Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 TOPIK UTAMA | SEBUAH KERAJAAN TANPA RASUAH

Rasuah—Racun Masyarakat

Rasuah—Racun Masyarakat

Gejala rasuah dalam sektor kerajaan merupakan masalah yang lazim. Hal ini merangkumi penyalahgunaan kuasa demi kepentingan sendiri. Menerusi Bible, kita tahu bahawa masalah ini sudah wujud sekitar 3,500 tahun dahulu. Misalnya, hukum Bible melarang orang yang menangani kes pengadilan untuk menerima rasuah. (Keluaran 23:8) Sebenarnya, rasuah bukan sahaja melibatkan wang. Kadangkala, pegawai kerajaan juga menerima rasuah dalam bentuk benda dan perkhidmatan, atau menyalahgunakan kuasa demi kepentingan kawan dan keluarga mereka.

Amalan rasuah sangat berleluasa, terutamanya dalam sektor kerajaan. Berdasarkan rencana Global Corruption Barometer 2013 terbitan Badan Ketelusan Antarabangsa, orang di serata dunia berpendapat bahawa ahli politik, pegawai polis, pegawai kerajaan, ahli perundangan, dan anggota kehakiman paling banyak terbabit dalam amalan rasuah. Berikut merupakan laporan rasuah di beberapa tempat.

  • AFRIKA: Pada tahun 2013, sekitar 22,000 pegawai kerajaan di Afrika Selatan dituduh terlibat dalam gejala rasuah.

  • AMERIKA SELATAN: Pada tahun 2012, sebanyak 25 orang di Brazil disabit kesalahan menggunakan wang tabung awam untuk menarik undi. Ketua staf bagi bekas presiden Brazil, iaitu orang yang kedua paling berkuasa dalam negara, juga terbabit dalam kes rasuah ini.

  • ASIA: Pada tahun 1995, sebanyak 502 orang terkorban sewaktu sebuah pusat beli-belah runtuh di Seoul, Korea Selatan. Pegawai kerajaan yang menerima rasuah membiarkan kontraktor menggunakan bahan berkualiti rendah dalam pembinaan bangunan ini. Selain itu, projek pembinaan ini tidak menepati peraturan keselamatan.

  • EROPAH: Cecilia Malmström, seorang pegawai Suruhanjaya Eropah Dalam Negeri berkata, “Masalah ini [rasuah di Eropah] sangat serius.” Dia menambah, “Pihak kerajaan nampaknya tidak bertekad untuk membasmi gejala rasuah.”

Gejala rasuah sudah berakar umbi dalam sektor kerajaan. Maka, untuk menyelesaikan masalah ini, “cara kerajaan mengurus pentadbiran harus diubah,” kata Profesor Susan Rose-Akerman, seorang pakar dalam subjek antirasuah. Situasi ini nampaknya mustahil, tetapi Bible menjanjikan bahawa perubahan yang besar pasti akan berlaku.