Pada 1 Februari 1943, kelas pertama untuk sebuah sekolah yang istimewa telah diadakan di bahagian utara New York. Sekolah tersebut kini dikenali sebagai Sekolah Latihan Gilead. Sekolah itu telah memberikan latihan yang khusus kepada lebih daripada 8,000 orang lelaki dan wanita dari serata dunia.

Atas: Pintu masuk Sekolah Gilead di Lansing Selatan, New York. Bawah: Pengajar Gilead melatih para pelajar kelas Gilead yang ke-31 di sebuah amfiteater

Jonathan, lulusan dari kelas Gilead baru-baru ini, berkata, “Oleh sebab pendidikan yang kami terima berasal daripada Firman Tuhan, kami dapat berkhidmat dengan lebih efektif di tempat dan budaya yang berbeza.” Marnie, isterinya pula berkata, “Sekarang, saya lebih ingin membantu orang memahami bahawa hidup selaras dengan kehendak Pencipta kita ialah kehidupan yang terbaik. Saya yakin dengan membantu orang mengenali Yehuwa, hidup mereka akan bertambah baik.”

Sekolah Gilead menawarkan kursus pendidikan yang percuma selama lima bulan. Sekolah itu amat menitikberatkan Bible dan kepentingan kerja menginjil. Tujuan utamanya ialah: Melatih para lulusan Gilead supaya dapat menguatkan rakan seiman dan membantu para lulusan memupuk sifat-sifat rohani yang diperlukan untuk menghadapi pelbagai cabaran hidup. Semasa sekolah berlangsung, para pelajar mempelajari prinsip-prinsip Bible yang dapat membantu mereka menjadi lebih akrab dengan Tuhan mereka, Yehuwa.

Atas: 1958, Albert Schroeder mengajar para pelajar Gilead dengan menggunakan sebuah model khemah suci Tuhan. Bawah: 1968, Ulysses Glass mengajar kelas Gilead yang ke-46

Semua pasangan suami isteri yang menyertai Sekolah Gilead merupakan penginjil sepenuh masa. Setelah tamat sekolah Gilead, mereka mungkin kembali berkhidmat di tempat asal atau ditugaskan ke negara lain. Ada juga yang ditugaskan ke salah sebuah pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa, yang kini berjumlah lebih daripada 90 buah cawangan. Kebanyakannya ditugaskan ke kawasan yang berpenduduk padat supaya mereka dapat melakukan kerja menginjil dengan lebih berkesan.

Pada mulanya, Sekolah Gilead diadakan di Kingdom Farm, Lansing Selatan, New York. Pada tahun 1961, sekolah itu dipindahkan ke ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Brooklyn, New York. Sejak tahun 1988 hingga 1995, sekolah itu diadakan di Ladang Watchtower, Wallkill, New York. Kemudian, pada tahun 1995, sekolah itu dipindahkan ke Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York. Sekolah itu terus diadakan di sana sehingga hari ini. Pada Mac 2013, majlis penyampaian sijil kelas Gilead yang ke-134 telah berlangsung.

Atas: 2003, Para pelajar kelas Gilead yang ke-116 semasa sesi kelas. Bawah: 2011, Para pelajar sedang belajar di perpustakaan Gilead

Selama 70 tahun, para lulusan Sekolah Latihan Gilead telah menunjukkan teladan yang luar biasa dalam memberikan kesaksian tentang Yehuwa dengan setia.