Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

GEORGIY PORCHULYAN | KISAH HIDUP

“Kasih kepada Yehuwa Menguatkan Saya”

“Kasih kepada Yehuwa Menguatkan Saya”

Saya hanya berumur 23 tahun semasa dihantar ke kem buruh paksa di Magadan, Siberia. Pada masa itu, saya baru dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa selama satu tahun. Saya tidak matang dan selalu bertindak terburu-buru. Kali pertama saya cuba menginjil di kem, saya hampir mencetuskan pergaduhan.

 Mengapakah saya berhenti menjadi ahli Komunis dan menyertai agama yang dianggap sebagai musuh Kerajaan? Bagaimanakah kasih Yehuwa dan latihan-Nya membantu memperbaiki sifat saya semasa saya dibuang negeri dan dihantar ke kem buruh paksa?

Mencari Keadilan dan Ketenangan Minda

 Saya lahir pada tahun 1930 di Tabani. Tabani ialah sebuah kampung di utara Moldova. Keluarga saya miskin dan ibu bapa saya bekerja keras di ladang untuk menyara kami enam orang adik-beradik. Ibu saya ahli Gereja Ortodoks Rusia, dan bapa saya pula orang Katolik. Mereka sering bertengkar tentang perkara buruk yang dilakukan oleh paderi.

 Semasa berumur 18 tahun, saya tamat sekolah lalu menyertai Komsomol, iaitu organisasi yang mendidik kaum muda untuk menjadi ahli Parti Komunis. Tidak lama kemudian, saya dilantik sebagai setiausaha bagi kumpulan tempatan. Kami sangat mementingkan layanan sama rata, keadilan, dan ikatan persaudaraan. Tetapi semasa saya melihat ketidakadilan dan perkara buruk yang berlaku dalam masyarakat, saya rasa kecewa dan keliru.

 Sebagai ahli Komsomol, saya terpaksa menyokong arahan kerajaan Kesatuan Soviet a untuk menutup gereja-gereja dan membubarkan kumpulan agama. Sebenarnya, terdapat beberapa Saksi-Saksi Yehuwa di kampung kami. Saya nampak mereka orang yang jujur dan suka akan kedamaian. Tetapi saya anggap mereka sebagai fanatik. Saya tidak sangka akhirnya salah seorang daripada mereka telah menjawab banyak soalan saya tentang kehidupan.

 Pak cik saya yang bernama Dimitriy, tinggal sekampung dengan saya. Dia ialah salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Pada suatu hari, semasa musim bunga tahun 1952, dia tanya saya, “Georgiy, apa yang kamu mahu buat dalam hidup kamu?” Dialah satu-satunya orang yang pernah tanya saya soalan itu kerana dia sangat mengambil berat tentang saya. Sebenarnya, ada banyak soalan yang bermain di minda saya. Sebagai contoh, saya asyik tertanya-tanya, “Jika Tuhan wujud, kenapa Dia biarkan banyak penderitaan berlaku?” Kami berbincang tentang Bible selama lapan hari, dan pak cik saya guna Bible untuk jawab semua soalan saya. Ada kalanya, kami cakap tentang Tuhan sehingga jam tiga pagi!

Ada kalanya Georgiy dan Dimitriy membincangkan topik Bible sehingga larut malam

 Selepas perbincangan itu, saya membuat keputusan untuk belajar Bible dengan serius. Saya sedar bahawa saya ada Bapa di syurga yang sangat mengasihi saya. (Mazmur 27:10) Walaupun pengetahuan Bible saya tidak banyak, saya sangat mengasihi Yehuwa. Itulah yang mendorong saya untuk meninggalkan Parti Komunis walaupun diancam oleh pengerusi Parti Komunis tempatan. Empat bulan selepas saya mula belajar Bible, saya membaktikan diri dan dibaptis pada bulan September 1952.

Kasih kepada Yehuwa Diuji

 Pada masa itu, kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa diharamkan. Namun saya mahu menunjukkan kasih kepada Yehuwa. Jadi, saya menawarkan diri untuk mengedarkan bahan bacaan Bible kepada para Saksi yang tinggal di kawasan kampung. Ini kerja yang bahaya kerana orang kampung biasanya rasa takut jika nampak orang luar masuk ke kampung mereka dan akan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Sebenarnya, bahkan ramai Saksi pun curiga terhadap saya. Mereka takut saya ialah pengintip polis yang berpura-pura menjadi Saksi. Tetapi tidak lama kemudian, mereka sedar saya benar-benar seorang Saksi. Hanya dua bulan selepas dibaptis, saya ditahan dan disabitkan bersalah kerana mengedarkan bahan bacaan yang haram.

 Saya ditahan selama hampir setahun sebelum kes saya dibicarakan. Pada masa itu, para pegawai menyoal siasat saya dan cuba berkali-kali untuk membuat saya menyerah. Tetapi usaha mereka gagal kerana saya mempunyai kasih yang kuat terhadap Tuhan Yehuwa. Akhirnya, perbicaraan terbuka diadakan untuk kes saya di sebuah mahkamah di bandar Odessa, Ukraine. Ibu bapa dan adik-beradik saya yang bukan Saksi pada masa itu dipanggil untuk hadir di mahkamah.

 Saya dituduh menyertai kumpulan agama yang berbahaya kerana otak saya telah dicuci. Pihak berkuasa mahu ibu bapa dan adik-beradik saya percaya bahawa saya sudah gila. Ibu bapa saya berasa takut. Mereka menangis dan menyuruh saya bertaubat. Tetapi saya tetap bertenang. Saya memberitahu ibu saya, “Jangan risau mak. Saya tidak sesat. Saya telah menjumpai apa yang saya cari selama ini dan saya tidak akan meninggalkannya.” (Amsal 23:23) Biarpun saya tidak mempunyai banyak pengetahuan Bible, tetapi pengetahuan yang saya ada tentang Yehuwa sudah cukup untuk mendorong saya agar tetap setia kepada-Nya. Kira-kira enam tahun kemudian, ibu bapa saya mula menghargai ajaran Bible dan mereka juga menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.

Ibu bapanya hadir semasa mahkamah menuduh Georgiy menyertai kumpulan agama yang berbahaya

 Saya dijatuhkan hukuman sebagai buruh paksa selama 15 tahun dan dihantar ke wilayah Kolyma. Terdapat banyak kem buruh paksa di Siberia, dan Kolyma ialah pusatnya. Untuk mengawal para banduan, para pengawal dan pegawai memukuli kami dan sering tidak beri kami makanan. Pada mulanya, saya tidak pasti sama ada saya akan terus hidup atau tidak.

Merasai Kasih Tuhan dan Dilatih oleh-Nya

 Tidak lama selepas saya tiba, ada sebilangan Saksi di sana yang tanya saya, “Adakah golongan Yonadab dalam kumpulan kamu?” Dengan serta-merta saya yakin mereka saudara seiman saya, sebab hanya Saksi sahaja yang akan guna ungkapan Bible sebegitu. Terdapat 34 Saksi yang dipenjarakan di sana, dan ada dalam kalangan mereka yang amat berpengalaman. Mereka telah membantu saya menerapkan prinsip Bible dan memupuk daya pertimbangan yang baik dan sifat rohani yang lain.

 Saya bekerja sebagai jurumesin di dalam kem. Pada suatu hari, seorang rakan kerja yang bernama Matphey dengan sombong kata dia boleh hafal nama 50 santo. Saya menghina santo-santo itu, dan Matphey hampir menumbuk saya tetapi saya berjaya melarikan diri. Selepas itu, saya rasa sakit hati kerana nampak para saudara ketawakan saya. Saya kata, “Kenapa kamu ketawa? Saya mahu menginjil!” Dengan baik hati, mereka mengingatkan saya bahawa tujuan kita adalah untuk mengongsi berita baik, dan bukannya menyinggung perasaan orang. (1 Petrus 3:15) Matphey ialah pemberontak politik, tapi dia sangat kagum kerana para Saksi selalu menghormati para pengawal dan pihak berkuasa. Dia akhirnya menunjukkan minat pada mesej Bible. Saya tidak akan lupa masanya dia dibaptis secara sembunyi-sembunyi dalam tong yang berisi air sejuk pada waktu malam.

 Pada suatu hari, saya dan dua orang saudara muda dijemput untuk menghadiri kelas teori politik. Pada mulanya, kami tidak mahu menghadirinya sebab kami fikir itu tidak selaras dengan prinsip keneutralan. (Yohanes 17:16) Akibatnya, kami dimasukkan dalam sel hukuman yang gelap selama dua minggu. Selepas kami dibebaskan, para saudara menjelaskan bahawa menghadiri kelas sebegitu tidak bermaksud kami telah melanggar prinsip Bible. Sebaliknya, kami dapat memandangnya sebagai peluang untuk menginjil. Sememangnya, para saudara yang penyayang telah membantu kami jadi lebih munasabah dan bijak.

 Cara para saudara ini membimbing saya meyakinkan saya bahawa Yehuwa amat mengasihi saya. Sebagai contoh, seorang banduan yang merupakan paderi telah dilantik sebagai ketua akauntan. Setiap kali kami bertembung, dia akan sapa saya dengan kata, “Hai, anak Iblis!” Jadi seorang banduan ajar saya untuk balas dia dengan kata, “Hai, ayah!” Sedihnya, saya ikut nasihat banduan itu dan akibatnya saya dipukul dengan teruk. Apabila para saudara mendapat tahu apa yang berlaku, mereka bantu saya sedar bahawa saya tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu. (Amsal 29:11) Saya pun meminta maaf kepada paderi itu.

 Sebelum dihantar ke kem, saya selalu menghadiri perjumpaan Kristian secara senyap-senyap pada waktu malam atau awal pagi. Tetapi di sini, kami tiada tempat untuk bersembunyi. Jadi biarpun kami diperhatikan oleh para pengawal, setiap pagi kami akan berdiri dalam bulatan untuk membincangkan ayat Bible yang telah kami catatkan atas secebis kertas. Matlamat kami adalah untuk menghafal sebanyak mungkin ayat Bible. Jika pengawal datang, kami akan cepat-cepat telan nota kami.

Oleh sebab tiada tempat untuk sembunyi di kem buruh paksa, para Saksi membincangkan ayat Bible biarpun dilihat oleh para pengawal

Dibuang Negeri namun Tetap Merasai Kasih Tuhan

Pada awal tahun 1960-an, selepas Georgiy dibebaskan dari kem buruh paksa

 Selepas dibebaskan dari kem pada tahun 1959, saya dibuang negeri ke wilayah Karaganda di Kazakhstan. Walaupun saya masih dalam pengawasan, saya memohon pihak berkuasa memberi saya cuti selama 20 hari untuk berkahwin. Saya membuat perjalanan ke wilayah Tomsk di Rusia untuk berjumpa dengan seorang saudari setia yang bernama Maria. Saya memang orang yang suka berterus terang. Jadi saya terus memberitahu Maria, “Maria, saya tiada masa mahu dating. Kahwinlah saya!” Dia setuju dan kami adakan majlis perkahwinan yang ringkas. Maria menghargai ketabahan saya kerana melalui banyak cabaran dan dia mahu membantu saya terus berkhidmat kepada Yehuwa.—Amsal 19:14.

 Pada tahun 1960-an, kami tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah. Jadi kami selalu cari peluang untuk mengongsi kepercayaan kami secara tidak formal. Jika kami dijemput sebagai tetamu atau pergi bercuti, kami selalu kongsi harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi. Kami juga akan sengaja mewujudkan peluang agar dapat bercakap dengan orang lain. Contohnya, kami mengunjungi rumah yang akan dijual dan cuba berbual dengan tuan rumah tentang hal-hal rohani. Dengan menggunakan cara sebegini, saya dan Maria telah memulakan pembelajaran Bible dengan enam orang yang akhirnya menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.

 Kadangkala kami juga memberikan kesaksian semasa musim mengundi. Pada suatu hari, ada pegawai polis rahsia yang datang ke kilang tempat saya dan beberapa orang saudara bekerja. Di hadapan kira-kira 1,000 pekerja, mereka tanya kami mengapa Saksi-Saksi Yehuwa tidak terlibat dalam politik. Ketua jurutera dan beberapa orang pekerja lain membela kami. Mereka memberitahu pegawai polis bahawa kami pekerja yang bertanggungjawab dan rajin. Reaksi rakan kerja kami memberi kami keberanian untuk menjelaskan pendirian kami dengan menggunakan ayat Bible yang dihafal. Hasilnya, empat rakan kerja kami menunjukkan minat pada kebenaran Bible dan dibaptis dalam masa kurang daripada setahun.

 Pada awal tahun 1970-an, banyak orang yang berhati jujur menjadi Saksi-Saksi Yehuwa di Kazakhstan. Kami rasa kami perlu adakan perhimpunan pertama kami. Tetapi, bagaimanakah kami dapat melakukannya tanpa dikesan oleh pihak berkuasa? Kami memutuskan untuk mengadakan perhimpunan satu hari sempena majlis perkahwinan di sebuah kampung yang terletak dekat bandar Almaty. Terdapat lebih daripada 300 orang yang hadir acara itu. Isteri saya dan beberapa orang saudari telah bekerja keras untuk menghias tempat itu dan menyediakan makanan yang sedap. Para tetamu sangat menikmati ceramah Bible yang disampaikan oleh para saudara. Itulah juga kali pertama saya menyampaikan ceramah Bible di hadapan banyak orang.

Kasih Tuhan Membantu Kami Mengharungi Cubaan

Georgiy bersama isterinya, Maria, dan anak perempuan mereka, Lyudmila

 Isteri saya menjadi penolong saya yang setia sepanjang hayatnya. Dia lemah lembut, taat, dan selalu mengutamakan hal-hal rohani. Dia sangat kuat, namun tanpa diduga dia tiba-tiba menghidap penyakit osteoporosis. Akibatnya, dia terlantar di katil untuk hampir 16 tahun. Saya dan anak perempuan saya Lyudmila telah menjaganya sehingga dia meninggal pada tahun 2014.

 Semasa isteri saya menderita, saya rasa sangat terseksa. Untuk mendapat galakan, kami membaca Bible dan rencana dalam bahan bacaan kita bahkan pada hari terakhir hidupnya. Kami selalu bercakap tentang dunia baharu. Kadangkala, saya akan menangis di tepi katilnya. Namun bila kami membaca tentang janji Yehuwa yang menakjubkan, hal itu membantu kami bertenang dan tetap bertabah.—Mazmur 37:18; 41:3.

Georgiy dan Lyudmila di sebuah gathering bersama saudara saudari

 Dari hari pertama saya kenal Yehuwa, saya telah merasai kasih dan sokongan-Nya dalam hidup saya. (Mazmur 34:19) Sebagai seorang pemuda yang kurang pengalaman, saya merasai kasih-Nya melalui rakan seiman yang telah membantu saya membentuk keperibadian yang lebih baik dengan sabar. Semasa saya menghadapi cabaran di kem dan semasa saya dibuang negeri, saya merasai bantuan Yehuwa melalui Firman-Nya. Yehuwa juga telah memberi saya kekuatan untuk menjaga isteri saya sehingga akhir hayatnya. Sememangnya, saya dapat kata dengan yakin sekali bahawa kasih saya kepada Yehuwa telah menguatkan saya sepanjang hidup!

a Kazakhstan, Moldova, dan Ukraine merupakan sebahagian daripada Kesatuan Soviet sehingga tahun 1991.