Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Latihlah Anak Anda untuk Menyembah Yehuwa

Latihlah Anak Anda untuk Menyembah Yehuwa

‘Semoga hamba-Mu memberitahu kami apa yang mesti kami lakukan terhadap anak itu selepas dia lahir.’—HAK. 13:8.

LAGU: 88, 120

1. Apakah yang dilakukan Manoah semasa dia tahu bahawa dia akan menjadi seorang bapa?

MANOAH dan isterinya tidak dapat mempunyai anak. Namun Yehuwa mengutus malaikat untuk memberitahu isteri Manoah bahawa dia akan melahirkan seorang anak lelaki. Sudah pasti Manoah dan isterinya sangat gembira. Tetapi Manoah sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. Memandangkan banyak orang Israel pada masa itu jahat, bagaimanakah dia dan isterinya dapat melatih anak mereka untuk mengasihi dan menyembah Yehuwa? Manoah merayu kepada Yehuwa, “Semoga Engkau mengutus hamba-Mu itu datang lagi kepada kami, dan memberitahu kami apa yang mesti kami lakukan terhadap anak itu selepas dia lahir.”—Hak. 13:1-8.

2. Apakah yang perlu anda lakukan untuk melatih anak anda? (Lihat kotak “ Pelajar Bible Anda yang Terpenting.”)

2 Jika anda seorang ibu atau bapa, anda tentu memahami perasaan Manoah. Anda juga bertanggungjawab untuk membantu anak mengenali dan mengasihi Yehuwa. (Ams. 1:8) Dengan mengadakan penyembahan keluarga setiap minggu, anda dapat membantu anak untuk terus belajar tentang  Yehuwa dan Bible. Namun hal itu tidak mencukupi. (Baca Ulangan 6:6-9.) Bagaimanakah anda dapat melatih anak supaya mereka mengasihi dan menyembah Yehuwa? Dalam rencana ini, kita akan membincangkan teladan Yesus. Walaupun Yesus bukan seorang bapa, dia telah mengajar dan melatih murid-muridnya. Yesus menunjukkan kasih, kerendahan hati, dan pengertian. Bagaimanakah kita dapat meneladani Yesus?

KASIHILAH ANAK ANDA

3. Bagaimanakah anak murid Yesus tahu bahawa Yesus mengasihi mereka?

3 Yesus selalu memberitahu anak muridnya bahawa dia mengasihi mereka. (Baca Yohanes 15:9.) Dia juga meluangkan banyak masa bersama mereka. (Mrk. 6:31, 32; Yoh. 2:2; 21:12, 13) Yesus bukan sekadar seorang guru, tetapi dia juga menjadi sahabat mereka. Jadi muridnya tidak meragui bahawa Yesus mengasihi mereka. Apakah yang dapat anda pelajari daripada Yesus?

4. Bagaimanakah anda dapat menunjukkan kasih kepada anak? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

4 Beritahulah dan tunjukkanlah kasih kepada anak anda. (Mat. 3:17; Tit. 2:4) Samuel dari Australia berkata, “Semasa kecil, bapa saya membacakan Buku Cerita Bible kepada saya setiap malam. Dia akan menjawab soalan saya, memeluk saya, dan mencium saya sebelum tidur. Walaupun dia tidak dibesarkan dalam keluarga yang biasa memeluk dan mencium, dia berusaha untuk menunjukkan kasih terhadap saya! Hasilnya, kami mempunyai hubungan yang erat dan saya berasa puas serta selamat.” Bantulah anak anda untuk berasa sedemikian dengan memberitahu mereka “Saya sayang kamu.” Peluklah dan ciumlah mereka. Luangkan masa untuk bercakap, makan, dan bermain bersama mereka.

5, 6. (a) Oleh sebab Yesus mengasihi pengikutnya, apakah yang dilakukan olehnya? (b) Bagaimanakah anda harus mendisiplinkan anak?

 5 Yesus berkata, “Aku menegur dan mendisiplinkan semua orang yang aku kasihi.” * (Why. 3:19) Contohnya, pengikut Yesus selalu bertengkar tentang siapa yang terbesar antara mereka. Yesus tidak mengabaikan masalah ini. Sebaliknya, dia selalu menasihati mereka dengan sabar. Dia juga baik hati dan menegur mereka pada masa dan tempat yang sesuai.—Mrk. 9:33-37.

6 Oleh sebab anda mengasihi anak, anda sedar bahawa mereka harus didisiplinkan. Kadangkala, menjelaskan sebab sesuatu perkara itu betul atau salah sudah cukup. Tetapi bagaimana pula jika mereka enggan mentaati anda? (Ams. 22:15) Tirulah teladan Yesus. Disiplinlah mereka dengan membimbing, melatih, dan membetulkan mereka dengan sabar. Selain itu, pilihlah masa dan tempat yang sesuai. Elaine dari Afrika Selatan mengingati cara ibu bapa mendisiplinkannya. Ibu bapanya selalu menjelaskan apa yang mereka inginkan daripadanya. Jika mereka memberikan amaran bahawa dia akan dihukum sekiranya berbuat salah, mereka akan melaksanakan hukuman itu. Menurut dia, “Mereka tidak pernah mendisiplinkan saya semasa mereka marah. Mereka selalu menjelaskan mengapa saya didisiplinkan.” Oleh itu, dia tahu bahawa ibu bapanya sentiasa mengasihinya.

TUNJUKKANLAH KERENDAHAN HATI

7, 8. (a) Apakah yang dipelajari oleh murid-murid Yesus daripada doa Yesus? (b) Bagaimanakah anda dapat mengajar anak anda untuk bergantung pada Tuhan melalui doa anda?

7 Sebelum ditangkap dan dibunuh, Yesus merayu kepada Bapanya, “Abba, Bapa, tiada sesuatu pun yang mustahil bagi-Mu. Jauhkanlah cawan ini daripadaku. Namun, janganlah turut kehendakku, tetapi turutlah kehendak-Mu.” * (Mrk. 14:36) Bayangkan perasaan murid-murid Yesus apabila mereka mengetahui tentang doa ini. Mereka sedar bahawa walaupun Yesus sempurna, dia masih meminta bantuan Bapanya. Maka mereka belajar pentingnya untuk menunjukkan kerendahan hati dan bergantung kepada Yehuwa.

8 Doa anda dapat mempengaruhi anak anda. Sudah tentu, anda berdoa bukan sekadar untuk mengajar anak anda. Tetapi apabila anak mendengar doa anda, mereka belajar untuk bergantung pada Yehuwa. Semasa berdoa, janganlah hanya meminta Yehuwa membantu anak anda, tetapi mintalah Dia membantu anda juga. Ana yang tinggal di Brazil berkata, “Sewaktu masalah muncul, contohnya semasa datuk dan nenek saya sakit, ibu bapa saya akan meminta kekuatan daripada Yehuwa untuk menghadapi situasi itu dan kebijaksanaan untuk membuat keputusan. Semasa tertekan, mereka menyerahkan masalah ke dalam tangan Yehuwa. Hasilnya, saya belajar untuk bergantung pada Yehuwa.” Jika anda berdoa agar Yehuwa memberikan keberanian untuk menginjil kepada jiran, atau untuk meminta cuti supaya dapat menghadiri konvensyen, anak anda akan sedar bahawa anda bergantung pada Yehuwa. Dengan demikian, mereka juga akan bergantung pada-Nya.

9. (a) Bagaimanakah Yesus mengajar murid-muridnya untuk bersikap rendah hati dan tidak mementingkan diri? (b) Jika anda rendah hati dan tidak mementingkan diri, apakah yang dipelajari oleh anak anda?

 9 Yesus ingin murid-muridnya meniru teladannya dalam menunjukkan kerendahan hati dan tidak mementingkan diri. (Baca Lukas 22:27.) Yesus mengajar murid-muridnya untuk membuat pengorbanan demi Yehuwa dan orang lain. Anda juga boleh mengajar anak melalui teladan anda. Debbie yang mempunyai dua orang anak berkata, “Suami saya seorang penatua. Saya tidak pernah cemburu apabila suami saya meluangkan masa dengan orang lain. Saya tahu bahawa dia akan berada di samping kami apabila kami memerlukannya.” (1 Tim. 3:4, 5) Bagaimanakah teladan Debbie dan suaminya, Pranas, mempengaruhi keluarga mereka? Pranas berkata bahawa anak-anaknya selalu rela membantu semasa perhimpunan. Mereka mencari sahabat yang baik, ingin bersama saudara saudari, dan berasa gembira. Sekarang, Pranas dan keluarganya menceburi khidmat sepenuh masa. Jika anda rendah hati dan tidak mementingkan diri, anak anda juga akan rela membantu orang.

TUNJUKKANLAH PENGERTIAN

10. Bagaimanakah Yesus menunjukkan pengertian semasa orang di Galilea datang mencarinya?

10 Yesus menunjukkan pengertian. Dia tahu mengapa seseorang melakukan sesuatu perkara kerana dia dapat membaca hati. Contohnya, terdapat orang di Galilea yang datang mencarinya. (Yoh. 6:22-24) Dia sedar bahawa mereka menginginkan makanan dan bukannya mendengar ajarannya. (Yoh. 2:25) Jadi dia dengan sabar menjelaskan bagaimana mereka boleh membetulkan pandangan mereka.—Baca Yohanes 6:25-27.

Bantulah anak anda untuk menikmati kerja penyebaran (Lihat perenggan 11)

11. (a) Bagaimanakah anda boleh memahami perasaan anak terhadap kerja penyebaran? (b) Bagaimanakah anda dapat membantu anak menikmati kerja penyebaran?

11 Walaupun anda tidak dapat membaca hati orang, anda boleh menunjukkan pengertian. Contohnya, anda boleh mencuba memahami perasaan anak anda terhadap  kerja penyebaran. Tanyalah diri, “Semasa aktiviti penyebaran, adakah anak saya benar-benar suka menginjil, atau adakah mereka hanya menanti-nantikan masa untuk berehat, makan atau minum?” Jika anda mendapati anak anda tidak suka menginjil, anda boleh memberinya tugas-tugas yang mudah semasa menginjil supaya dia menikmati kerja ini.

12. (a) Apakah amaran yang diberikan oleh Yesus kepada pengikutnya? (b) Mengapakah pengikut Yesus memerlukan amaran sebegini?

12 Yesus memberikan amaran tentang kesalahan yang boleh mengakibatkan dosa serius. Contohnya, pengikut Yesus tahu bahawa perbuatan seks yang tidak bermoral adalah salah. Namun Yesus memberi mereka amaran tentang perkara yang boleh menyebabkan perbuatan tidak bermoral, “Sesiapa yang terus memandang seorang wanita dengan perasaan berahi sudah berzina dengannya dalam hati. Jika mata kanan kamu membuat kamu tersandung, cungkillah dan buanglah mata itu.” (Mat. 5:27-29) Pengikut Yesus dikelilingi orang Roma yang suka melihat persembahan teater dengan adegan seks dan kata-kata lucah. Jadi Yesus mengingatkan pengikutnya supaya menjauhi perkara-perkara yang menyebabkan mereka susah untuk tetap bersih secara moral.

13, 14. Bagaimanakah anda boleh membantu anak mengelakkan hiburan yang tidak bermoral?

13 Ibu bapa boleh menggunakan pengertian untuk melindungi anak daripada melakukan sesuatu yang akan menyedihkan Yehuwa. Hari ini anak kecil juga terdedah kepada bahan lucah dan bahan lain yang tidak bermoral. Sudah pasti anda harus memberitahu anak bahawa perkara ini adalah salah. Tetapi, anda juga boleh tanya diri, “Adakah anak saya tahu mengapa bahan lucah berbahaya? Apakah yang mungkin menggodanya untuk melihat bahan lucah? Adakah mudah bagi dia untuk bercakap dengan saya jika dia tergoda untuk melihat bahan lucah?” Walaupun anak anda mungkin sangat muda, anda boleh memberitahunya, “Jika kamu ternampak bahan lucah di Internet atau tergoda untuk melihat bahan itu, beritahulah saya. Janganlah berasa takut atau malu. Saya mahu membantu kamu.”

14 Ibu bapa harus berhati-hati semasa memilih hiburan supaya dapat menetapkan teladan yang baik bagi anak-anak. Pranas yang disebut tadi berkata, “Anda boleh memberitahu anak banyak perkara, tetapi akhirnya anak akan mengikut teladan anda.” Jika anda memilih muzik, buku, dan filem dengan bijak, anak anda juga akan berbuat demikian.—Rm. 2:21-24.

YEHUWA AKAN MEMBANTU ANDA

15, 16. (a) Mengapakah anda boleh yakin bahawa Yehuwa akan membantu anda untuk melatih anak? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

15 Apakah yang berlaku apabila Manoah memohon bantuan daripada Yehuwa untuk membesarkan anaknya? ‘Tuhan mengabulkan permohonan Manoah.’ (Hak. 13:9) Ibu bapa, Yehuwa juga akan mendengar doa anda. Dia akan membantu anda untuk melatih anak anda. Dia juga akan membantu anda untuk menunjukkan kasih, kerendahan hati, dan pengertian.

16 Sepertimana Yehuwa membantu anda untuk melatih anak semasa mereka kecil, Dia juga akan membantu anda melatih anak remaja anda. Rencana seterusnya akan membincangkan bagaimana anda dapat meniru kasih, kerendahan hati, dan pengertian Yesus semasa melatih anak remaja untuk menyembah Yehuwa.

^ per. 5 Menurut Bible, disiplin merangkumi membimbing, melatih, membetulkan, dan ada kalanya menghukum. Ibu bapa harus memberikan disiplin dengan cara yang sesuai dan bukannya sewaktu marah.

^ per. 7 Pada zaman Yesus, anak-anak memanggil bapa mereka Abba. Perkataan ini menunjukkan perasaan kasih dan hormat.—The International Standard Bible Encyclopedia.