Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Bekerja Bersama Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick

Bagi ramai pemerhati, semangat sukarelawan yang diperlihatkan semasa projek pembinaan Warwick sungguh mengagumkan. Pengarah sebuah firma yang memasang lif memberitahu seorang pekerja, “Kumpulan anda sedang melaksanakan tugas yang menakjubkan. Kebanyakan orang sekarang tidak akan merelakan masa mereka.”

Sewaktu pengarah itu dan orang lain mula mendengar bahawa kebanyakan pekerja untuk pembinaan ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York, terdiri daripada sukarelawan, mereka ingat bahawa Saksi-Saksi tempatan akan bekerja pada hujung minggu sahaja. Namun, mereka kagum apabila bertemu dengan sukarelawan dari seluruh negara yang meninggalkan kerja sendiri lalu datang untuk berkhidmat selama berbulan-bulan, bahkan bertahun-tahun, dalam projek ini.

Pada hujung tahun 2015, seramai 23,000 sukarelawan Saksi-Saksi telah berkhidmat di Warwick bersama anggota keluarga Bethel Amerika Syarikat. Tambahan lagi, seramai 750 orang pekerja pembinaan yang bukan Saksi-Saksi Yehuwa membantu menjalankan projek mengikut jadual. Bekerja bersama Saksi-Saksi Yehuwa memberikan kesan positif yang mendalam kepada kebanyakan pekerja mahir ini.

Persekitaran yang Menyegarkan

Pengurus sebuah syarikat yang menghasilkan tingkap dan sistem dinding menulis: “Semua pekerja syarikat kami yang terlibat dalam projek ini berasa teruja dengan sikap orang semasa berurusan dengan mereka. Itulah sebabnya ramai antara kami ingin menyertai projek ini.”

Sebuah syarikat lain menyediakan kakitangan untuk membina rangka bangunan-bangunan kediaman. Apabila kontrak syarikat tamat, tiga orang pekerja mereka bertekad untuk meneruskan kerja di Warwick. Mereka meletakkan jawatan dan menyertai syarikat lain yang masih bekerja di tapak pembinaan.

Sifat-sifat Kristian yang ditunjukkan oleh Saksi-Saksi memberi pengaruh positif kepada beberapa orang pekerja. Seorang lelaki bekerja dengan sebuah syarikat yang meletakkan asas bangunan. Setelah dia bekerja selama beberapa bulan di Warwick, isterinya dapat melihat perubahan besar dalam sikap dan bahasanya. Isterinya berkata dengan gembira, “Dia sudah banyak berubah!”

“Saksi-Saksi Wanita Akan Datang Juga”

Ramai Saksi-Saksi yang bekerja di tapak pembinaan terdiri daripada kaum wanita. Mereka bukan sahaja memandu bas, membersihkan bilik, dan bekerja sebagai setiausaha, malah mereka mengawal trafik, mengendalikan jentera berat, menyambung kabel optik gentian, menebat paip, memasang dan menyiapkan dinding, memasang paip, dan menuangkan simen. Mereka bekerja keras.

Seorang lelaki bukan saksi yang memasang bumbung memerhati bahawa ada pasangan suami isteri berpegang tangan semasa turun dari bas. Hal ini menyentuh hatinya. Dia juga nampak para wanita bekerja tanpa lelah dalam projek ini. “Mula-mula anda mungkin berfikir bahawa para isteri hanya menemani suami mereka,” katanya. “Tetapi mereka menyiapkan kerja mereka! Saya pernah bekerja di tapak pembinaan di serata Bandar Raya New York, tetapi saya tidak pernah lihat hal seperti ini.”

Musim sejuk tahun 2014/2015 sangat teruk, dan lebih senang untuk tinggal di rumah daripada bekerja di luar sepanjang hari dalam keadaan yang sejuk sekali. Jeremy, seorang Saksi yang bekerja sebagai penyelia pembinaan, mengenang kembali, “Pada hari yang amat sejuk, seorang ketua asas bangunan daripada sebuah syarikat akan menanya saya, ‘Adakah kaum wanita akan bekerja esok?’

“‘Ya.’

“‘Termasuk mereka yang berdiri di luar untuk mengawal trafik?’

“‘Ya.’

“Selepas itu, dia berkata bahawa dia menyuruh pekerjanya datang sebab Saksi-Saksi wanita akan datang juga!”

Pemandu Bas Menikmati Kerja Mereka

Lebih daripada 35 orang pemandu bas diupah untuk membawa para sukarelawan di Warwick berulang-alik dari tempat penginapan mereka.

Sebelum membuat satu perjalanan, seorang pemandu berdiri dan menghadap para penumpang. “Saya suka memandu untuk Saksi-Saksi,” katanya. “Tolong e-mel pengurus saya dan minta dia untuk membenarkan saya terus memandu bas untuk kamu. Saya banyak belajar tentang Bible daripada kamu. Sebelum saya kenal kamu, saya tidak tahu nama Tuhan atau bumi firdaus. Saya tidak lagi takut akan kematian. Pengalaman ini menakjubkan bagi saya. Kamu akan jumpa saya di Dewan Perjumpaan pada hari cuti saya yang seterusnya.”

Damiana, seorang Saksi yang bekerja di Warwick, berkata, “Pada satu hari setelah kami menaiki bas, pemandu kami mengumumkan bahawa dia ingin mengatakan sesuatu kepada kami. Dia berkata bahawa dia sudah membawa 4,000 orang Saksi berulang-alik dari pelbagai lokasi di New York. ‘Semua orang mempunyai keanehan tersendiri,’ katanya, ‘tetapi kamu mengatasi perbezaan kamu dan saling bekerjasama. Hal ini sangat istimewa.’ Dia juga berkata bahawa dia suka berbual dengan kami.

“Setelah dia habis bercakap, salah seorang Saksi bertanya, ‘Adakah kamu suka semasa kami bernyanyi?’

“Dia ketawa dengan riang dan berkata, ‘Ya! Boleh kita mula dengan lagu 134?’” *

^ per. 22 Lagu 134, daripada Nyanyilah kepada Yehuwa bertajuk “Bayangkan Dirimu di Dunia Baru.” Lagu ini menggambarkan kegembiraan yang akan dirasai oleh mereka di dunia baharu Tuhan.