Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

“Kamu Memang Teladan yang Baik!”

SAKSI-SAKSI YEHUWA di Saponara, iaitu sebuah pekan di Sicily, menerima plak penghargaan kerana memberikan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan itu.

Pada 22 November 2011, banjir yang dahsyat melanda beberapa buah pekan dan kampung di daerah Messina. Pada malam itu, kejadian tanah runtuh di Saponara menyebabkan seorang kanak-kanak dan dua orang dewasa terbunuh.

Pada hari-hari berikutnya, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengaturkan beberapa pasukan pekerja sukarela, dan memberi mereka peralatan yang diperlukan untuk membersihkan lumpur dan sisa runtuhan di kawasan yang paling teruk dilanda bencana.

Pasukan-pasukan itu bekerjasama dengan pihak berkuasa dan memberikan bantuan di tempat yang paling memerlukannya. Mereka terus bekerja bahkan selepas peringkat kecemasan awal. Antara 50 hingga 80 orang Saksi telah menyertai kerja ini. Ada yang datang dari tempat sejauh 97 kilometer untuk membantu.

Beberapa orang penduduk di kawasan bencana mengucapkan penghargaan mereka kepada Saksi-Saksi. Datuk bandar di situ berulang kali berkata, “Kamu memang teladan yang baik!”

Lima bulan kemudian, Fabio Vinci, seorang ahli Majlis Bandar, telah menyampaikan sebuah plak penghargaan kepada sidang Saksi-Saksi Yehuwa bagi pihak kerajaan negeri.