Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Membantu Para Banduan

Setiap hari, tahanan-tahanan di Amerika Syarikat menulis banyak surat kepada pejabat Saksi-Saksi Yehuwa untuk meminta bantuan rohani.

Kami menyahut permintaan sebegini dan mengaturkan agar penginjil di sidang tempatan melawat dan belajar Bible dengan orang yang berada di penjara, hospital khas, pusat belia, dan pusat pemulihan dadah.

Di beberapa penjara, penginjil kami mengadakan perjumpaan sidang secara tetap. Contohnya, di sebuah penjara, seramai 32 orang hadir untuk mendengar ceramah umum yang disampaikan di dua tempat yang berbeza.

Aturan sedemikian telah membuahkan hasil yang baik. Seorang lelaki di Indiana dipenjarakan dan akan dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan membunuh darjah pertama. Namun, dia telah membuat perubahan dalam hidupnya dan dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa.

Seorang Saksi telah belajar Bible dengan seorang lelaki yang ditahan di sebuah kompleks pemulihan yang besar di California. Saksi itu berkata, “Saya telah melihat sikapnya sebelum belajar Bible dan kemajuan yang dibuat olehnya. Perubahan yang dilakukannya supaya layak untuk dibaptis begitu ketara.”

Banyak tahanan mula hidup selaras dengan prinsip Bible walaupun mereka tahu bahawa hal itu mungkin membahayakan nyawa mereka. Contohnya, beberapa orang yang memutuskan hubungan dengan geng terpaksa diasingkan atau dipindahkan ke pusat lain demi keselamatan mereka.

Pegawai-pegawai penjara berasa kagum setelah mereka melihat bagaimana Bible dapat mengubah hidup seseorang. Ada yang memberikan sijil penghargaan dan anugerah kepada Saksi-Saksi atas usaha baik mereka di pusat-pusat pemulihan.