Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 TOPIK UTAMA

Haruskah Anda Berdoa?

Haruskah Anda Berdoa?

Anda mungkin bertanya, “Mengapakah saya harus berdoa jika Tuhan mengetahui segalanya termasuk fikiran dan keperluan saya?” Soalan ini munasabah kerana Yesus kata bahawa Tuhan ‘mengetahui apa yang kamu perlukan, sebelum kamu meminta-Nya.’ (Matius 6:8) Raja Daud pada zaman Israel kuno sedar akan hal ini. Dia menulis, “Sebelum aku bercakap, Engkau sudah tahu apa yang akan kukatakan.” (Mazmur 139:4) Jadi, mengapakah kita harus berdoa? Untuk menjawab soalan ini, mari kita lihat apa yang Bible kata tentang doa. *

‘Hampirilah Tuhan, dan Tuhan pun akan menghampiri kamu.’Yakobus 4:8

 DOA MENDEKATKAN KITA KEPADA TUHAN

Walaupun Tuhan Yehuwa * mengetahui segalanya, Bible menjelaskan bahawa Dia tidak sekadar berminat mengumpulkan maklumat tentang para penyembah-Nya. (Mazmur 139:6; Roma 11:33) Ingatan Yehuwa yang tidak terbatas bukanlah seperti komputer yang hanya menyimpan maklumat. Sebaliknya, Tuhan sangat berminat terhadap pemikiran kita yang terdalam kerana Dia mahu kita mendekati-Nya. (Mazmur 139:23, 24; Yakobus 4:8) Oleh itu, Yesus menggalakkan pengikutnya berdoa walaupun Bapanya tahu keperluan asas kita. (Matius 6:6-8) Semakin banyak kita mencurahkan isi hati kepada Pencipta, kita akan semakin mendekat kepada-Nya.

Ada kalanya, kita tidak tahu apa yang harus diminta melalui doa. Dalam situasi ini, Tuhan mengetahui perasaan kita yang tidak dapat diungkapkan dan menggunakan pengertian-Nya yang sempurna tentang keadaan kita untuk bertindak mengikut keperluan kita. (Roma 8:26, 27; Efesus 3:20, 21) Kita berasa lebih dekat kepada Tuhan apabila menyedari bahawa Dia membantu kita, walaupun dalam cara yang tidak nyata.

ADAKAH TUHAN MENJAWAB SEMUA DOA?

Bible meyakinkan kita bahawa Tuhan Yang Maha Kuasa menjawab doa hamba-Nya yang setia, dan juga menjelaskan sebab Dia tidak mendengar sesetengah doa. Contohnya, sewaktu keganasan berleluasa pada zaman Israel kuno, Tuhan mengarahkan nabi Yesaya memberitahu orang Israel, “Walaupun berapa banyak kali kamu berdoa, Aku tidak akan mendengarnya, kerana tangan kamu telah banyak kali melakukan pembunuhan.” (Yesaya 1:15) Jelaslah, mereka yang mengabaikan hukum Tuhan atau berdoa dengan niat yang salah tidak patut mengharapkan doa mereka didengari Tuhan.Amsal 28:9; Yakobus 4:3.

Sebaliknya, Bible menyatakan, “Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya.” (1 Yohanes 5:14) Jadi, adakah Tuhan akan mengabulkan setiap permintaan para penyembah-Nya? Tidak semestinya. Contohnya, sebanyak tiga kali rasul Paulus merayu agar Tuhan menghapuskan “sejenis penyakit yang sangat menyakitkan.” (2 Korintus 12:7, 8) Paulus mungkin menderita penyakit mata yang serius. Dia tentu sangat kecewa! Paulus diberi kurnia untuk melakukan penyembuhan dan pembangkitan, namun dia perlu bertahan dengan penyakitnya sendiri. (Kisah 19:11, 12; 20:9, 10) Walaupun jawapan bagi permintaannya tidak seperti yang diinginkan, Paulus menerima dan menghargai bantuan Tuhan.2 Korintus 12:9, 10.

‘Kita berani menghadap Tuhan, kerana kita yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya.’1 Yohanes 5:14, ABB

Doa beberapa watak dalam Bible sememangnya dijawab secara mukjizat. (2 Raja-Raja 20:1-7) Namun, jawapan sebegini adalah luar biasa, bahkan pada zaman Bible. Beberapa penyembah Tuhan ­kecewa apabila doa mereka seolah-olah tidak dijawab. Raja Daud bertanya, ‘Berapa lamakah Engkau akan melupakan aku, ya Yehuwa?’ (Mazmur 13:2) Daud yang setia menjadi semakin percaya kepada Tuhan apabila menyedari bahawa Yehuwa selalu menyelamatkannya. Dalam doa itu, Daud menambah, “Tetapi aku bergantung kepada kasih-Mu yang abadi.” (Mazmur 13:6) Seperti Daud, penyembah Tuhan hari ini mungkin perlu tekun berdoa sehingga dapat merasakan jawapan Tuhan bagi permintaan mereka.Roma 12:12.

 BAGAIMANA TUHAN MENJAWAB DOA

Tuhan menjawab doa mengikut keperluan sebenar kita.

Ibu bapa yang pengasih mempunyai sebab yang baik untuk tidak selalu memberikan apa yang anak mereka minta. Begitu juga, Tuhan mungkin tidak menjawab permintaan kita dalam cara atau masa yang kita jangkakan. Tetapi, kita yakin bahawa Pencipta kita adalah seperti bapa yang pengasih, dan Dia akan menjawab doa mengikut keperluan sebenar kita pada masa dan cara yang tepat.Lukas 11:11-13.

Tuhan mungkin menjawab rayuan kita melalui Bible

Tuhan mungkin menjawab doa dalam cara yang tidak ketara.

Bagaimanakah jika kita berdoa meminta kelegaan bagi masalah yang berterusan? Jika tiada jawapan mukjizat, patutkah kita simpulkan bahawa Yehuwa langsung tidak menjawab doa kita? Cuba fikir tentang sokongan yang Tuhan berikan dalam cara yang tidak ketara. Misalnya, seorang kawan yang prihatin mungkin memberikan bantuan pada masa yang tepat. (Amsal 17:17) Adakah Yehuwa yang mendorong kawan itu untuk membantu kita? Selain itu, Tuhan mungkin menjawab rayuan kita dengan memberikan pengertian daripada Bible bagi menghadapi keadaan mencabar.2 Timotius 3:16, 17.

Tuhan mungkin menggunakan kawan yang prihatin untuk membantu kita pada masa yang tepat

Daripada melenyapkan masalah peribadi kita, Tuhan biasanya memberi umat-Nya kekuatan untuk bertahan. (2 Korintus 4:7) Contohnya, Yesus merayu agar Bapanya menyingkirkan penderitaannya kerana dia risau nama Tuhan akan dicemari. Jadi, Yehuwa mengutus malaikat untuk menguatkan anak-Nya. (Lukas 22:42, 43) Hari ini, Tuhan boleh menggunakan sahabat karib untuk memberikan kata-kata galakan pada saat yang amat kita perlukan. (Amsal 12:25) Oleh sebab doa sebegini dijawab dalam cara yang tidak ketara, kita mungkin perlu lebih peka terhadap cara Yehuwa menjawab doa-doa kita.

Tuhan menjawab sesetengah doa pada masa yang tepat.

Bible mengatakan bahawa Tuhan Yang Maha Kuasa menolong orang yang rendah hati ‘pada masa yang ditetapkan.’ (1 Petrus 5:6) Jadi, jika permintaan kita yang ikhlas tidak dijawab dengan serta-merta, janganlah anggap bahawa Yehuwa kurang berminat terhadap kita. Sebaliknya, kerana Pencipta kita yang penyayang memiliki pandangan menyeluruh, Dia akan menilai permintaan kita berdasarkan apa terbaik bagi kita.

‘Oleh itu, rendahkanlah diri kamu ke bawah tangan Tuhan yang berkuasa, supaya Dia meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan.’1 Petrus 5:6, ABB.

Sebagai contoh: Bayangkan anak anda meminta sebuah basikal. Adakah anda akan terus memenuhi permintaannya? Jika anda berasa bahawa dia belum sesuai untuk menunggang basikal, anda mungkin menangguhkan pembelian itu. Namun, anda mungkin akan mengubah keputusan itu jika permintaan itu bermanfaat baginya. Begitu juga, Tuhan mungkin memenuhi ‘keinginan hati’ kita pada masa yang ditetapkan jika kita terus berdoa.Mazmur 37:4.

YAKINLAH BAHAWA YEHUWA MENDENGAR DOA

Bible menggesa orang Kristian sejati agar tetap yakin bahawa doa sangat penting. Orang mungkin berkata, “Cakap memang senang.” Hal ini benar! Jika kita hadapi masalah yang berterusan atau ketidakadilan, kita mungkin berasa susah untuk menunggu jawapan daripada Tuhan. Namun, ingatlah bahawa Yesus mengajar kita untuk tekun berdoa.

Yesus memberikan perumpamaan tentang balu miskin yang berulang kali menuntut keadilan daripada hakim yang tidak adil.  (Lukas 18:1-3) Pada mulanya hakim itu enggan memberikan bantuan, tetapi akhirnya dia berkata kepada dirinya, “Biarlah aku membela perkaranya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan menyusahkan aku!” (Lukas 18:4, 5) Berdasarkan bahasa asal Bible, hakim itu membantu balu tersebut agar “reputasinya tidak terjejas.” * Jadi, jika hakim yang tidak adil membantu balu miskin itu kerana risau tentang reputasinya, sudah pasti Tuhan yang penyayang akan memberikan keadilan kepada mereka yang “berseru kepada-Nya siang malam”! Seperti yang Yesus katakan, Tuhan “akan membela mereka dengan segera.”Lukas 18:6-8.

‘Mintalah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan menerimanya.’Lukas 11:9

Ada kalanya kita berasa jemu untuk memohon bantuan, namun janganlah berputus asa. Dengan tekun berdoa, kita menunjukkan keinginan yang tulus untuk merasakan bantuan Tuhan dalam hidup serta belajar cara Tuhan menjawab permintaan kita. Hasilnya, kita dapat mendekati-Nya. Kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan menjawab doa yang sesuai dengan kehendak-Nya jika kita terus menunjukkan iman.Lukas 11:9.

^ per. 3 Kita mesti berusaha dengan ikhlas untuk memenuhi kehendak Tuhan, agar doa kita didengari-Nya. Dengan ini, kita dapat mengalami kuasa doa seperti yang dibincangkan dalam rencana ini. Untuk maklumat lanjut, lihat bab 17, buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa, atau layari www.jw.org/ms

^ per. 5 Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat di dalam Bible.

^ per. 22 Pada zaman Bible, Tuhan menghendaki para hakim di Israel untuk memberikan perhatian khusus kepada janda dan anak yatim.Ulangan 1:16, 17; 24:17; Mazmur 68:6.