Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Seribu Dewan Perjumpaan

Pada Ogos 2013, Saksi-Saksi Yehuwa di Filipina telah mencapai peristiwa penting yang bersejarah. Mereka telah mendirikan Dewan Perjumpaan yang ke-1000. Seperti di negara lain, sidang-sidang di negara Filipina tidak mempunyai kewangan atau pengalaman yang secukupnya untuk membina Dewan Perjumpaan sendiri. Selama bertahun-tahun mereka mengadakan perjumpaan di rumah saudara saudari atau di pondok yang dibina daripada buluh.

Peningkatan dalam bilangan Saksi-Saksi Yehuwa di Filipina dan di negara lain menunjukkan bahawa lebih banyak Dewan Perjumpaan diperlukan. Maka, pada tahun 1999, Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa telah memulakan program pembinaan Dewan Perjumpaan di negara-negara yang memiliki sumber terhad. Di bawah aturan ini Saksi-Saksi tempatan akan memberikan sumbangan sejauh mana yang mampu, dan perbelanjaan yang selebihnya untuk pembinaan akan dibiayai dengan sumbangan dari negara lain. Para pembina yang terlatih akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membantu sidang membina Dewan Perjumpaan mereka. Pada November 2001, program ini dimulakan di Filipina.

Iluminado ialah seorang ahli sidang di Marilao, Bulacan, di mana Dewan Perjumpaan yang ke-1000 telah dibina. Dia berkata, “Saya benar-benar menikmati persaudaraan Kristian kita. Ramai yang merelakan diri, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda. Kami bekerja bersama di bawah matahari terik. Walaupun penat selepas bekerja sepanjang hari, kami gembira atas apa yang dicapai bersama-sama.”

Orang yang bukan Saksi juga berasa kagum dengan usaha para sukarela. Pemilik lori yang menghantar pasir dan batu kecil ke tapak pembinaan berkata, “Kamu semua macam semut! Banyak orang membantu kerja pembinaan. Saya tidak pernah tengok perkara macam ini terjadi.”

Dewan Perjumpaan yang siap dibina

Para sukarela menyiapkan sebuah Dewan Perjumpaan dalam masa kurang daripada enam minggu. Oleh sebab Dewan Perjumpaan dibina dengan cepat, ahli sidang dapat terus melakukan kerja yang paling penting, iaitu menginjil tentang berita baik Kerajaan Tuhan.—Matius 24:14.

Ellen, seorang lagi ahli sidang berkata, “Kami tidak muat dalam Dewan Perjumpaan yang lama. Banyak orang terpaksa duduk di luar. Dewan Perjumpaan yang baru sangat cantik dan lebih selesa. Oleh itu kami dapat meraih lebih banyak manfaat daripada bimbingan dan galakan yang diberikan semasa perjumpaan.”