Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Dewan Perjumpaan untuk Jutaan Saksi

Antara tahun 1999 dan 2015, Saksi-Saksi Yehuwa telah membina lebih daripada 5,000 Dewan Perjumpaan di Amerika Tengah * dan Mexico. Agar perjumpaan kita dapat dihadiri oleh satu juta orang Saksi dan orang yang berminat, lebih daripada 700 Dewan Perjumpaan tambahan diperlukan.

Dahulu, sidang-sidang di kawasan ini menghadapi cabaran untuk membina Dewan Perjumpaan. Contohnya, di Mexico, kebanyakan Saksi mengadakan perjumpaan mereka di rumah saudara saudari. Mengapa? Salah satu sebab ialah selama bertahun-tahun, undang-undang negara telah melarang mana-mana organisasi agama untuk memiliki bangunan sendiri. Namun, pada tahun 1990-an, undang-undang telah berubah dan Saksi-Saksi Yehuwa mula membina banyak Dewan Perjumpaan. Meskipun demikian, pembinaan untuk setiap dewan selalu mengambil masa berbulan-bulan.

Kemajuan yang Pesat

Pada tahun 1999, proses pembinaan dipercepatkan. Kumpulan Pembinaan Dewan Perjumpaan mula mengikut program baru untuk membina Dewan Perjumpaan di negara-negara dengan sumber terhad. Ini termasuk negara Mexico dan tujuh negara lain di Amerika Tengah. Sejak tahun 2010, pejabat cawangan yang terletak di Mexico mengawasi kerja pembinaan di negara-negara tersebut.

Para pembantu pembinaan menghadapi pelbagai cabaran semasa membina Dewan Perjumpaan di kawasan terpencil. Misalnya di Panama, para pembantu pembinaan perlu membuat perjalanan selama tiga jam di sepanjang pinggir laut dengan bot untuk sampai ke tapak pembinaan. Di Chiapas, sebuah negeri di Mexico, kumpulan pembinaan perlu menggunakan kapal terbang kecil untuk menghantar bahan binaan ke sebuah tapak pembinaan yang terpencil.

Manfaat Dewan Perjumpaan Baharu

Orang bukan Saksi juga berasa teruja untuk melihat Dewan Perjumpaan baharu di kawasan tempat tinggal mereka. Contohnya, seorang lelaki dari Honduras mengatakan bahawa sebelum para Saksi membina Dewan Perjumpaan di sebuah tanah berdekatan dengan rumahnya, ada orang lain ingin membina kelab malam di sana. Dia tidak suka akan hal itu. Tetapi setelah Saksi-Saksi Yehuwa memberitahunya tentang rancangan mereka untuk membina Dewan Perjumpaan di sana, dia berkata, “Ini memang satu berkat!”

Di banyak tempat, ramai orang berasa kagum dengan ketekunan para pembina Dewan Perjumpaan. Seorang lelaki dari Guatemala berkata, “Mengikut adat kami, para wanita biasanya bekerja dalam dapur sahaja. Tetapi para wanita di sini sedang melakukan kerja seorang lelaki. Saya kagum melihat mereka memasang struktur besi dan melapis plaster pada dinding. Sangat mengagumkan!” Ada juga sesetengah orang tergerak untuk membeli makanan dan minuman ringan untuk para pembina.

Ramai orang juga tertarik dengan reka bentuk Dewan Perjumpaan kita. Di salah satu bandar di Nicaragua, seorang jurutera memberitahu datuk bandar bahawa Dewan Perjumpaan yang dibina sangat cantik dan menggunakan bahan binaan yang berkualiti. Dia berkata bahawa Dewan Perjumpaan merupakan bangunan yang lebih berkualiti berbanding dengan bangunan lain dalam bandar!

Saksi-Saksi Yehuwa sangat bersukacita kerana memiliki tempat beribadat yang sesuai. Selepas Dewan Perjumpaan baharu dibina, para pelajar Bible lebih sudi menghadiri perjumpaan. Semua ahli sidang di Mexico yang telah bekerja bersama dengan para pembantu pembinaan meluahkan penghargaan mereka dengan berkata, “Kami berterima kasih kepada Yehuwa kerana berpeluang membina Dewan Perjumpaan yang memberikan penghormatan dan kemuliaan kepada nama-Nya.”

^ per. 2 Menurut kamus Merriam-Webster’s Collegiate, Edisi Ke-11, kawasan Amerika Tengah meliputi negara Guatemala, El Salvador, Honduras, Nicaragua, Costa Rica, Panama, dan Belize.