Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA

Pornografi​—Hiburan atau Racun?

Pornografi​—Hiburan atau Racun?

Hari ini, dunia semakin sarat dengan pornografi a berbanding dengan zaman dahulu. Anda mungkin menjumpainya dalam iklan, dunia fesyen, wayang, muzik, majalah, TV, game, laman web, alat elektronik, dan media sosial. Nampaknya, bahan pornografi sudah menjadi sesuatu yang biasa dalam hidup.​—Lihat kotak  “Fakta tentang Pornografi.”

Menurut Profesor Gail Dines, “gambar lucah yang dianggap keterlaluan pada masa dulu ialah sesuatu yang biasa sekarang.”

Bagi anda, adakah pornografi sesuatu yang menyeronokkan, berbahaya, atau kedua-duanya? Yesus kata, “Setiap pokok yang baik akan menghasilkan buah yang baik, tetapi setiap pokok yang buruk akan menghasilkan buah yang buruk.” (Matius 7:17) Mari kita selidik buah atau kesan apa yang dialami oleh orang yang suka pornografi.

Apakah kesan pornografi terhadap orang yang melihatnya?

PENDAPAT PAKAR: Orang boleh ketagihan pornografi dan kesannya boleh disamakan dengan orang yang ketagihan dadah.

Brian, b yang ketagihan pornografi dalam Internet berkata, “Tiada apa-apa yang dapat menghalang saya. Saya tidak boleh kawal diri. Saya sering menggigil dan mengalami sakit kepala yang teruk. Saya cuba berhenti tapi saya sudah ketagih. Hal ini berlarutan selama bertahun-tahun.”

Orang yang suka pornografi sering menyembunyikan tabiat ini. Mereka mungkin rasa bersalah, malu, risau, murung, dan marah. Ada juga yang ingin bunuh diri. “Saya tidak dapat kawal diri dan hanya mahu memuaskan keinginan sendiri,” kata Serge. Akibatnya, dia memuat turun bahan lucah dalam telefonnya setiap hari. “Saya rasa tidak berguna, bersalah, keseorangan, dan terperangkap. Saya terlalu malu untuk minta bantuan,” katanya.

Bagaimana jika seseorang ternampak bahan lucah sekilas pandang? Dr. Judith Reisman, seorang penyelidik mengenai kesan pornografi, memberitahu jawatankuasa Senat Amerika Syarikat, “Gambar lucah dapat mengubah reaksi kimia otak dan menghasilkan tindak balas yang automatik. Jadi gambar itu susah atau hampir mustahil dipadamkan daripada fikiran.” Susan yang berumur 19 tahun berkata mengenai laman web lucah, “Gambar-gambar itu terpahat di minda saya dan akan muncul secara tiba-tiba. Saya rasa saya tidak dapat lupakan imej itu buat selama-lamanya.”

KESIMPULAN: Orang yang ketagihan pornografi menjadi hambanya dan hal itu menghancurkan hidup mereka.​—2 Petrus 2:19.

Apakah kesan pornografi terhadap keluarga?

PENDAPAT PAKAR: “Keruntuhan keluarga berlaku kerana pornografi.”​—The Porn Trap, oleh Wendy dan Larry Maltz.

Pornografi menghancurkan perkahwinan dan keluarga kerana

  • Menyebabkan pasangan hilang kepercayaan, rasa tidak dikasihi, atau menjejaskan hubungan intim.​—Amsal 2:12-17.

  • Membuat seseorang mementingkan diri, bersikap dingin, dan tidak puas terhadap pasangan.​—Efesus 5:28, 29.

  • Menyemarakkan fantasi seks dan keinginan yang salah.​—2 Petrus 2:14.

  • Memaksa pasangan melakukan perbuatan seks yang tidak senonoh.​—Efesus 5:3, 4.

  • Menyebabkan kecurangan dan keregangan dari segi emosi.​—Matius 5:28.

Bible menasihati pasangan suami isteri untuk menjauhi “perbuatan khianat.” (Maleakhi 2:16) Kecurangan ialah perbuatan khianat yang dapat menghancurkan keluarga, menyebabkan perpisahan atau perceraian, dan menjejaskan kesejahteraan anak-anak.

Kesannya jauh lebih melarat jika kanak-kanak terdedah kepada pornografi. Brian yang disebut tadi berkata, “Semasa saya kira-kira 10 tahun, saya terjumpa majalah lucah milik bapa saya semasa bermain sorok-sorok. Saya mula melihatnya secara sembunyi. Saya tidak tahu kenapa saya tertarik kepada gambar-gambar itu. Tetapi, tabiat itu telah menghantui saya sehingga dewasa.” Beberapa kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada pornografi mula melakukan seks pada umur yang lebih muda. Mereka juga cenderung melakukan seks rambang, keganasan seksual, atau menjadi tidak stabil dari segi emosi dan mental.

KESIMPULAN: Pornografi merosakkan hubungan yang baik, dan membawa banyak kesakitan dan kesedihan.​—Amsal 6:27.

Apakah pandangan Bible tentang pornografi?

NASIHAT BIBLE: “Matikanlah keinginan dalam anggota tubuh kamu sehubungan dengan perbuatan seks yang tidak bermoral, kenajisan, hawa nafsu yang tidak terkawal, keinginan yang jahat, dan ketamakan, yang merupakan penyembahan berhala.”​—Kolose 3:5.

Jelaslah, Yehuwa c membenci pornografi. Sebenarnya, Yehuwa menciptakan manusia dengan keinginan seksual supaya pasangan suami isteri dapat menyenangkan satu sama lain, menguatkan ikatan emosi, dan menghasilkan zuriat.​—Yakobus 1:17.

Mengapakah Yehuwa membenci tabiat melihat pornografi? Mari kita lihat beberapa sebab.

  • Dia tahu bahawa pornografi dapat merosakkan hidup.​—Efesus 4:17-19.

  • Dia mengasihi kita dan mahu melindungi kita daripada kesan buruknya.​—Yesaya 48:17, 18.

  • Dia mahu melindungi perkahwinan dan keluarga.​—Matius 19:4-6.

  • Dia mahu kita bersih secara moral dan menghormati hak orang lain.​—1 Tesalonika 4:3-6.

  • Dia mahu kita menghargai kurniaan untuk menghasilkan zuriat dan menggunakan kurniaan itu dengan betul.​—Ibrani 13:4.

  • Pornografi mencerminkan pandangan Syaitan tentang seks dan menggalakkan sikap mementingkan diri.​—Kejadian 6:2; Yudas 6, 7.

KESIMPULAN: Pornografi merosakkan hubungan seseorang dengan Tuhan.​—Roma 1:24.

Yehuwa sangat berbelas kasihan terhadap orang yang ingin bebas daripada cengkaman pornografi. Dia menjemput mereka untuk ‘menerima belas kasihan dan kebaikan hati yang unggul semasa mereka memerlukan bantuan.’ (Ibrani 4:16; lihat kotak  “Membebaskan Diri daripada Cengkaman Pornografi.”) Bible kata, “Yehuwa penuh rahmat dan belas kasihan. Dia tidak cepat murka dan penuh dengan kasih setia. Dia tahu benar bagaimana kita dibentuk. Dia ingat bahawa kita ini debu.”—Mazmur 103:8, 14.

Ramai orang telah menerima bantuan Tuhan dan berjaya mengatasi tabiat yang buruk. Bible kata, “Atas nama Tuan Yesus Kristus, dan melalui kuasa suci Tuhan kita, kamu sekarang sudah dibersihkan, disucikan, dan diperkenankan Tuhan.” (1 Korintus 6:11) Maka mereka dapat berkata, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”​—Filipi 4:13.

Susan yang akhirnya berjaya membuang tabiat pornografi berkata, “Hanya Yehuwalah yang dapat membantu kamu mengatasi masalah pornografi. Jika kamu minta bantuan dan bimbingan-Nya, kamu pasti berjaya. Dia tidak akan mengecewakan kamu.”

a Istilah “pornografi” merujuk kepada bahan lucah yang bertujuan untuk membangkitkan nafsu seks. Bahan pornografi merangkumi filem, gambar, bahan bacaan, atau bahan audio.

b Nama-nama dalam rencana ini telah diubah.

c Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.