Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Membantu Orang Muda Menghadapi Masalah Buli

Membantu Orang Muda Menghadapi Masalah Buli

Di England, Hugo, yang berusia 10 tahun, telah menerima Anugerah Diana daripada sebuah persatuan kebajikan kerana dia telah membantu rakan sekolahnya menghadapi masalah buli.

Hugo berkata, “Saya diberi anugerah ini dan dilantik menjadi duta antibuli kerana video Cara Berdepan dengan Pembuli di jw.org. Saya mendapat banyak pengajaran daripada video itu.”

“Setiap hari, ramai kanak-kanak di seluruh dunia dibuli . . . , tetapi . . . kamu dapat melakukan sesuatu.” (Petikan daripada video Cara Berdepan dengan Pembuli)

Hugo menunjukkan video itu kepada guru-gurunya terlebih dahulu. Setelah menontonnya, mereka berasa kagum dan mengaturkan agar semua pelajar di sekolah dapat melayari laman web jw.org dan menonton video itu. Sekarang, banyak pelajar di sekolah itu yang berusia antara 8 hingga 10 tahun selalu melayari laman web tersebut. Mereka berkata bahawa laman web itu membantu mereka menghadapi masalah buli dan mengajar mereka cara untuk menjawab soalan-soalan seperti, apakah itu sahabat sejati?

Orang Muda Mendapat Nasihat yang Berkesan

Di sebuah lagi sekolah di England, Elijah, yang berusia lapan tahun, dibuli. Dia dan keluarganya telah menonton video itu. Mereka mengadakan sesi latihan untuk mengajar Elijah apa yang dapat dikatakan dan dilakukannya sewaktu dia dibuli. Hal ini memberi Elijah keyakinan untuk berdepan dengan pembuli di sekolah dan mengatasi masalah buli. Semasa kempen antibuli diadakan di sekolah Elijah, guru Elijah telah menunjukkan video itu kepada semua pelajar.

Masalah buli tidak hanya berlaku di England, tetapi juga berlaku di seluruh dunia. Video ini dapat membantu orang muda di serata dunia.

Di Amerika Syarikat, Ivie, yang berusia 10 tahun, takut dengan rakan sekelas yang membulinya. Setelah menonton video itu, Ivie berani menghadapi rakannya itu. Dia memberitahu gurunya tentang masalah itu dan gurunya pun membantu dia. Rakan yang membulinya meminta maaf, dan sekarang mereka berkawan baik.

Saksi-Saksi Yehuwa prihatin terhadap orang muda. Kami akan terus memberikan nasihat-nasihat praktikal yang dapat membantu orang muda menghadapi pelbagai masalah seperti masalah buli.