Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dapatkah Kita Menyenangkan Hati Tuhan?

Dapatkah Kita Menyenangkan Hati Tuhan?

Semasa membaca tentang sesetengah tokoh Bible, pernahkah anda berfikir, “Mustahil saya dapat menjadi seperti mereka. Mereka selalu berbuat baik. Saya pula sering berbuat silap!”

Ayub “baik budi” dan “tidak melakukan perbuatan jahat.”—Ayub 1:1

Ayub seorang yang “baik budi” dan “tidak melakukan perbuatan jahat.” (Ayub 1:1) Lot juga “lelaki yang baik.” (2 Petrus 2:8) Daud pula ‘hanya melakukan apa yang dikehendaki Tuhan.’ (1 Raja-Raja 14:8) Namun, setelah meneliti kehidupan mereka, kita akan mendapati bahawa (1) mereka juga berbuat silap, (2) banyak yang dapat kita pelajari daripada teladan mereka, dan (3) manusia yang tidak sempurna memang dapat menyenangkan hati Tuhan.

MEREKA JUGA BERBUAT SILAP

‘Tuhan menyelamatkan Lot, seorang lelaki yang baik, yang sangat susah hati kerana orang jahat di situ berkelakuan buruk tanpa rasa malu.’—2 Petrus 2:7

Ketika Ayub dilanda pelbagai kesusahan, dia berfikir bahawa Tuhan tidak peduli sama ada dia beriman atau tidak. (Ayub 9:20-22) Ayub begitu yakin bahawa dia tidak bersalah sehingga orang yang mendengar keluhannya berasa bahawa dia menganggap dirinya lebih baik daripada Tuhan.—Ayub 32:1, 2; 35:1, 2.

Lot susah hati kerana perbuatan keji penduduk  Sodom dan Gomora, bahkan hal itu menyebabkan “batinnya terseksa.” (2 Petrus 2:8) Oleh itu, apabila Tuhan berfirman bahawa Dia ingin memusnahkan kota-kota itu dan mengarahkan Lot untuk melarikan diri bersama keluarganya, kita mungkin berfikir bahawa Lot akan segera bertindak. Tetapi pada saat yang genting itu, dia teragak-agak untuk bertindak. Dua malaikat yang diutus untuk menyelamatkan Lot dan keluarganya terpaksa memegang tangan mereka dan membawa mereka ke luar kota.—Kejadian 19:15, 16.

Daud ‘setia kepada Tuhan dan taat kepada perintah-Nya. Dia hanya melakukan apa yang dikehendaki Tuhan.’—1 Raja-Raja 14:8

Pernah sekali, Daud tidak mengawal nafsunya dan berzina dengan isteri orang lain. Bukan itu sahaja, dia merancang agar suami wanita itu dibunuh supaya perbuatannya tidak diketahui orang. (2 Samuel, bab 11) Yehuwa tidak berkenan dengan perbuatan Daud.—2 Samuel 11:27.

Ayub, Lot, dan Daud pernah melakukan kesilapan yang besar. Namun, mereka benar-benar ingin menyembah Tuhan dan mentaati-Nya. Oleh sebab mereka berasa sesal dan rela berubah, Tuhan berkenan dengan mereka. Maka, mereka dianggap sebagai orang yang setia dalam Bible.

PENGAJARAN BAGI KITA

Kita semua tidak sempurna dan berbuat silap. (Roma 3:23) Apabila kita berbuat silap, kita harus menyesali kesilapan itu dan kemudian berusaha membetulkannya.

Bagaimanakah Ayub, Lot, dan Daud berusaha membetulkan kesalahan mereka? Ayub seorang yang setia. Setelah Tuhan menasihatinya, Ayub membetulkan fikirannya dan menyesali kata-kata yang diucapkannya. (Ayub 42:6) Lot mempunyai  pandangan yang sama seperti Tuhan terhadap kelakuan buruk penduduk Sodom dan Gomora. Meskipun Lot lambat bertindak, dia keluar dari kota-kota itu dan terselamat. Dia mematuhi perintah Tuhan dan tidak menoleh ke belakang. Daud telah melanggar hukum Tuhan, tetapi dia bertaubat dengan ikhlas dan merayu agar Tuhan berbelas kasihan terhadapnya. Hal ini menunjukkan bahawa dia mempunyai hati yang murni.—Mazmur 51.

Tuhan tidak mengharapkan sesuatu yang mustahil daripada manusia yang tidak sempurna. Maka Ayub, Lot, dan Daud dapat menyenangkan hati-Nya. Tuhan “tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ini debu belaka.” (Mazmur 103:14) Memandangkan Tuhan tahu bahawa kita cenderung berbuat silap, apakah yang dikehendaki-Nya daripada kita?

Tuhan “tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ini debu belaka.”—Mazmur 103:14

DAPATKAH MANUSIA YANG TIDAK SEMPURNA MENYENANGKAN HATI TUHAN?

Untuk mengetahui jawapannya, mari kita perhatikan nasihat Raja Daud kepada Salomo: ‘Hai putera beta, hendaklah Tuhan yang disembah ayahandamu, engkau akui sebagai Tuhanmu. Engkau harus mengabdikan diri kepada-Nya dengan tulus ikhlas.’ (1 Tawarikh 28:9) Ya, seseorang yang ‘mengabdikan diri kepada Tuhan dengan tulus ikhlas’ mungkin tidak sempurna, tetapi dia mengasihi Tuhan dan ingin melaksanakan kehendak-Nya. Dia mahu menyembah dan mentaati Tuhan, serta sudi menerima nasihat-Nya. Itulah sebabnya Ayub digambarkan sebagai orang yang “baik budi,” Lot pula “tidak melakukan perbuatan jahat,” dan Daud ‘hanya melakukan apa yang dikehendaki Tuhan.’ Meskipun mereka pernah berbuat silap, mereka dapat menyenangkan hati Tuhan.

Seseorang yang mengabdikan diri kepada Tuhan dengan tulus ikhlas ingin melakukan kehendak-Nya dan mentaati-Nya

Oleh itu, jika fikiran jahat pernah terlintas dalam minda kita, atau jika kita mengatakan atau melakukan sesuatu yang disesali kemudian, biarlah contoh-contoh ini meyakinkan kita bahawa kita dapat menyenangkan hati Yehuwa. Tuhan tahu kita tidak dapat mencapai kesempurnaan sekarang, tetapi Dia masih mahu kita mengasihi-Nya dan berusaha mentaati-Nya. Jika kita berbuat demikian dengan sepenuh hati, kita dapat menyenangkan hati Tuhan!