Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara Yehuwa Menunjukkan Kasih kepada Kita

Cara Yehuwa Menunjukkan Kasih kepada Kita

“Lihatlah betapa besarnya kasih Bapa kepada kita!”—1 YOH. 3:1.

LAGU: 91, 13

1. Apakah yang digalakkan oleh rasul Yohanes, dan mengapa?

RASUL YOHANES menggalakkan kita untuk merenungkan kasih Yehuwa terhadap kita. 1 Yohanes 3:1 menyatakan, “Lihatlah betapa besarnya kasih Bapa kepada kita!” Dengan merenungkan betapa besarnya kasih Yehuwa dan cara Dia menunjukkan kasih-Nya kepada kita, kita akan lebih mengasihi dan menghampiri-Nya.

2. Mengapakah susah bagi sesetengah orang untuk mempercayai bahawa Tuhan mengasihi mereka?

2 Sedihnya, sesetengah orang tidak memahami bagaimana Tuhan mengasihi mereka. Mereka berfikir bahawa Tuhan tidak mempedulikan manusia. Mereka percaya bahawa Tuhan hanya menetapkan peraturan dan menghukum orang yang tidak taat. Oleh sebab ajaran palsu, sesetengah orang berfikir bahawa Tuhan kejam dan mustahil bagi kita untuk mengasihi-Nya. Ada juga yang berasa bahawa Tuhan mengasihi semua orang tidak kira apa yang dilakukan mereka. Namun, dengan mempelajari Bible, anda telah mengetahui kebenaran tentang Yehuwa. Anda tahu bahawa kasih merupakan sifat utama-Nya dan Dia memberikan anak-Nya sebagai tebusan untuk anda. (Yoh. 3:16; 1 Yoh. 4:8) Tetapi, latar belakang dan cara anda dibesarkan mungkin  menyebabkan anda berasa susah untuk memahami betapa besarnya kasih Yehuwa kepada anda.

3. Apakah yang membantu kita untuk memahami kasih Yehuwa kepada kita?

3 Untuk memahami betapa besar kasih Yehuwa kepada kita, kita harus memahami bahawa Yehuwalah yang menciptakan kita. Dia memberi kita kehidupan. (Baca Mazmur 100:3-5.) Itulah sebabnya Adam dipanggil sebagai “anak Tuhan.” (Luk. 3:38) Semasa berdoa, Yesus memanggil Yehuwa sebagai “Bapa kami yang di syurga.” (Mat. 6:9) Jadi Yehuwa ialah Bapa kita, dan Dia mengasihi kita sebagaimana seorang bapa yang baik mengasihi anaknya.

4. (a) Apakah sifat Bapa kita yang di syurga? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini dan yang seterusnya?

4 Sesetengah orang mungkin berasa susah untuk menganggap bapa mereka sebagai seorang yang pengasih. Mereka mungkin mempunyai kenangan yang pedih kerana tidak dilayan dengan baik semasa kecil. Tetapi Yehuwa tidak pernah melayan anak-Nya seperti itu. Dia merupakan Bapa yang terbaik. (Mzm. 27:10) Dia sangat mengasihi kita dan menjaga kita melalui pelbagai cara. Semakin kerap kita merasai kasih Yehuwa, semakin dalam kasih kita kepada-Nya. (Yak. 4:8) Dalam rencana ini, kita akan mengkaji empat cara Yehuwa menunjukkan kasih kepada kita. Dalam rencana seterusnya, kita akan mengkaji empat cara kita dapat menunjukkan kasih kepada-Nya.

YEHUWA PEMBERI YANG PENGASIH

5. Apakah yang diberikan Tuhan kepada semua orang?

5 Semasa di Atena, Yunani, Paulus nampak bahawa terdapat banyak patung di sana dan orang percaya bahawa dewa dewi telah memberikan nyawa kepada mereka. Jadi dia memberitahu mereka tentang “Tuhan yang menjadikan dunia ini dan segala yang ada di dalamnya, . . . Dia sendirilah yang memberikan kehidupan dan nafas serta segala sesuatu kepada semua orang. . . . Kita hidup, bergerak, dan wujud kerana Dia.” (Kis. 17:24, 25, 28) Yehuwa membekalkan segala keperluan kita supaya kita dapat menikmati kehidupan. Cuba fikirkan apa yang telah diberikan oleh Yehuwa yang pengasih.

6. Apakah keadaan tempat tinggal yang disediakan oleh Yehuwa untuk kita? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

6 Contohnya, Yehuwa telah menyediakan tempat tinggal yang indah bagi kita. (Mzm. 115:15, 16) Bumi sangat istimewa jika dibandingkan dengan planet-planet lain. Ahli sains telah meneroka angkasa lepas dan menjumpai banyak planet. Namun mereka masih belum menjumpai planet lain yang dapat menampung kehidupan. Yehuwa bukan sahaja menyediakan segala keperluan kita, Dia juga menjadikan bumi tempat tinggal yang indah, selesa, dan selamat untuk didiami. (Yes. 45:18) Semua ini menunjukkan betapa besarnya kasih Yehuwa terhadap kita.—Baca Ayub 38:4, 7; Mazmur 8:4-6.

7. Apakah cara lain Yehuwa menunjukkan kasih-Nya?

7 Cara lain Yehuwa menunjukkan kasih-Nya adalah dengan menciptakan kita dengan keupayaan untuk meneladani-Nya. (Kej. 1:27) Hal ini bermaksud kita dapat merasai kasih-Nya dan mengasihi-Nya juga. Seorang anak berasa bahagia jika ibu bapa mengasihinya. Yesus juga berkata, “Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka.” (Mat. 5:3) Sebagai Bapa yang pengasih, Yehuwa dengan  murah hati “melimpahi kita dengan semua perkara yang kita nikmati,” sama ada secara fizikal atau rohani.—1 Tim. 6:17; Mzm. 145:16.

YEHUWA MENGAJAR KITA KEBENARAN

8. Mengapakah kita ingin diajar oleh Yehuwa?

8 Seorang bapa mengasihi anaknya dan tidak mahu mereka disesatkan atau diperdaya. Namun ramai ibu bapa gagal berbuat demikian kerana mereka tidak menerima pandangan Bible mengenai apa yang betul dan salah. Hasilnya, ramai keluarga berasa keliru dan tidak gembira. (Ams. 14:12) Sebaliknya, Yehuwa “suka akan kebenaran” dan Dia memberikan bimbingan yang terbaik kepada anak-anak-Nya. (Mzm. 37:28) Tuhan mengajar kita kebenaran mengenai diri-Nya dan cara untuk menyembah-Nya. Dia juga menunjukkan cara hidup yang terbaik kepada kita. (Baca Mazmur 43:3.) Jadi, apakah kebenaran yang diajarkan oleh Yehuwa dan bagaimanakah hal ini menunjukkan kasih-Nya kepada kita?

Seorang bapa akan mengajar anak-anaknya mengenai kebenaran dan membantu mereka mempunyai hubungan yang baik dengan Bapa kita di syurga (Lihat perenggan 8-10)

9, 10. (a) Mengapakah Yehuwa memberitahu kita tentang diri-Nya? (b) Apakah yang diajar oleh Yehuwa tentang tujuan-Nya?

9 Pertama, Yehuwa memberitahu kita tentang diri-Nya. Dia ingin kita mengenali-Nya. (Yak. 4:8) Maka, Dia memperkenalkan nama-Nya kepada kita. Sebenarnya nama Yehuwa muncul di dalam Bible lebih banyak kali daripada nama yang lain. Yehuwa juga menyerlahkan keperibadian-Nya kepada kita. Apabila kita melihat ciptaan, kita belajar bahawa Tuhan sangat berkuasa dan bijaksana. (Rm. 1:20) Semasa membaca Bible, kita juga mengetahui bahawa Yehuwa sangat adil dan mengasihi kita. Apabila kita lebih mengenali keperibadian Yehuwa, kita akan mendekat kepada-Nya.

10 Yehuwa juga mengajar kita tentang tujuan-Nya. Dia memberitahu bahawa kita ialah sebahagian daripada keluarga-Nya. Dia juga menjelaskan apa yang dikehendaki-Nya daripada kita supaya kita boleh bekerjasama dan menikmati hubungan yang baik dengan semua ahli keluarga-Nya. Bible juga menunjukkan bahawa manusia tidak diciptakan dengan keupayaan untuk menentukan apa yang baik dan jahat. (Yer. 10:23) Hanya Yehuwa yang mengetahui apa yang terbaik bagi kita. Jika kita tunduk kepada Yehuwa dan mentaati-Nya, kita akan menikmati keamanan dan kepuasan. Yehuwa mengajar kita kebenaran ini kerana Dia mengasihi kita.

11. Mengapakah janji Yehuwa mengenai masa depan menunjukkan kasih-Nya?

11 Seorang bapa yang pengasih mengambil berat tentang masa depan anak-anaknya. Dia ingin agar anak-anaknya mempunyai kehidupan yang bermakna. Sedihnya, ramai orang hari ini berasa khuatir tentang masa depan, atau mereka bekerja keras untuk mengejar perkara-perkara yang tidak berkekalan. (Mzm. 90:10) Namun kita sangat bersyukur kepada Bapa Yehuwa kerana Dia mengajar kita cara hidup yang terbaik sekarang. Dia juga menjanjikan masa depan yang cerah bagi kita!

YEHUWA MENASIHATI DAN MENDISIPLINKAN ANAK-NYA

12. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kasih kepada Kain dan Barukh?

12 Apabila Yehuwa melihat Kain ingin melakukan sesuatu yang jahat, Dia cuba membantu Kain. Jadi Tuhan menanya Kain, “Mengapa engkau marah? Mengapa mukamu masam? . . . Dosa hendak menguasai dirimu, tetapi engkau mesti mengalahkannya.” (Kej. 4:6, 7) Kain menolak bantuan Yehuwa dan dia menanggung akibatnya.  (Kej. 4:11-13) Pada suatu ketika, Yehuwa juga melihat bahawa Barukh mempunyai sikap yang salah dan hal itu menyebabkannya berasa penat dan kecewa. Jadi Yehuwa memberitahu Barukh bahawa dia perlu membuat perubahan. Barukh menerima nasihat Yehuwa dan hal ini menyelamatkan nyawanya.—Yer. 45:2-5.

13. Mengapakah Yehuwa membenarkan umat-Nya menghadapi cubaan?

13 Yehuwa menasihati dan mendisiplinkan kita kerana Dia mengasihi kita. Dia bukan hanya membetulkan kita apabila perlu, tetapi Dia juga melatih kita. (Ibr. 12:6) Dalam Bible, kita belajar bahawa Yehuwa melatih umat-Nya untuk menjadi orang yang lebih baik. Contohnya, Yusuf, Musa, dan Daud pernah menghadapi kesusahan yang besar. Namun, Yehuwa menyertai mereka. Cubaan yang dihadapi telah melatih mereka dengan secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan Yehuwa pada kemudian hari. Apabila kita membaca mengenai cara Yehuwa menyokong dan melatih umat-Nya, kita berasa bahawa Yehuwa benar-benar mengasihi kita.—Baca Amsal 3:11, 12.

14. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kasih-Nya apabila kita melakukan kesilapan?

14 Walaupun kita melakukan kesilapan, Yehuwa masih mengasihi kita. Dia “sentiasa sedia mengampuni” kita jika kita menerima disiplin-Nya dan bertaubat. (Yes. 55:7) Apakah maksudnya? Pengampunan Yehuwa menunjukkan bahawa Dia ialah Bapa yang berbelas kasihan. Kata-kata Daud membuktikan hal ini: “Dia mengampunkan segala dosaku, dan menyembuhkan segala penyakitku; Dia menyelamatkan aku daripada kematian dan memberkati  aku dengan kasih dan rahmat; Sejauh timur dari barat, sejauh itu juga dibuang-Nya dosa kita.” (Mzm. 103:3, 4, 12) Yehuwa mendisiplinkan dan menasihati kita menerusi pelbagai cara. Jadi, adakah anda akan membuat perubahan dengan serta-merta? Ingatlah bahawa Yehuwa mendisiplinkan kita kerana Dia mengasihi kita.—Mzm. 30:6.

YEHUWA MELINDUNGI KITA

15. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa menganggap umat-Nya sebagai sesuatu yang sangat bernilai?

15 Seorang bapa yang pengasih akan melindungi keluarganya daripada bahaya. Bapa kita Yehuwa juga begitu. Pemazmur berkata, “Dia melindungi hidup umat-Nya, dan menyelamatkan mereka daripada kuasa orang jahat.” (Mzm. 97:10) Cuba fikirkan hal ini: Sepertimana anda akan melindungi mata anda dengan serta-merta kerana mata bernilai bagi anda, Yehuwa juga akan melindungi umat-Nya dengan serta-merta kerana mereka bernilai bagi-Nya.—Baca Ulangan 32:10.

16, 17. Bagaimanakah Yehuwa melindungi umat-Nya pada masa dahulu dan hari ini?

16 Satu cara Yehuwa melindungi umat-Nya pada masa dahulu dan hari ini adalah melalui para malaikat. (Mzm. 91:11) Satu malaikat telah membunuh 185,000 askar Asyur dalam hanya satu malam untuk menyelamatkan umat Tuhan. (2 Raj. 19:35) Pada abad pertama, malaikat telah membebaskan Petrus, Paulus, dan orang lain dari penjara. (Kis. 5:18-20; 12:6-11) Baru-baru ini, peperangan yang teruk telah berlaku di salah sebuah negara di Afrika. Keadaan di sana huru-hara kerana orang bergaduh, mencuri, merogol, dan saling membunuh. Walaupun tiada saudara saudari yang meninggal, mereka kehilangan banyak harta benda. Namun, mereka semua dapat merasai kasih Yehuwa dan tahu bahawa Dia menjaga mereka. Mereka telah menderita, tetapi mereka masih gembira. Apabila wakil ibu pejabat melawat mereka dan bertanya tentang keadaan mereka, mereka berkata, “Kami baik-baik saja, dan kami bersyukur kepada Yehuwa!”

17 Sudah tentu sesetengah umat Tuhan seperti Stefanus telah meninggal kerana mereka setia kepada Yehuwa. Yehuwa tidak menghalang hal ini daripada terjadi. Walaupun demikian, Dia melindungi umat-Nya sebagai sebuah kumpulan dengan memberitahu mereka tentang muslihat Syaitan. (Ef. 6:10-12) Amaran ini terkandung dalam Bible dan bahan bacaan yang disediakan organisasi Yehuwa. Contohnya, kita telah belajar tentang amaran mengenai penggunaan Internet, cinta akan wang, dan hiburan yang tidak bermoral serta ganas. Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa mengasihi kita dan ingin melindungi kita.

PENGHORMATAN YANG BESAR

18. Apakah perasaan anda mengenai cara Yehuwa mengasihi anda?

18 Apabila Musa berfikir tentang khidmatnya kepada Yehuwa, dia yakin bahawa Yehuwa mengasihinya. Maka dia berkata, “Puaskanlah kami dengan kasih-Mu pada setiap pagi, supaya kami dapat menyanyi dan bergembira seumur hidup kami.” (Mzm. 90:14) Kita bersyukur kerana dapat memahami dan merasai kasih Yehuwa. Memang satu penghormatan yang besar untuk dikasihi oleh Yehuwa! Kita berasa seperti rasul Yohanes yang berkata, “Lihatlah betapa besarnya kasih Bapa kepada kita!”—1 Yoh. 3:1.