Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Patutkah Agama dan Politik Bercampur?

Patutkah Agama dan Politik Bercampur?

 Di serata dunia, banyak orang yang menggelar diri sebagai pengikut Yesus Kristus melibatkan diri dalam politik. Ada yang cuba mengajukan pandangan agama dan moral mereka dengan menyokong seorang calon atau sebuah parti politik. Tambahan lagi, ada ahli politik yang menggunakan isu moral atau sosial untuk mendapatkan sokongan komuniti beragama. Kita juga selalu melihat pemimpin agama memegang jawatan politik. Di sesetengah negara, suatu aliran “Kristian” bahkan boleh menjadi agama rasmi negara itu.

 Apakah pandangan anda? Patutkah pengikut Yesus Kristus melibatkan diri dalam politik? Anda dapat menemui jawapan kepada soalan ini dengan meneliti teladan Yesus. Dia pernah berkata, “Aku sudah menetapkan teladan untuk kamu, kamu juga harus melakukan apa yang sudah aku lakukan untuk kamu.” (Yohanes 13:15) Apakah teladan yang ditetapkan oleh Yesus berkenaan hal-hal politik?

Adakah Yesus melibatkan diri dalam politik?

 Tidak. Yesus tidak melibatkan diri dalam politik dunia.

 Yesus tidak cuba mendapatkan kuasa politik. Apabila Syaitan Si Iblis menawarkan “semua kerajaan dunia” kepada Yesus, dia telah menolak tawaran itu. (Matius 4:8-10) a Pernah sekali, orang yang mengagumi sifat-sifat kepimpinan Yesus cuba memaksanya untuk menyertai politik, tetapi Bible menyatakan, “Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksanya menjadi raja mereka. Maka sekali lagi dia pergi ke gunung seorang diri.” (Yohanes 6:15) Yesus tidak menurut kehendak orang ramai. Sebaliknya, dia enggan melibatkan diri dalam hal-hal politik.

 Yesus tidak menyokong mana-mana isu politik. Contohnya, orang Yahudi pada zaman Yesus tidak suka membayar cukai kepada kerajaan Roma kerana mereka menganggap cukai itu sebagai beban yang tidak adil. Apabila mereka cuba memaksa Yesus untuk menyebelahi salah satu pihak, Yesus enggan berdebat tentang sama ada cukai itu adil atau tidak. Dia memberitahu mereka, “Berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.” (Markus 12:13-17) Yesus tetap neutral dalam isu-isu politik, tetapi dia menyatakan bahawa cukai yang dituntut oleh kerajaan Roma, yang dilambangkan oleh Kaisar, patut dibayar. Pada masa yang sama, dia mengajar bahawa kerajaan manusia tidak mempunyai kuasa yang mutlak atau tidak terbatas. Maka kita tidak patut memberikan milik Tuhan, seperti kesetiaan dan ibadat kita, kepada kerajaan.—Matius 4:10; 22:37, 38.

 Yesus menyokong Kerajaan Tuhan, sebuah kerajaan di syurga. (Lukas 4:43) Dia tidak melibatkan diri dalam politik kerana dia tahu bahawa Kerajaan Tuhan, bukan kerajaan manusia, yang akan melaksanakan kehendak Tuhan untuk bumi. (Matius 6:10) Dia memahami bahawa Kerajaan Tuhan tidak akan memerintah melalui kerajaan manusia, tetapi kerajaan itu akan menggantikan kerajaan manusia.—Daniel 2:44.

Adakah orang Kristian pada abad pertama melibatkan diri dalam politik?

 Tidak. Pengikut Yesus mematuhi perintahnya agar tidak menjadi “sebahagian daripada dunia.” (Yohanes 15:19) Mereka meniru teladan Yesus dan tidak melibatkan diri dalam hal-hal politik. (Yohanes 17:16; 18:36) Sebaliknya, mereka melakukan kerja yang diperintahkan oleh Yesus, iaitu menyebarkan berita Kerajaan Tuhan dan mengajar orang tentangnya.—Matius 28:18-20; Kisah 10:42.

 Orang Kristian pada abad pertama mengutamakan kepatuhan kepada Tuhan, tetapi mereka juga tahu bahawa mereka perlu menghormati pihak berkuasa. (Kisah 5:29; 1 Petrus 2:13, 17) Mereka mematuhi undang-undang dan membayar cukai. (Roma 13:1, 7) Biarpun mereka tidak melibatkan diri dalam politik, mereka masih meraih manfaat daripada perlindungan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.—Kisah 25:10, 11; Filipi 1:7.

Pendirian neutral orang Kristian hari ini

 Bible menunjukkan bahawa Yesus dan para pengikutnya pada zaman awal tidak melibatkan diri dalam politik. Itulah sebabnya, sebagai orang Kristian, Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia berpendirian neutral. Seperti orang Kristian pada abad pertama, mereka melakukan kerja yang diperintahkan oleh Yesus, iaitu menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan.”—Matius 24:14.

a Semasa Yesus menolak tawaran Syaitan, dia tidak mempersoalkan sama ada Syaitan berhak untuk membuat tawaran itu. Dia kemudiannya memanggil Syaitan “pemerintah dunia ini.”—Yohanes 14:30