Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kempen yang Berhasil di Lappland

Di Finland, Norway, dan Sweden, terdapat sekumpulan orang asli yang dikenali sebagai Saami. Mereka memiliki budaya, tradisi, dan bahasa mereka sendiri. Baru-baru ini, Saksi-Saksi Yehuwa telah melakukan dua perkara untuk mengongsi mesej Bible dengan orang Saami.

Pertama, pada musim luruh tahun 2015, Saksi-Saksi Yehuwa mula menghasilkan bahan bacaan Bible dan video dalam bahasa Saami. * Kedua, semasa dua kempen istimewa yang dijalankan pada 2016 dan 2017, Saksi-Saksi Yehuwa telah pergi ke Lappland, sebuah kawasan terpencil di mana terdapat banyak rusa kutub. Mereka mengongsi bahan-bahan yang telah diterjemahkan dengan orang Saami di sana.

‘Kerja yang bermanfaat kepada komuniti’

Semasa kempen istimewa pada Mei 2017, lebih daripada 200 Saksi dari Finland, Norway, dan Sweden, mengunjungi beberapa perkampungan yang tersebar di seluruh Lappland yang beribu-ribu ekar luasnya. Orang Saami berasa kagum kerana para Saksi telah belajar beberapa ungkapan dalam bahasa mereka. “Mereka menghargai usaha kami untuk bercakap dalam bahasa mereka. Mereka sedar kami ambil berat tentang mereka,” kata Denis, salah seorang Saksi yang pergi ke Karigasniemi.

Orang Saami menghargai alam semula jadi dan hidupan liar. Maka, mereka sangat gembira apabila mendengar janji dalam Bible tentang bumi firdaus. (Mazmur 37:11) Contohnya, seorang wanita Saami mempelajari Bible menggunakan brosur Berita Baik daripada Tuhan! Apabila dia mengetahui tentang tujuan Tuhan bagi manusia, dia berasa hairan mengapa dia tidak pernah diajar tentang harapan bumi firdaus.

Ramai yang menunjukkan penghargaan atas kunjungan para Saksi. Seorang pekedai telah memerhatikan dua orang Saksi dan memuji mereka. Dia berkata bahawa mereka sedang melakukan “kerja yang penting dan bermanfaat kepada komuniti.” Kemudian dia menjemput mereka ke kedainya dan menyuruh mereka untuk mengambil makanan yang diperlukan secara percuma.

Sebanyak 180 video ditayangkan dan 500 bahan bacaan telah diberikan semasa kempen itu. Orang Saami sering kali meminta semua bahan bacaan yang terdapat dalam bahasa mereka. Selain itu, sebanyak 14 orang Saami mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa.

“Kerja kamu sangat profesional”

Orang Saami sangat menghargai bahan bacaan Saksi-Saksi Yehuwa yang bermutu tinggi. “Bahan bacaan kamu diterjemahkan dengan begitu baik,” kata Nilla Tapiola, seorang guru dan ahli Lembaga Pengarah Parlimen Saami. Dia menambah bahawa bahan bacaan tersebut “mudah dibaca dan menggunakan bahasa yang bersesuaian.” Seorang lelaki Saami yang tinggal di bahagian paling utara Finland berkata, “Kerja kamu sangat profesional.”

Di Karigasniemi, yang terletak berdekatan sempadan Finland dan Norway, para Saksi membincangkan pelajaran satu dalam brosur Berita Baik daripada Tuhan! dengan seorang guru. Guru itu begitu kagum dengan mutu terjemahan brosur itu lalu meminta izin untuk menggunakannya di sekolah semasa mengajar bahasa Saami.

Beberapa video dan risalah serta satu brosur telah diterjemahkan ke dalam bahasa Saami. Sejak 29 Februari 2016, laman web jw.org telah disediakan dalam bahasa Saami. Setiap bulan, laman web dalam bahasa Saami dikunjungi lebih daripada 400 kali dan kira-kira 350 bahan dalam bentuk digital, audio, dan video, dimuat turun.

Orang Saami dan Saksi-Saksi Yehuwa yang telah menyertai kempen ini meraih manfaat yang besar. Penduduk tempatan “dapat melihat bahawa Bible sangat bermanfaat bagi orang Saami,” kata Henrick dan Hilja-Maria yang pergi ke Utsjoki. Lauri dan Inga yang juga melawat Utsjoki berkata, “Kempen ini mengingatkan kami bahawa Tuhan tidak berat sebelah. Kami amat berbesar hati kerana kami berpeluang untuk mencerminkan kasih-Nya terhadap penduduk di kawasan terpencil ini.”

^ per. 3 Bahasa Saami (atau Sami) dibahagikan kepada beberapa jenis. Menurut Encyclopædia Britannica, “bahasa yang terbesar, iaitu Sami Utara, dituturkan oleh sekitar dua pertiga daripada jumlah keseluruhan penduduk suku Sami.” Saksi-Saksi Yehuwa menterjemahkan bahan bacaan mereka ke dalam bahasa Saami Utara. Rencana ini menggunakan perkataan “Saami” untuk merujuk kepada bahasa Saami Utara.