Lompat ke kandungan

Pejabat-Pejabat Cawangan Saksi-Saksi Yehuwa telah Digabungkan

Pejabat-Pejabat Cawangan Saksi-Saksi Yehuwa telah Digabungkan

Menjelang September 2012, kerja penyeliaan di lebih daripada 20 buah pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa telah ditugaskan kepada cawangan yang lebih besar.

Selain itu, cawangan-cawangan yang baru telah didirikan di Serbia dan Makedonia. Terdapat dua sebab utama untuk perubahan sebegini.

1. Teknologi telah memudahkan kerja kita

Oleh sebab bidang komunikasi dan teknologi percetakan semakin canggih, bilangan kakitangan di sesetengah pejabat cawangan telah dikurangkan. Oleh itu, terdapat bilik-bilik kosong di cawangan yang lebih besar, dan mereka daripada cawangan yang lebih kecil di negara lain dapat berpindah ke sana.

Perubahan ini membolehkan sekumpulan Saksi-Saksi yang berpengalaman bekerja di beberapa lokasi utama untuk menjaga kerja pendidikan Bible di negara-negara yang lain. Sebagai contoh, kerja penyebaran di Costa Rica, El Salvador, Guatemala, Honduras, Nicaragua, dan Panama kini terletak di bawah pengawasan cawangan Mexico. Oleh sebab itu, pejabat cawangan di enam buah negara tersebut telah ditutup.

Empat puluh orang Saksi dari enam buah cawangan tersebut telah ditugaskan ke cawangan Mexico. Kira-kira 95 orang yang lain pula berkhidmat sebagai penyebar sepenuh masa di negara asal sendiri.

Saudara saudari di negara-negara Amerika Tengah itu mula bekerja di pejabat penterjemahan di bawah pengawasan cawangan Mexico. Sebagai contoh, di Panama, kira-kira 20 orang Saksi menterjemahkan bahan bacaan Menara Pengawal ke dalam bahasa peribumi. Tempat yang dahulunya digunakan sebagai pejabat cawangan Guatemala kini digunakan oleh 16 orang Saksi untuk menterjemahkan bahan bacaan ke dalam empat bahasa tempatan. Hasil daripada penyusunan semula ini, jumlah pekerja di pejabat cawangan di Amerika Tengah telah berkurang daripada 300 orang hingga 75 orang.

2. Lebih banyak pekerja dapat meluangkan masa untuk kerja penyebaran

Selepas beberapa cawangan digabungkan, banyak penyiar yang berpengalaman dapat ditugaskan untuk melakukan kerja penyebaran.

Di Afrika, seorang Saksi yang berkhidmat di pejabat cawangan telah ditugaskan untuk melakukan kerja penyebaran. Dia menulis, “Beberapa bulan yang pertama, saya berasa susah untuk menyesuaikan gaya hidup sendiri dengan keadaan baru. Namun, saya sangat bersukacita dan meraih banyak berkat kerana menyertai kerja penyebaran setiap hari. Sekarang, saya mengadakan pembelajaran Bible dengan 20 orang, dan ada antara mereka yang menghadiri perjumpaan.”