan yang mengandungi gambar itu, nama setiap orang dalam gambar, dan jangka masa yang digambarkan, semuanya dicatatkan dengan teliti. Dengan demikian, gambar-gambar dapat dicari dengan cepat semasa bahan bacaan baru disediakan.

Ada kalanya, kami akan mendapatkan keizinan daripada pihak tertentu untuk menggunakan sesetengah gambar. Contohnya, jika kami memerlukan gambar lingkaran Planet Zuhal bagi sebuah rencana dalam Awake!, kakitangan kami akan mencari gambar yang sesuai, lalu menghubungi pemiliknya agar diberi izin untuk menggunakan gambar itu. Sesetengah orang yang menghargai kerja pendidikan sedunia kami mengizinkan kami untuk menggunakan gambar mereka secara percuma. Ada pula yang meminta bayaran atau meminta agar kami mencetakkan keterangan sumber gambar. Selepas mencapai persetujuan, gambar itu akan digunakan dalam bahan bacaan kami dan disimpan dalam pangkalan data.

Dewasa ini, ada sesetengah bahan bacaan kami yang kandungan utamanya ialah gambar. Misalnya, laman web ini mengandungi Komik Cerita Bible. Kami juga ada brosur yang berwarna-warni dalam talian dan dalam bentuk tercetak, seperti Dengarlah Cakap Tuhan, yang menyampaikan ajaran-ajaran penting melalui gambar. Bahan bacaan sebegini dan bahan bacaan lain, baik yang terdapat dalam talian mahupun yang dicetak, semuanya bertujuan untuk membantu orang mengenali kebenaran Bible.