Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengapa Penyingkiran ialah Aturan yang Penuh Kasih

Mengapa Penyingkiran ialah Aturan yang Penuh Kasih

APABILA Julian mendengar pengumuman bahawa anak lelakinya telah disingkirkan, hatinya remuk. Julian berkata, “Dia ialah anak sulung saya dan kami sangat rapat. Kami melakukan banyak perkara bersama. Dia sentiasa berkelakuan baik, tetapi tiba-tiba dia melakukan perkara yang dilarang. Isteri saya selalu menangis, dan saya tidak tahu bagaimana untuk melegakan hatinya. Kami sentiasa berfikir sama ada kami telah gagal sebagai ibu bapa.”

Memandangkan penyingkiran mendatangkan kesedihan, mengapakah penyingkiran dikatakan sebagai aturan yang didorong oleh kasih? Apakah sebab-sebab daripada Bible yang menyokong aturan ini? Apakah yang menyebabkan seseorang disingkirkan?

DUA FAKTOR YANG MENYEBABKAN PENYINGKIRAN

Dua faktor yang menyebabkan penyingkiran ialah: Pertama, seorang Saksi yang sudah dibaptis melakukan dosa yang serius. Kedua, dia tidak bertaubat.

Walaupun Yehuwa tidak menuntut kesempurnaan daripada kita, Dia ingin kita hidup selaras dengan piawaian-Nya yang suci. Contohnya, Yehuwa memberikan perintah kepada kita untuk mengelak daripada melakukan dosa yang serius seperti perbuatan seks yang tidak bermoral, penyembahan berhala, mencuri, memeras ugut, membunuh, dan ilmu sihir.—1 Kor. 6:9, 10; Why. 21:8.

Tidakkah anda setuju bahawa piawaian Yehuwa tentang kesucian memang munasabah dan dapat melindungi kita? Kita gembira untuk bergaul bersama saudara saudari kerana mereka ialah orang yang suka damai dan dapat dipercayai. Hal ini adalah kerana semasa membaktikan diri, kita telah berjanji bahawa kita akan hidup selaras dengan piawaian Bible.

Bagaimana pula jika orang Kristian melakukan dosa serius kerana kelemahan diri? Umat Yehuwa yang setia pada zaman lampau juga membuat kesilapan yang serupa. Tetapi Tuhan tidak menolak mereka sepenuhnya. Contoh yang selalu disebutkan ialah raja Daud. Dia berzina dan membunuh orang. Namun, nabi Natan memberitahunya, ‘Yehuwa sudah mengampuni tuanku.’—2 Sam. 12:13.

Tuhan mengampuni dosa Daud kerana dia bertaubat dengan ikhlas. (Mzm. 32:1-5) Hari ini, umat Tuhan hanya akan disingkirkan jika dia tidak bertaubat dan terus melakukan apa yang jahat. (Kis. 3:19; 26:20) Jika para penatua yang berkhidmat dalam jawatankuasa pengadilan tidak dapat melihat bahawa pendosa itu benar-benar bertaubat, mereka harus menyingkirkannya.

Pada mulanya, kita mungkin berasa bahawa tindakan untuk menyingkirkan seorang pendosa terlalu berat, terutamanya jika kita rapat dengan orang itu. Namun, Firman Tuhan memberikan sebab yang munasabah bahawa aturan ini didorong oleh kasih.

 MANFAAT PENYINGKIRAN

Yesus berkata, “kebijaksanaan seseorang dibuktikan benar oleh perbuatannya.” (Mat. 11:19) Keputusan untuk menyingkirkan seorang pendosa yang enggan bertaubat mendatangkan hasil yang baik. Mari kita lihat tiga manfaat:

Penyingkiran memuliakan nama Tuhan. Sebagai umat yang menyandang nama Yehuwa, kelakuan kita membawa kesan kepada nama-Nya. (Yes. 43:10) Sepertimana kelakuan anak mempengaruhi pandangan orang terhadap ibu bapanya, kelakuan kita juga akan mempengaruhi pandangan orang terhadap Yehuwa. Nama Tuhan akan dimuliakan jika umat-Nya hidup selaras dengan piawaian moral-Nya. Hal ini serupa dengan zaman Yehezkiel. Pada masa itu, bangsa-bangsa lain mengaitkan nama Yehuwa dengan bangsa Yahudi.—Yeh. 36:19-23.

Jika kita melakukan perkara yang tidak bermoral, kita akan memburukkan nama suci Tuhan. Rasul Petrus menasihati orang Kristian: “Sebagai anak-anak yang patuh, jangan lagi dibentuk oleh keinginan kamu dahulu semasa kamu tidak mempunyai pengetahuan tentang Tuhan. Tuhan Yang Suci telah memanggil kamu. Maka, hendaklah kamu menjadi suci seperti Dia dalam segala tingkah laku kamu. Hal ini demikian kerana ada tertulis, ‘Kamu mesti suci, kerana Aku suci.’” (1 Ptr. 1:14-16) Jadi kelakuan yang suci memuliakan nama Tuhan.

Jika seorang Saksi Yehuwa melakukan apa yang jahat, biasanya kawan-kawan atau kenalannya akan mengetahui tentang hal itu. Yehuwa mempunyai umat yang suci dan mereka berpegang pada perintah-Nya. Aturan penyingkiran dilakukan untuk mengekalkan kesucian dalam sidang. Seorang lelaki yang datang ke perjumpaan di Switzerland berkata bahawa dia ingin menjadi seorang ahli sidang. Salah seorang adik-beradiknya telah disingkirkan atas sebab perbuatan yang tidak bermoral. Dia berkata bahawa dia ingin menyertai sebuah organisasi yang “tidak mengizinkan kelakuan yang jahat.”

Penyingkiran melindungi kesucian sidang Kristian. Rasul Paulus memberikan amaran kepada sidang Korintus. Dia berkata bahawa adalah berbahaya untuk membiarkan pendosa yang enggan bertaubat berada dalam kalangan mereka. Dia membandingkan pengaruh buruk pendosa dengan ragi. Dia berkata, “Sedikit ragi membuat seluruh adunan naik.” Kemudian dia menasihati sidang itu: “Singkirkanlah orang jahat daripada kalangan kamu.”—1 Kor. 5:6, 11-13.

Nampaknya, “orang jahat” yang disebutkan oleh Paulus melakukan perbuatan yang tidak bermoral secara terang-terangan. Ahli sidang yang lain mula menganggap tindakannya itu sebagai suatu perkara yang biasa. (1 Kor. 5:1, 2) Jika salah laku yang serius dibiarkan begitu sahaja, orang Kristian mungkin akan meremehkan piawaian Tuhan. (Pkh. 8:11) Hal ini boleh menyebabkan mereka terpengaruh dengan gaya hidup yang tidak bermoral di kota Korintus. Sepertimana “batu yang tersembunyi di bawah permukaan air” dapat menghancurkan sebuah kapal, pendosa yang enggan bertaubat dapat menghancurkan iman orang lain dalam sidang.—Yud. 4, 12.

Penyingkiran dapat menyedarkan pendosa. Yesus pernah bercakap tentang seorang lelaki muda yang meninggalkan rumah bapanya. Dia memboroskan hartanya dengan menjalani kehidupan yang tidak bermoral. Kehidupannya tidak mendatangkan kebahagiaan dan tiada orang mengambil berat tentangnya. Kemudian, barulah dia sedar akan kesilapannya. Dia bertaubat dan kembali kepada keluarganya. (Luk. 15:11-24) Yesus berkata bahawa bapa yang pengasih itu bersukacita apabila anaknya bertaubat. Hal ini membantu kita memahami perasaan Bapa kita, Yehuwa. Yehuwa berkata, “Aku tidak suka melihat orang berdosa mati. Aku lebih suka melihat mereka bertaubat dan hidup.”—Yeh. 33:11.

Begitu juga, orang yang disingkirkan mungkin sedar bahawa mereka telah kehilangan keluarga rohani. Seorang pendosa yang mengalami akibat buruk daripada dosanya mungkin terkenang saat-saat bahagia semasa dia mempunyai hubungan yang baik dengan Yehuwa dan umat-Nya. Hal ini dapat membawa kesedaran kepadanya.

Untuk membantu orang yang disingkirkan, kita harus tegas dan menunjukkan kasih. Bible berkata,  “Seorang kawan memukul dengan maksud baik.” (Ams. 27:6) Sebagai contoh, bayangkan seseorang sedang mengembara ketika musim sejuk. Dia terlalu penat dan tidak mampu berjalan lagi. Suhu badannya sangat rendah dan dia berasa mengantuk. Jika dia tertidur dalam keadaan yang sejuk itu, dia akan mati. Sementara menunggu pasukan penyelamat datang, temannya kadangkala menampar mukanya supaya dia tidak tertidur. Tamparan itu mungkin menyakitinya, tetapi dapat menyelamatkan hidupnya. Begitu juga, kita mungkin menerima teguran yang menyakitkan hati demi kebaikan kita.

Penyingkiran ialah disiplin yang baik bagi pendosa. Anak Julian yang disebutkan pada permulaan rencana telah mengubah gaya hidupnya dan diterima kembali ke sidang selepas kira-kira 10 tahun. Hari ini dia berkhidmat sebagai seorang penatua. “Penyingkiran menyebabkan saya berdepan dengan akibat buruk gaya hidup saya,” katanya. “Saya sedar bahawa saya memerlukan disiplin itu.”—Ibr. 12:7-11.

MEMPERLAKUKAN ORANG YANG TELAH DISINGKIRKAN DENGAN CARA YANG PENGASIH

Penyingkiran memang sesuatu yang sangat menyedihkan. Namun, hal ini bukanlah akhir segala-galanya. Kita semua boleh memainkan peranan masing-masing untuk memastikan penyingkiran mencapai tujuannya.

Mereka yang bertaubat akan dibantu untuk kembali kepada Yehuwa

Para penatua yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan mengenai penyingkiran harus mencerminkan kasih Yehuwa. Semasa memberitahu seseorang bahawa dia akan disingkirkan, penatua akan menjelaskan dengan kata-kata yang lembut mengenai langkah-langkah yang harus diambilnya untuk diterima kembali ke dalam sidang. Untuk mengingatkan orang yang telah disingkirkan tentang bagaimana mereka boleh kembali kepada Yehuwa, penatua mungkin melawat orang itu dari masa ke masa. *

Ahli keluarga dapat menunjukkan kasih kepada sidang dan orang yang disingkirkan dengan menghormati keputusan penyingkiran yang telah dibuat. Julian menjelaskan, “Dia masih anak saya, tetapi gaya hidupnya telah menyebabkan suatu jurang di antara kami.”

Semua ahli sidang dapat menunjukkan kasih dengan mengikut prinsip Bible untuk tidak berhubung atau bercakap dengan orang yang disingkirkan. (1 Kor. 5:11; 2 Yoh. 10, 11) Dengan demikian, mereka menyokong disiplin yang diberikan oleh Yehuwa melalui para penatua. Ahli sidang juga dapat menunjukkan kasih kepada keluarga orang yang disingkirkan. Mereka menghadapi masa yang susah. Jadi ahli sidang boleh terus bergaul mesra dengan mereka supaya mereka tidak berasa tersisih.—Rm. 12:13, 15.

Julian menyimpulkan: “Penyingkiran ialah aturan yang kita perlukan. Aturan ini membantu kita untuk hidup menurut piawaian Yehuwa. Walaupun aturan ini membawa kesakitan, aturan ini membawa hasil yang baik. Jika saya bertolak ansur dengan kelakuan jahat anak saya, dia mungkin tidak akan pulih secara rohani.”

^ per. 24 Lihat The Watchtower 15 April 1991, muka surat 21-23.