Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Cubaan Membunuh Diri di Sky Tower Digagalkan

Graham Browne, seorang Saksi Yehuwa yang berumur 80 tahun, telah membantu seorang lelaki yang mempunyai masalah mental. Dia telah menasihati lelaki itu agar tidak terjun dari Sky Tower, sebuah bangunan yang tingginya 328 meter (1,076 kaki) di Auckland, New Zealand. “Semasa lelaki itu meminta untuk bercakap dengan seorang Saksi Yehuwa, pihak polis menelefon saya dan meminta saya untuk membantu,” kata Graham.

“Para pekerja di Sky Tower membantu saya memakai tali keselamatan dan mengikatkan Bible saya dengan tali yang panjang. Kemudian, pihak polis membawa saya ke pelantar pemandangan di luar, yang tingginya 192 meter (630 kaki). Saya dapat merasakan angin sejuk yang berhembus kencang. Lelaki yang ingin membunuh diri itu berada tidak jauh daripada saya. Dia sedang duduk di atas laluan yang sempit dengan kakinya terjuntai.

“Saya memanggilnya dan memberitahunya bahawa saya ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang ingin membantunya. Setelah berdoa dalam hati, saya membuka Bible saya dan mula bercakap.

“Saya bercakap tentang betapa sucinya nyawa kita. Itulah topik yang telah saya bincangkan semasa memberikan ceramah di Dewan Perjumpaan baru-baru ini.

“Saya memberitahunya, ‘Kamu sangat berharga kepada Tuhan, dan Dia telah memberi kamu suatu hadiah yang istimewa, iaitu nyawa kamu. Sudah pasti kamu mahu menunjukkan bahawa kamu menghargai hadiah itu, bukan? Marilah ke sini, di belakang pagar lebih selamat.’

“Saya juga membaca beberapa ayat Bible, termasuk Yohanes 3:​16, yang menyatakan, ‘Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.’

“Saya berkata kepadanya, ‘Tuhan mengasihi kamu dan Dia mahu kamu terus hidup.’

“Pada mulanya, lelaki itu nampaknya tidak menumpukan perhatian kepada saya. Maka saya berdoa lagi kepada Yehuwa agar membantu saya meyakinkan lelaki itu. Akhirnya, dia bangun secara perlahan-lahan lalu mendekati saya. Dia kelihatan sangat gelisah.

“Dia berkata, ‘Baru-baru ini, Saksi-Saksi Yehuwa datang ke rumah saya, tapi saya suruh mereka pergi. Saya rasa sangat bersalah. Bolehkah kamu maafkan saya?’

“Saya menjawab, ‘Ada dalam kalangan kami yang pernah buat begitu sebelum menjadi Saksi. Jangan risau, Yehuwa pasti akan mengampuni kamu.’

“Dia berkata, ‘Terima kasih, saya rasa lebih lega sekarang.’

“Saya berkata lagi, ‘Sebenarnya, saya risau tentang kamu. Saya ada pakai tali keselamatan, tapi kalau kamu tergelincir, kamu akan kehilangan nyawamu yang amat berharga, dan Yehuwa pasti sangat sedih. Jadi, tolong datang ke belakang pagar keselamatan.’

“Sikapnya menjadi lebih tenang, lalu dia berkata dengan lembut, ‘OK, saya akan masuk.’

“Dia melangkah ke pelantar pemandangan lalu pihak polis cepat-cepat membawanya ke dalam. Perbualan kami tadi telah berlangsung kira-kira satu jam.”

Saksi-Saksi Yehuwa benar-benar mengambil berat terhadap orang lain, terutamanya mereka yang menghadapi kesusahan. Di serata dunia, mereka menggunakan ayat-ayat Bible untuk memberikan kelegaan hati dan harapan, agar orang diyakinkan bahawa Tuhan sangat mengambil berat terhadap manusia.