Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kekalkan Kesetiaan kepada Kerajaan Tuhan

Kekalkan Kesetiaan kepada Kerajaan Tuhan

“Mereka bukanlah sebahagian daripada dunia.”—YOH. 17:16.

LAGU: 63, 129

1, 2. (a) Mengapakah orang Kristian yang setia kepada Tuhan berpendirian neutral? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Ramai orang setia kepada apa, dan apakah hasilnya?

SEBAGAI umat Yehuwa, kita berpendirian neutral dan tidak melibatkan diri dalam hal-hal yang dapat memecahbelahkan orang. Mengapa? Kerana kita mengasihi, mentaati, dan ingin setia kepada Yehuwa. (1 Yoh. 5:3) Kita tidak menganggap sebuah negara, kaum, atau budaya lebih baik daripada yang lain. Tidak kira kita berasal dari mana, kita mengikuti piawaian Tuhan. Kesetiaan kita kepada Yehuwa dan Kerajaan-Nya jauh lebih penting daripada hal yang lain. (Mat. 6:33) Itulah sebabnya kita “bukan sebahagian daripada dunia.”—Baca Yohanes 17:11, 15, 16; Yes. 2:4.

2 Pada hari ini, ramai orang setia kepada negara, suku, budaya, bahkan ahli sukan dari negara mereka. Sedihnya, hal ini menyebabkan persaingan, kebencian, dan lebih teruk lagi, pembunuhan. Walaupun kita tidak melibatkan diri dalam konflik sebegini, sikap orang di dunia dapat mempengaruhi kita dan keluarga kita. Selain itu, kita juga mungkin menjadi mangsa ketidakadilan.  Memandangkan kita diciptakan dengan keupayaan untuk membezakan keadilan dengan ketidakadilan, kita cenderung untuk melibatkan diri apabila kerajaan manusia bertindak dengan tidak adil. (Kej. 1:27; Ul. 32:4) Apakah perasaan anda apabila ketidakadilan berlaku? Dapatkah anda berpendirian neutral, atau adakah anda akan campur tangan?

3, 4. (a) Mengapakah kita tidak melibatkan diri dalam konflik dunia? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Kerajaan dunia menggalakkan rakyat mereka untuk menyokong salah satu pihak apabila konflik berlaku. Namun kita meniru teladan Yesus. Kita tidak melibatkan diri dalam hal ehwal politik dan tidak berperang. (Mat. 26:52) Orang Kristian sejati tidak menyokong mana-mana bahagian dalam dunia Syaitan. (2 Kor. 2:11) Kita tidak ingin melibatkan diri dalam hal-hal dunia.—Baca Yohanes 15:18, 19.

4 Oleh sebab kita tidak sempurna, kita mungkin berprasangka terhadap mereka yang tidak sebangsa dengan kita. (Yer. 17:9; Ef. 4:22-24) Dalam rencana ini, kita akan belajar beberapa prinsip Bible yang dapat membantu kita untuk mengatasi sikap negatif ini. Kita juga akan mengkaji cara untuk melatih diri supaya tetap setia kepada Kerajaan Tuhan.

SEBAB KITA TIDAK TERLIBAT DALAM HAL DUNIA

5, 6. Semasa di bumi, apakah pandangan Yesus terhadap manusia yang berbilang kaum, dan mengapa?

5 Jika anda berasa susah untuk berpendirian neutral, tanyalah diri: “Apakah yang akan Yesus lakukan?” Semasa Yesus di bumi, konflik dan perselisihan faham berlaku antara orang Yudea, Galilea, dan Samaria. Contohnya, orang Yahudi dan orang Samaria tidak bercakap kepada satu sama lain. (Yoh. 4:9) Orang Farisi dan orang Saduki pula mempunyai pendapat yang berbeza tentang banyak perkara. (Kis. 23:6-9) Orang Yahudi yang pernah mempelajari Hukum menganggap diri lebih baik daripada orang lain. (Yoh. 7:49) Ramai orang juga membenci pemungut cukai dan orang Roma. (Mat. 9:11) Namun bagi Yesus, dia tidak melibatkan diri dalam hal-hal sebegini. Walaupun Yesus sentiasa mempertahankan kebenaran dan tahu bahawa bangsa Israel ialah umat pilihan Tuhan, dia tidak pernah mengajar pengikutnya bahawa mereka lebih baik daripada orang lain. (Yoh. 4:22) Sebaliknya, dia mengajar mereka untuk mengasihi semua orang.—Luk. 10:27.

6 Mengapakah Yesus tidak menganggap kumpulan tertentu lebih baik daripada yang lain? Hal ini berkait dengan pandangan Yesus dan Bapanya terhadap manusia. Yehuwa mencipta bumi supaya dipenuhi oleh manusia yang berbilang kaum. (Kej. 1:27, 28) Jadi, Yehuwa dan Yesus tidak menganggap mana-mana bangsa, negara, atau bahasa lebih baik daripada yang lain. (Kis. 10:34, 35; Why. 7:9, 13, 14) Kita harus mengikut teladan baik mereka.—Mat. 5:43-48.

7, 8. (a) Pemerintahan siapakah yang kita sokong, dan mengapa? (b) Pemerintahan manusia mungkin ikhlas, tetapi apakah yang harus kita ingat?

7 Mengapakah kita tidak menyokong pemerintahan manusia? Hal ini adalah kerana Yehuwa ialah Pemerintah yang berdaulat dan kita berpihak kepada-Nya. Di Taman Eden, Syaitan berkata bahawa Yehuwa bukan pemerintah yang terbaik bagi manusia. Syaitan ingin manusia percaya bahawa caranya lebih baik daripada cara Tuhan. Yehuwa membenarkan kita memilih siapa  yang ingin kita sokong. Maka, adakah anda berpihak kepada Yehuwa dengan mentaati perintah-Nya dan bukannya mengikut kehendak sendiri? Adakah anda yakin bahawa hanya Kerajaan Tuhan dapat menyelesaikan masalah umat manusia? Atau adakah anda berpendapat bahawa manusia dapat memerintah diri sendiri tanpa bimbingan Tuhan?—Kej. 3:4, 5.

8 Contohnya, jika seseorang menanya pendapat anda tentang sesetengah parti politik, kumpulan hak asasi, atau sebagainya, apakah jawapan anda? Ada antara kumpulan ini memang ikhlas dan ingin membantu orang. Namun kita sedar bahawa hanya Kerajaan Yehuwa dapat menyelesaikan masalah manusia dan menyingkirkan segala ketidakadilan. Oleh itu, kita tidak mengikut pendapat sendiri, tetapi mengikut arahan Yehuwa yang disampaikan melalui sidang. Itulah sebabnya sidang bersatu padu.

9. Apakah masalah yang berlaku di sidang Korintus pada abad pertama? Apakah nasihat Paulus kepada mereka?

9 Pada abad pertama, suatu pertikaian telah berlaku di sidang Korintus. Ada yang berkata, “‘Aku milik Paulus,’ ‘Aku milik Apolos,’ ‘Aku milik Kefas,’ atau ‘Aku milik Kristus.’” Apabila Paulus mendapat tahu tentang hal ini, dia terkejut. Masalah ini sangat serius kerana kedamaian sidang terancam! Jadi dia menanya mereka: “Adakah sidang Kristus sudah berpecah belah?” Kemudian dia menasihati mereka: “Saudara-saudara, atas nama Tuan Yesus Kristus, aku menggesa kamu: Hendaklah kamu semua seia sekata dalam percakapan kamu supaya tiada perpecahan yang berlaku dalam kalangan kamu. Hendaklah kamu bersatu padu, sefikiran, dan sependapat.” Begitu juga hari ini, perpecahan tidak harus berlaku dalam sidang Kristian.—1 Kor. 1:10-13; baca Roma 16:17, 18.

10. Apakah nasihat Paulus kepada orang Kristian? Apakah yang kita pelajari daripada hal ini?

10 Paulus mengingatkan orang Kristian terurap bahawa mereka akan menjadi warganegara di syurga. Jadi dia menasihati mereka untuk tidak bertumpu kepada “hal-hal duniawi.” (Flp. 3:17-20) * Kaum terurap seperti duta-duta yang mewakili Tuhan dan Yesus. Apabila seorang duta berada di negara asing, dia tidak mencampuri hal ehwal politik negara itu. Begitu juga, kaum terurap tidak mencampuri hal ehwal politik di dunia ini. (2 Kor. 5:20) Mereka yang berharap untuk hidup selama-lamanya di bumi juga setia kepada Kerajaan Tuhan dan tidak melibatkan diri dalam konflik dunia.

LATIH DIRI UNTUK SETIA KEPADA YEHUWA

11, 12. (a) Apakah sikap yang harus dielakkan jika kita ingin setia kepada Kerajaan Tuhan? (b) Apakah pandangan seorang saudari terhadap kaum tertentu, dan apakah yang membantunya untuk menggubah pandangannya?

11 Di banyak tempat, ramai orang memandang tinggi budaya, sejarah, dan bahasa mereka. Mereka bangga akan negara asal mereka. Namun kita tidak harus dipengaruhi oleh sikap sebegini. Sebaliknya, kita harus menggubah pemikiran dan melatih hati nurani kita supaya kita tetap neutral. Apakah caranya?

12 Contohnya, Mirjeta * dilahirkan di salah sebuah negara yang dahulunya merupakan Yugoslavia. Orang di sana membenci orang Serbia. Namun, setelah belajar tentang Yehuwa, Mirjeta sedar bahawa Yehuwa tidak berat sebelah. Hanya Syaitan  yang ingin orang membenci satu sama lain. Maka Mirjeta berusaha menggubah pandangannya. Namun, apabila peperangan berlaku antara suku kaum di sana, Mirjeta mula mempunyai pandangan negatif terhadap orang Serbia sekali lagi, bahkan dia tidak ingin menginjil kepada mereka. Dia tahu hal ini salah. Jadi dia memohon bantuan Yehuwa untuk menggubah pandangannya itu. Dia juga berdoa supaya dia dapat merintis. Mirjeta berkata, “Berfokus kepada kerja penyebaran telah banyak membantu saya. Semasa menginjil, saya cuba meneladani sifat kasih Yehuwa. Hal ini membantu saya untuk menyingkirkan pandangan negatif terhadap orang lain.”

13. (a) Apakah yang berlaku kepada Zoila dan bagaimanakah dia menanganinya? (b) Apakah yang boleh kita pelajari daripada pengalaman Zoila?

13 Zoila ialah seorang saudari dari Mexico yang berpindah ke Eropah. Di sidang sana, terdapat saudara saudari yang berasal dari tempat lain di Mexico. Ada kalanya mereka mempersendakan negara asal Zoila, termasuk budaya dan muzik dari sana. Maka dia berasa susah hati dan telah berdoa kepada Yehuwa supaya dia tidak tersinggung. Apakah reaksi anda jika anda menghadapi situasinya? Ada saudara saudari yang masih bergelut untuk menahan kemarahan apabila mereka mendengar sesuatu yang negatif tentang negara asal mereka. Jadi, kita tidak patut mengatakan atau melakukan sesuatu yang akan merendah-rendahkan orang lain. Kita tidak ingin menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakan seiman atau orang lain.—Rm. 14:19; 2 Kor. 6:3.

14. Apakah yang dapat membantu anda untuk memupuk pandangan Yehuwa terhadap orang lain?

14 Sebagai umat Yehuwa, kita semua bersatu padu. Jadi kita tidak harus menganggap sebuah negara lebih baik daripada negara yang lain. Namun orang di sekeliling anda mungkin telah mempengaruhi anda untuk mencintai tempat atau negara asal anda. Hal ini mungkin menyebabkan anda berpandangan negatif terhadap bangsa, negara, budaya, atau bahasa lain. Bagaimanakah anda boleh menggubah pandangan anda? Cuba fikirkan pandangan Yehuwa terhadap orang yang mempunyai semangat nasionalisme atau yang berprasangka terhadap orang lain. Anda boleh mengkaji hal ini semasa pembelajaran peribadi atau penyembahan keluarga. Kemudian mintalah bantuan Yehuwa untuk memupuk pandangan-Nya terhadap orang lain.—Baca Roma 12:2.

Untuk setia kepada Yehuwa, kita harus berpendirian teguh semasa berada di bawah tekanan (Lihat perenggan 15, 16)

15, 16. (a) Memandangkan penyembah Yehuwa berbeza, apakah pandangan sesetengah orang terhadap kita? (b) Bagaimanakah ibu bapa boleh membantu anak-anak untuk setia kepada Yehuwa?

15 Sebagai penyembah Yehuwa, hati nurani kita mendorong kita untuk membuat pilihan yang berbeza daripada rakan sekerja, rakan sekolah, jiran-jiran, dan saudara-mara kita. (1 Ptr. 2:19) Yesus sudah memberitahu bahawa orang akan membenci kita kerana kita berbeza. Ingatlah, kebanyakan orang yang menentang kita tidak tahu tentang Kerajaan Tuhan. Jadi mereka tidak memahami mengapa kita setia kepada Kerajaan Tuhan dan bukannya kerajaan manusia.

16 Untuk setia kepada Yehuwa, kita harus berpendirian teguh semasa berada di bawah tekanan. (Dan. 3:16-18) Hal ini mungkin mencabar bagi kaum muda. Maka ibu bapa, bantulah anak-anak anda untuk memberanikan diri semasa di sekolah. Semasa rakan sekolah mereka menabik bendera atau merayakan perayaan kebangsaan, mereka mungkin takut untuk tidak melibatkan diri. Semasa penyembahan  keluarga, anda boleh membantu anak anda untuk memahami pandangan Yehuwa terhadap hal-hal sebegini. Selain itu, ajarlah anak-anak anda untuk menerangkan kepercayaan mereka dengan cara yang jelas dan hormat. (Rm. 1:16) Jika perlu, ibu bapa boleh menjelaskan kepercayaan kita kepada guru sekolah.

HARGAILAH SETIAP CIPTAAN YEHUWA!

17. Apakah sikap yang harus kita hindari, dan mengapa?

17 Kita memang menikmati makanan, pemandangan, bahasa, dan budaya dari tempat asal kita. Tetapi, adakah kita percaya bahawa perkara-perkara yang berasal dari tempat kita adalah yang terbaik? Yehuwa ingin kita menikmati pelbagai ciptaan-Nya. (Mzm. 104:24; Why. 4:11) Jadi, kita tidak perlu berkeras bahawa cara tertentu adalah lebih baik berbanding dengan cara yang lain.

18. Mengapakah penting untuk mempunyai pandangan Yehuwa?

18 Yehuwa ingin agar segala macam orang mengenali-Nya, menyembah-Nya, dan mendapat hidup kekal. (Yoh. 3:16; 1 Tim. 2:3, 4) Jadi, apabila orang lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan kita, kita rela mendengar pendapat mereka asalkan pendapat mereka tidak bercanggah dengan prinsip Bible. Dengan demikian, kita akan menikmati banyak perkara yang menarik dan kita akan tetap bersatu dengan saudara saudari kita. Oleh sebab kita tetap setia kepada Yehuwa dan Kerajaan-Nya, kita tidak melibatkan diri dalam konflik dunia. Kita membenci sifat sombong dan persaingan di dunia Syaitan. Sudah tentu kita bersyukur kerana Yehuwa telah mengajar kita untuk memupuk kedamaian dan kerendahan hati. Kita berasa seperti pemazmur yang berkata, ‘Alangkah baiknya dan indahnya apabila umat Tuhan hidup dengan rukun!’—Mzm. 133:1.

^ per. 10 Sesetengah ahli sidang di Filipi memiliki kewarganegaraan Roma. Jadi mereka mempunyai lebih banyak hak berbanding ahli sidang yang tidak memiliki kewarganegaraan Roma.

^ per. 12 Sesetengah nama telah diubah.