Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Hidup Selaras dengan Doa Yesus—Bahagian II

Hidup Selaras dengan Doa Yesus—Bahagian II

‘Bapa kamu sudah tahu apa yang kamu perlukan.’—MAT. 6:8.

1-3. Mengapakah seorang saudari yakin bahawa Yehuwa memenuhi keperluannya?

LANA tidak dapat melupakan peristiwa yang berlaku semasa dia pergi ke negara Jerman pada tahun 2012. Dia berasa bahawa Yehuwa telah menjawab doanya. Ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang, dia berdoa agar dia dapat menginjil kepada seseorang. Apabila dia tiba di sana, dia mendapati bahawa penerbangannya telah ditunda ke hari yang seterusnya. Lana sekali lagi berdoa meminta bantuan kerana dia tidak cukup wang dan memerlukan tempat untuk bermalam.

2 Sebaik sahaja Lana selesai berdoa, dia terdengar seseorang berkata, “Lana, apa yang kamu buat di sini?” Pemuda yang menyapa Lana itu ialah bekas rakan sekolahnya. Pemuda itu akan bertolak ke Afrika Selatan, dan ibu serta neneknya berada di sana untuk mengucapkan selamat tinggal. Apabila Lana memberitahu mereka tentang situasinya, ibu dan nenek pemuda itu menjemput Lana untuk bermalam di rumah mereka. Mereka juga menanya banyak soalan tentang kepercayaan Lana dan kerjanya sebagai perintis.

 3 Selepas bersarapan pada keesokan hari, Lana meneruskan perbincangan Bible dengan mereka. Lana juga mencatat cara untuk menghubungi mereka supaya orang lain boleh datang untuk menjawab pertanyaan mereka. Lana kembali ke rumahnya dan meneruskan khidmatnya sebagai perintis. Dia berasa bahawa Yehuwa mendengar doanya dan memenuhi keperluannya.—Mzm. 65:3.

4. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

4 Apabila masalah berlaku, kita cenderung memohon bantuan Yehuwa, dan Dia gembira mendengar doa kita. (Mzm. 34:16; Ams. 15:8) Namun berdasarkan doa Yesus, kita belajar bahawa terdapat perkara yang lebih penting yang harus kita doakan. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan empat lagi perkara yang didoakan oleh Yesus supaya kita dapat terus setia kepada Yehuwa.—Baca Matius 6:11-13.

‘BERILAH KAMI MAKANAN UNTUK HARI INI’

5, 6. Mengapakah Yesus mengajar kita untuk berdoa “berilah kami makanan” walaupun kita mempunyai makanan yang secukupnya?

5 Yesus mengajar kita untuk berdoa “berilah kami makanan,” bukannya “berilah saya makanan.” Seorang penyelia litar di Afrika yang bernama Victor berkata, “Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana saya dan isteri tidak perlu terlalu bimbang tentang makanan, atau tentang membayar sewa. Saudara saudari menjaga keperluan kami setiap hari. Namun saya berdoa agar mereka yang membantu kami dapat mengatasi cabaran kewangan yang dihadapi mereka.”

6 Kita mungkin mempunyai makanan yang secukupnya. Namun ramai saudara saudari kita miskin. Ada juga yang menghadapi bencana. Kita boleh berdoa bagi mereka dan bertindak selaras dengan doa kita. Contohnya, kita boleh mengongsi apa yang kita ada dengan mereka. Kita juga boleh menderma secara tetap kepada kerja sedunia Saksi-Saksi Yehuwa. Sumbangan ini akan membantu mereka yang memerlukannya.—1 Yoh. 3:17.

7. Mengapakah Yesus mengajar bahawa kita tidak perlu “khuatir tentang hari esok”?

7 Yesus juga mengajar bahawa kita tidak harus berfokus kepada kebendaan. Yesus berkata, “Jika tumbuh-tumbuhan di padang . . . diberikan pakaian yang indah oleh Tuhan, apatah lagi dengan kamu! Sudah pasti Dia akan memberi kamu pakaian yang diperlukan. Jadi janganlah khuatir dan berkata, . . . ‘Apa yang akan kami pakai?’” Kemudian Yesus mengulangi nasihat ini: “Janganlah khuatir tentang hari esok.” (Mat. 6:30-34) Kita tidak perlu bimbang mengenai keperluan kita pada masa depan. Sebaliknya kita harus berpuas hati dengan keperluan asas seperti tempat tinggal serta pekerjaan untuk menyara keluarga. Kita juga boleh berdoa untuk membuat keputusan yang bijak mengenai kesihatan kita. Selain itu, kita harus berdoa tentang perkara yang lebih penting iaitu keperluan rohani.

8. Apakah perkara penting yang harus kita doakan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

8 Frasa “berilah kami makanan” ada kaitan dengan makanan rohani. Yesus berkata, “Manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.” (Mat. 4:4) Jadi kita harus berdoa agar Yehuwa terus membekalkan makanan rohani kepada kita.

“AMPUNKANLAH DOSA KAMI”

9. Mengapakah dosa kita seperti hutang?

9 Yesus berkata, “Ampunkanlah dosa  [atau, hutang] kami.” (Mat. 6:12, nota kaki; Luk. 11:4) Dosa kita seperti hutang. Pada tahun 1951, majalah The Watchtower menjelaskan bahawa apabila kita berdosa, kita seolah-olah berhutang dengan Yehuwa. Apakah hutang kita dengan Yehuwa? Kasih dan ketaatan. Apabila kita berdosa, kita gagal membayar hutang kita. Jika Tuhan mahu, Dia boleh menarik balik hubungan baik-Nya dengan kita. Majalah itu juga menyatakan: “Jika kita berdosa, kita tidak menunjukkan kasih kepada Tuhan.”—1 Yoh. 5:3.

10. Mengapakah Yehuwa dapat mengampuni dosa kita, dan apakah perasaan kita?

10 Kita memerlukan pengampunan daripada Yehuwa setiap hari. Kita bersyukur kerana Yehuwa menyediakan korban tebusan Yesus kira-kira 2,000 tahun dahulu. Manusia tidak dapat membayar tebusan untuk membebaskan diri daripada dosa dan maut. (Baca Mazmur 49:8-10; 1 Petrus 1:18, 19.) Hal ini menunjukkan betapa pentingnya tebusan Yesus. Frasa “ampunkanlah dosa kami” mengingatkan kita bahawa saudara saudari juga memerlukan tebusan. Yehuwa ingin kita mengambil berat tentang keadaan rohani mereka, termasuk mengampuni mereka dengan segera apabila mereka berdosa terhadap kita. Kesilapan yang dilakukan mereka biasanya kecil sahaja. Tetapi jika kita mengampuni mereka, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi mereka dan bersyukur atas pengampunan Yehuwa.—Kol. 3:13.

Jika anda ingin diampuni oleh Tuhan, ampunilah orang lain (Lihat perenggan 11)

11. Mengapakah penting untuk mengampuni orang lain?

11 Kita tidak sempurna dan ada kalanya berasa susah untuk mengampuni mereka yang menyakiti hati kita. (Im. 19:18) Jika kita bercakap tentang kesilapan mereka, orang lain mungkin akan terlibat. Hal ini dapat mengancam perpaduan sidang. Jika kita membenarkan hal ini berterusan, kita menunjukkan bahawa kita tidak menghargai pemberian tebusan daripada Tuhan. Oleh itu, kita tidak dapat menerima manfaat daripada tebusan. (Mat. 18:35) Jika kita tidak mengampuni orang lain, Yehuwa juga tidak mengampuni kita. (Baca Matius 6:14, 15.) Selain itu, kita juga mesti berhenti melakukan perkara yang dibenci Tuhan.—1 Yoh. 3:4, 6.

 “JANGANLAH BIARKAN KAMI TERJERAT OLEH GODAAN”

12, 13. (a) Apakah yang berlaku kepada Yesus selepas dia dibaptis? (b) Mengapakah kita tidak harus menyalahkan orang lain jika kita menyerah kepada godaan? (c) Apakah yang dibuktikan oleh kesetiaan Yesus?

12 Untuk memahami kata-kata dalam doa Yesus “janganlah biarkan kami terjerat oleh godaan,” mari kita lihat apa yang berlaku kepada Yesus tidak lama selepas dia dibaptis. Daya aktif Tuhan telah memimpinnya ke “padang belantara dan di sana Iblis menggodanya.” (Mat. 4:1; 6:13) Mengapakah Yehuwa mengizinkan hal ini? Yehuwa mengutus Yesus ke bumi untuk menyelesaikan isu yang timbul apabila Adam dan Hawa menolak pemerintahan Yehuwa. Pemberontakan mereka membangkitkan beberapa persoalan seperti: Adakah terdapat masalah dengan cara Tuhan menciptakan manusia? Adakah manusia yang sempurna dapat setia kepada Yehuwa walaupun digoda oleh “Si Jahat”? Adakah lebih bagus jika manusia memerintah diri sendiri? (Kej. 3:4, 5) Untuk menjawab persoalan ini, masa diperlukan. Tidak lama lagi, semua persoalan ini akan dijawab dengan sepenuhnya. Pada masa itu, semua makhluk di syurga dan di bumi akan mengetahui bahawa Yehuwa ialah Pemerintah yang terbaik.

13 Yehuwa ialah Tuhan yang suci. Dia tidak mencubai sesiapa pun untuk melakukan perkara yang jahat. Sebenarnya, Syaitan ialah “Si Penggoda.” (Mat. 4:3) Dia menggoda kita dengan menggunakan banyak cara. Tetapi setiap orang boleh memilih sama ada untuk menolak godaan Syaitan atau menyerah kepada godaannya. (Baca Yakobus 1:13-15.) Semasa digoda oleh Syaitan, Yesus segera menolak godaan itu dengan memetik ayat daripada Firman Tuhan. Dengan demikian, Yesus tetap setia kepada Tuhan sebagai Pemerintahnya. Namun, Syaitan tidak berputus asa. Dia “menantikan kesempatan yang lain” untuk menggoda Yesus. (Luk. 4:13) Walaupun digoda berulang kali, Yesus setia kepada Tuhan sehingga akhir. Dengan itu, Yesus membuktikan bahawa manusia yang sempurna dapat tetap setia kepada Yehuwa walaupun menghadapi situasi yang mencabar. Walaupun begitu, Syaitan juga ingin menggoda pengikut-pengikut Yesus, termasuk anda, supaya mengingkari perintah Yehuwa.

14. Apakah yang perlu kita lakukan untuk menolak godaan?

14 Persoalan yang dibangkitkan tentang pemerintahan Yehuwa masih belum diselesaikan. Oleh itu, Yehuwa mengizinkan Syaitan untuk menggoda kita hari ini. Tetapi, Yehuwa yakin bahawa kita dapat tetap setia kepada-Nya dan Dia ingin membantu kita. Memandangkan Yehuwa menghormati kebebasan kita untuk memilih, Dia tidak memaksa kita untuk membuat apa yang betul. Maka jika kita ingin menolak godaan, kita harus melakukan dua perkara: Tetap berjaga-jaga secara rohani dan terus berdoa meminta bantuan Yehuwa. Namun, bagaimanakah Yehuwa menjawab doa kita?

Kekalkan kerohanian dan semangat anda bagi kerja penyebaran (Lihat perenggan 15)

15, 16. (a) Apakah beberapa godaan yang harus dielakkan? (b) Siapakah yang harus dipersalahkan jika kita menyerah kepada godaan?

15 Yehuwa memberi kita daya aktif-Nya supaya kita dapat melawan godaan Syaitan. Menerusi Bible dan sidang, Yehuwa memberi kita amaran tentang situasi yang berbahaya. Contohnya, kita digalakkan untuk tidak menggunakan banyak masa, wang, dan tenaga bagi perkara yang tidak penting. Espen dan Janne tinggal di sebuah negara yang maju di Eropah. Selama bertahun-tahun  mereka berkhidmat sebagai perintis biasa di kawasan yang memerlukan penyiar. Namun mereka terpaksa berhenti merintis apabila anak mereka dilahirkan. Sekarang mereka mempunyai dua orang anak. Espen berkata, “Memandangkan kami tidak dapat meluangkan masa yang banyak untuk aktiviti teokratik seperti dahulu, kami selalu berdoa agar tidak menyerah kepada godaan. Kami memohon bantuan Yehuwa agar kami dapat mengekalkan kerohanian dan terus menginjil dengan bersemangat.”

16 Satu lagi godaan ialah bahan lucah. Jika kita menyerah kepada godaan ini, kita tidak boleh menyalahkan Syaitan. Mengapa? Kerana Syaitan dan dunianya tidak dapat memaksa kita untuk melakukan perkara yang salah. Ada yang melihat bahan lucah kerana mereka asyik berfikir tentang perkara yang tidak bermoral. Namun, ramai saudara saudari berjaya menolak godaan ini. Jadi kita juga boleh melakukannya.—1 Kor. 10:12, 13.

“SELAMATKANLAH KAMI DARIPADA SI JAHAT”

17. (a) Bagaimanakah kita dapat hidup selaras dengan permohonan: “Selamatkanlah kami daripada Si Jahat”? (b) Mengapakah kita akan berasa gembira tidak lama lagi?

17 Bagaimanakah kita dapat hidup selaras dengan permohonan: “Selamatkanlah kami daripada Si Jahat”? Kita tidak harus menjadi “sebahagian daripada dunia.” Bible juga berkata, “Janganlah mengasihi dunia ini, atau perkara-perkara dalam dunia ini.” (Yoh. 15:19; 1 Yoh. 2:15-17) Kita tentu gembira kerana Yehuwa akan menjawab permintaan kita tidak lama lagi. Dia akan menyingkirkan Syaitan dan memusnahkan dunia yang jahat ini! Sementara itu, kita harus ingat bahawa Syaitan mempunyai “kemarahan yang besar, kerana dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit.” Dia akan berusaha sedaya upaya untuk menghalang kita daripada menyembah Yehuwa. Jadi kita harus berdoa dengan tekun agar Yehuwa melindungi kita daripada Syaitan.—Why. 12:12, 17.

18. Apakah yang harus kita lakukan jika kita ingin hidup di dunia yang bebas daripada Syaitan?

18 Inginkah anda hidup di dunia yang bebas daripada Syaitan? Jika ya, teruslah berdoa supaya Kerajaan Tuhan datang, nama Tuhan disucikan, dan kehendak-Nya dilaksanakan di bumi. Semoga anda terus bergantung pada Yehuwa bagi segala keperluan fizikal dan rohani anda. Bertekadlah untuk hidup selaras dengan doa Yesus.