Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Galeri Foto Britain 1 (Januari hingga Ogos 2015)

Galeri Foto Britain 1 (Januari hingga Ogos 2015)

Pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di London akan berpindah dari Mill Hill ke sebuah tempat berdekatan kota Chelmsford, Essex. Jauhnya kira-kira 70 kilometer ke arah timur dari tempat asalnya. Dari Januari hingga Ogos 2015, para pekerja menyediakan tapak-tapak sementara untuk menyokong kerja pembinaan yang akan dijalankan.

23 Januari 2015​—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan

Selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan, para pekerja mengangkut pokok-pokok yang sudah ditebang dan membersihkan tapak bagi kerja pembinaan yang akan dilakukan. Mereka berusaha menyiapkan semua kerja yang perlu dilakukan sebelum musim burung bersarang tiba. Serpihan-serpihan kayu digunakan untuk menyediakan jalan yang selamat bagi para pekerja, manakala kayu balak pula dikumpulkan untuk digunakan dalam kerja pembinaan itu.

30 Januari 2015​—Ruang makan

Seorang juruelektrik memasang soket untuk skrin televisyen. Tempat ini yang dahulunya sebuah motel, kini diubahsuai menjadi dapur dan ruang makan. Setelah skrin dipasang, para pekerja pembinaan dapat menonton program rohani seperti penyembahan pagi dan pembelajaran majalah Menara Pengawal untuk keluarga Bethel.

23 Februari 2015​—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan

Para pekerja sedang memasang pagar keselamatan yang akan mengelilingi sebahagian besar tapak pembinaan. Oleh sebab tempat ini terletak di luar bandar, beberapa langkah khas telah diambil agar kesan pembinaan terhadap alam sekitar dapat dikawal. Misalnya, ruang kira-kira 20 sentimeter telah dibiarkan di bahagian bawah pagar itu agar haiwan yang hidup di dalam tanah, seperti badger, dapat meneruskan kegiatan seperti biasa pada waktu malam.

23 Februari 2015​—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan

Sebuah jalan sementara dibina untuk menghubungkan kawasan tempat tinggal para pekerja dengan tapak pembinaan utama.

5 Mac 2015​—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan

Gambar menunjukkan jalan sementara yang sudah siap dibina. Pada bahagian atas kanan gambar merupakan tapak pembinaan utama, manakala pada bahagian bawah kiri gambar merupakan kawasan kediaman bagi para pekerja pembinaan. Bangunan kediaman yang lain akan dibina di kawasan yang berdekatan.

20 April 2015​—Tapak kediaman sementara

Seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa dan seorang wakil ibu pejabat melawat para pekerja pembinaan. Pada hari lain dalam minggu yang sama, sebuah program istimewa disiarkan ke semua Dewan Perjumpaan di Britain dan Ireland. Dalam program itu, satu pengumuman telah dibuat bahawa Majlis Daerah Chelmsford telah memberikan kebenaran untuk memulakan projek pembinaan.

13 Mei 2015​—Tapak sementara untuk menyelia kerja pembinaan

Para pekerja memasang alat pelindung akar di antara dua batang pokok oak untuk melindungi akar pokok tersebut. Alat ini juga dipasang di sepanjang jalan yang menghubungkan tapak ini dengan tapak pembinaan utama agar jentera berat tidak merosakkan akar-akar pokok.

21 Mei 2015​—Tapak kediaman sementara

Para pekerja menggali tanah untuk memasang paip dan kabel bagi tempat kediaman sementara. Rumah-rumah dalam gambar adalah antara 50 buah rumah yang akan dibina untuk para pekerja pembinaan.

16 Jun 2015​—Tapak kediaman sementara

Seorang tukang paip memasang paip air bagi salah sebuah tempat kediaman sementara.

16 Jun 2015​—Tapak kediaman sementara

Gambar menunjukkan tempat kediaman sementara yang baru siap dibina. Pada bahagian depan gambar menunjukkan tapak dan asas-asas rumah yang disediakan untuk membina kediaman-kediaman tambahan. Bangunan-bangunan di sebelah kiri gambar ialah tempat yang menyediakan kemudahan bagi para pekerja termasuklah ruang makan. Pejabat cawangan akan dibina di kawasan lapang yang terdapat di bahagian atas tengah gambar.

16 Jun 2015​—Tapak kediaman sementara

Seorang juruteknik menyambungkan sejenis kabel optik gentian di dalam bilik telekomunikasi. Rangkaian komputer dan jaringan Internet diperlukan dalam projek itu agar semua kegiatan pembinaan dapat diurus dengan baik. Rangkaian itu juga diperlukan untuk berkomunikasi dengan pejabat-pejabat cawangan di tempat lain, dan membolehkan semua kerja diselaraskan di bawah arahan ibu pejabat sedunia.

6 Julai 2015​—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan

Seorang kontraktor menggunakan alat GPS untuk menyukat dan menentukan kawasan yang akan diperiksa oleh ahli arkeologi sebelum kerja pembinaan dimulakan. Walaupun dahulunya orang Roma pernah menetap berhampiran kota Chelmsford, tiada apa-apa artifak penting yang ditemui setelah 107 buah parit digali.

6 Julai 2015​—Tapak sementara untuk menyelia kerja pembinaan

Bingkai-bingkai pintu dibuat mengikut saiz yang sesuai. Sesetengah bangunan di tapak sementara ini telah diubahsuai dan dijadikan sebagai bengkel. Pejabat-pejabat sementara dan bahagian lain yang menyokong kerja pembinaan juga akan ditempatkan di sini.

6 Julai 2015​—Tapak sementara untuk menyelia kerja pembinaan

Sebuah trak diisi dengan tanah yang akan digunakan untuk kerja-kerja penimbusan.

7 Julai 2015​—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan

Gambar menunjukkan pemandangan kawasan luar bandar, termasuk tapak pembinaan yang berkeluasan 34 hektar. Terdapat jalan raya (tiada dalam gambar) yang menghubungkan kawasan ini dengan pelabuhan, lapangan terbang, dan Bandar Raya London.

23 Julai 2015​—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan

Kontraktor merobohkan bangunan lama agar pembinaan pejabat cawangan dapat dimulakan.

20 Ogos 2015​—Tapak sementara untuk menyelia kerja pembinaan

Kren yang seberat 60 tan sedang menurunkan kabin pasang siap. Pada bahagian depan gambar menunjukkan asas yang telah disediakan untuk meletakkan kabin-kabin yang lain. Semua kabin ini akan menjadi pejabat untuk mengurus hal-hal yang berkaitan dengan projek ini.