Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 KISAH HIDUP

Berkat pada Masa Senang dan Masa Susah

Berkat pada Masa Senang dan Masa Susah

SAYA dilahirkan pada bulan Mac 1930 di pekan Namkumba, Malawi. Semua ahli keluarga saya ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Pada tahun 1942, saya membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis di salah sebuah sungai yang indah di Malawi. Selama 70 tahun, saya cuba melakukan apa yang digalakkan oleh Paulus kepada Timotius: “Khabarkan firman Tuhan tanpa berlengah-lengah, baik pada masa yang senang mahupun pada masa yang susah.”—2 Tim. 4:2.

Pada tahun 1948, Nathan H. Knorr dan Milton G. Henschel datang ke Malawi. Lawatan mereka telah mendorong saya untuk berkhidmat kepada Yehuwa sepenuh masa. Kemudian, saya berjumpa dengan Lidasi, seorang saudari yang mempunyai matlamat yang sama dengan saya. Kami berkahwin pada tahun 1950 dan pada tahun 1953 kami sudah pun mempunyai dua orang anak. Walaupun kami mempunyai banyak tanggungjawab sebagai ibu bapa, saya dapat menceburi khidmat perintis biasa. Dua tahun kemudian, saya telah dijemput untuk menjadi seorang perintis khas.

Kemudian saya diberikan penghormatan untuk menjadi penyelia lawatan. Lidasi banyak membantu saya, jadi saya dapat memenuhi keperluan keluarga dan terus berkhidmat sepenuh masa. * Namun, kami ingin berkhidmat kepada Yehuwa sepenuh masa bersama. Jadi dengan perancangan yang teliti, dan dengan kerjasama lima orang anak kami, Lidasi juga dapat memulakan khidmat sepenuh masa pada tahun 1960.

Perhimpunan telah menguatkan kami untuk menghadapi penganiayaan

Pada tahun 1962, kami menghadiri konvensyen distrik yang menekankan sifat keberanian. Setahun kemudian, Saudara Henschel melawat Malawi semasa konvensyen istimewa diadakan berdekatan kota Blantyre. Lebih daripada 10,000 orang menghadiri konvensyen tersebut. Apabila saya berfikir mengenai program yang diadakan, saya sedar bahawa program ini telah mempersiapkan semua Saksi di Malawi untuk menghadapi masa susah yang bakal tiba.

MASA YANG SUSAH TIBA

Kerajaan mengenakan larangan ke atas kerja kami dan merampas pejabat cawangan kami

Pada tahun 1964, Saksi-Saksi Yehuwa dianiaya kerana mereka tidak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti politik. Akibatnya, lebih daripada 100 buah Dewan Perjumpaan dan lebih daripada 1,000 rumah saudara saudari dimusnahkan. Saya  dan Lidasi terus melakukan kerja lawatan sehingga kerajaan mengenakan larangan ke atas Saksi-Saksi pada tahun 1967. Kerajaan merampas pejabat cawangan kami, para mubaligh disuruh keluar dari negara ini, dan ramai Saksi dipenjarakan, termasuk saya dan Lidasi. Selepas kami dibebaskan, kami meneruskan kerja lawatan dengan berhati-hati.

Pada suatu hari, bulan Oktober 1972, kira-kira 100 orang ahli parti politik ekstremis yang dikenali sebagai Malawi Youth League menuju ke rumah kami. Namun, salah seorang daripada mereka datang terlebih dahulu dan menyuruh saya untuk bersembunyi kerana mereka merancang untuk membunuh saya. Saya menyuruh isteri dan anak-anak saya untuk bersembunyi di antara pokok pisang tidak jauh dari rumah kami. Saya pula memanjat pokok mangga yang besar. Dari sana saya melihat bagaimana mereka membinasakan rumah dan segala harta kami.

Oleh sebab saudara saudari enggan melibatkan diri dalam hal ehwal politik, rumah mereka dibakar

Penganiayaan di Malawi semakin meningkat dan beribu-ribu Saksi berpindah ke negara lain. Kami tinggal di kem pelarian di Mozambique. Pada bulan Jun 1974, saya dan Lidasi dijemput untuk berkhidmat sebagai perintis khas di Dómue, Mozambique. Kami terus merintis di sana sehingga kami dipaksa untuk kembali ke Malawi pada tahun 1975. Di Malawi Saksi-Saksi masih dianiaya.

Selepas kembali, saya ditugaskan untuk melawat sidang-sidang di Lilongwe, ibu kota Malawi. Walaupun menghadapi masa yang susah, jumlah sidang masih meningkat.

YEHUWA MEMBANTU KAMI

Pada suatu hari, semasa dalam perjalanan, kami sampai di suatu pekan dan perhimpunan politik sedang diadakan di situ. Beberapa orang di sana mendapat tahu bahawa kami ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka menyuruh kami duduk dengan ahli parti politik yang dipanggil Malawi Young Pioneers. Kami telah berdoa untuk bantuan dan bimbingan daripada Yehuwa. Selepas perhimpunan itu selesai, mereka mula memukul kami. Tetapi, tiba-tiba ada seorang wanita yang berusia datang dan berkata, “Biarlah mereka pergi. Lelaki ini ialah anak buah saya. Biarlah mereka meneruskan perjalanan mereka!” Pemimpin perhimpunan itu juga berkata, “Biarlah mereka pergi!” Kami tidak tahu mengapa wanita itu berbuat demikian memandangkan dia bukan saudara-mara kami. Jadi, kami percaya bahawa Yehuwa tentu telah mendengar doa yang kami ucapkan.

Kad parti politik

Pada tahun 1981, Malawi Young Pioneers menemui kami sekali lagi. Kali ini, mereka merampas basikal, barang-barang, buku-buku, serta fail-fail sidang yang mengandungi butiran saudara saudari. Kami melarikan diri ke rumah penatua yang  berdekatan. Tetapi kami risau tentang apa yang akan dilakukan oleh mereka dengan maklumat dalam fail-fail itu. Apabila mereka melihat bahawa terdapat banyak surat yang dihantar kepada saya dari serata Malawi, mereka berasa takut. Mereka segera memulangkan fail-fail itu kerana berfikir bahawa saya ialah seorang pegawai kerajaan.

Pada ketika yang lain, kami sedang menyeberangi sungai dengan menggunakan bot. Pemilik bot tersebut ialah seorang ahli politik, dan dia ingin semua orang menunjukkan kad parti politik * mereka. Sebelum dia memeriksa kami, dia terlihat seorang pencuri yang sedang diburu oleh polis. Hal ini telah mengalihkan perhatian semua orang yang berada dalam bot itu, dan pemilik itu pun berhenti memeriksa kad parti politik. Sekali lagi, kami merasai bantuan daripada Yehuwa, Tuhan yang penyayang.

DITANGKAP DAN DIPENJARAKAN

Pada bulan Februari 1984, semasa saya dalam perjalanan ke Lilongwe untuk menghantar laporan kepada pejabat cawangan Zambia, seorang pegawai polis menahan saya dan memeriksa beg saya. Dia menjumpai beberapa bahan bacaan Bible. Jadi dia membawa saya ke balai polis dan mula memukul saya. Kemudian dia mengikat saya dengan tali dan memenjarakan saya bersama banduan yang merupakan pencuri.

Pada hari seterusnya, ketua polis membawa saya ke bilik yang lain. Dia ingin saya menandatangani surat yang menyatakan: “Saya, Trophim R. Nsomba, telah berhenti menjadi Saksi-Saksi Yehuwa agar saya boleh dibebaskan.” Saya enggan menandatangani surat itu dan memberitahunya, “Saya bersedia untuk dipenjarakan. Sampai mati, saya masih seorang Saksi bagi Yehuwa.” Ketua polis itu sangat marah lalu menghentak meja sehingga polis dari bilik sebelah datang untuk melihat apa yang berlaku. Ketua polis itu memberitahunya, “Lelaki ini enggan menandatangani surat yang menyatakan bahawa dia berhenti menginjil. Jadi biarlah dia menandatangani surat yang menyatakan bahawa dia ialah Saksi-Saksi Yehuwa dan kita akan menghantarnya ke Lilongwe.” Buat masa ini, isteri saya tidak tahu apa yang berlaku. Empat hari kemudian, beberapa saudara memberitahu isteri saya apa yang berlaku.

Di balai polis Lilongwe, saya dilayan dengan baik. Ketua polis berkata, “Ini sepinggan nasi untuk kamu kerana kamu ditahan atas sebab Firman Tuhan. Orang lain berada di sini atas sebab mencuri.” Mereka menghantar saya ke penjara Kachere. Saya ditahan di penjara itu selama lima bulan.

 Pegawai penjara di Kachere gembira apabila saya tiba kerana dia ingin saya menjadi “paderi” di penjara itu. Dia menyingkirkan paderi yang ada di situ dengan memberitahunya, “Saya tidak mahu kamu mengajar Firman Tuhan di sini kerana kamu dipenjarakan atas sebab mencuri daripada gereja kamu sendiri!” Jadi, setiap minggu saya mengajar tentang Alkitab semasa perjumpaan para banduan.

Kemudian, keadaannya berubah. Pegawai penjara menyoal saya kerana mereka ingin mengetahui berapa ramai Saksi-Saksi Yehuwa berada di Malawi. Mereka tidak puas hati dengan jawapan saya, jadi mereka memukul saya sehingga saya pengsan. Pada ketika yang lain, mereka ingin mengetahui di mana ibu pejabat kita. Saya berkata, “Kamu menanya soalan yang mudah, jadi saya akan memberitahu kamu.” Saya memberitahu mereka bahawa ibu pejabat kita diterangkan di dalam Alkitab. Mereka bertanya, “Di mana di dalam Alkitab?”

Saya berkata, “Di Yesaya 43:12.” Mereka membuka Alkitab dan membacanya dengan teliti: ‘Kamulah saksi-Ku. Akulah Tuhan [Yehuwa].’ Mereka membaca ayat itu sebanyak tiga kali. Kemudian mereka bertanya: “Bagaimana mungkin ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa berada dalam Alkitab dan bukan di Amerika?” Saya memberitahu mereka: “Saksi-Saksi Yehuwa di Amerika juga menggunakan ayat ini untuk menjelaskan ibu pejabat mereka.” Oleh sebab mereka tidak puas hati dengan jawapan saya, saya dihantar ke Penjara Dzaleka, di utara Lilongwe.

BERKAT PADA MASA YANG SUSAH

Apabila saya sampai di Penjara Dzaleka pada bulan Julai 1984, seramai 81 Saksi dipenjarakan di situ. Penjara itu sangat sempit, sehingga 300 orang banduan terpaksa tidur bersebelahan di atas lantai. Lambat-laun Saksi-Saksi dapat berkumpul setiap hari dalam kumpulan kecil untuk membincangkan ayat Bible. Hal ini sangat menggalakkan kami.

Saudara-saudara keluar selepas perbicaraan mahkamah

Pada bulan Oktober 1984, kami dihadapkan ke mahkamah. Di sana kami dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun. Kami dipenjarakan bersama orang yang bukan Saksi. Tetapi pegawai penjara memberitahu semua orang, “Saksi-Saksi Yehuwa tidak merokok. Para pengawal, jangan minta rokok daripada mereka atau menyuruh mereka mendapatkan bara api bagi rokok kamu. Mereka umat Tuhan! Semua Saksi-Saksi Yehuwa harus diberi makan dua kali sehari. Mereka dipenjarakan bukan kerana mereka penjenayah, tetapi kerana mereka percaya dalam Bible.”

Kami mendapat manfaat kerana kelakuan baik kami. Apabila hari gelap atau hujan,  banduan tidak dibenarkan untuk berada di luar penjara. Tetapi para pengawal membenarkan kami ke luar kerana mereka mempercayai kami dan tahu bahawa kami tidak akan cuba melarikan diri. Misalnya, semasa kami sedang bekerja di ladang di luar penjara, seorang pengawal telah jatuh sakit. Jadi kami membawanya pulang ke penjara. Kelakuan baik kami telah menyebabkan para pengawal di penjara tersebut memuji nama Yehuwa.—1 Ptr. 2:12. *

MASA SENANG TIBA SEKALI LAGI

Pada 11 Mei 1985, saya telah dibebaskan dari Penjara Dzaleka dan saya sangat gembira kerana dapat kembali kepada keluarga saya! Kami berterima kasih kepada Yehuwa kerana membantu kami tetap setia kepada-Nya semasa mengharungi masa yang susah itu. Kami mempunyai perasaan yang sama seperti rasul Paulus yang berkata, “Saudara-saudara, kami mahu kamu mengetahui kesengsaraan yang kami alami . . . dan kami tidak pasti sama ada kami dapat terus hidup atau tidak. Sebenarnya, kami berasa bahawa kami sudah dijatuhi hukuman mati. Namun hal ini berlaku supaya kami tidak menaruh kepercayaan kepada diri sendiri, tetapi kepada Tuhan yang membangkitkan orang mati. Dia telah menyelamatkan kami daripada bahaya maut.”—2 Kor. 1:8-10.

Saudara Nsomba dan isterinya, Lidasi, di depan sebuah Dewan Perjumpaan, 2004

Ada masanya kami berasa bahawa kami tidak dapat mengharungi masa yang susah itu. Tetapi kami selalu meminta Yehuwa untuk memberikan keberanian, kebijaksanaan, dan kerendahan hati kepada kami agar dapat memuliakan nama-Nya yang agung.

Yehuwa telah memberkati khidmat kami kepada-Nya “pada masa yang senang mahupun pada masa yang susah.” Hari ini, kami teruja melihat pejabat cawangan baru yang cantik di Lilongwe dan lebih daripada 1,000 Dewan Perjumpaan baru di Malawi! Saya dan Lidasi berasa sangat kagum atas semua berkat ini. Kami berasa seolah-olah seperti kami sedang bermimpi! *

^ per. 6 Saudara yang mempunyai anak kecil tidak lagi dijemput untuk menjadi penyelia litar.

^ per. 16 Kad parti politik digunakan di Malawi untuk menunjukkan sokongan kepada parti politik yang sedang memerintah.

^ per. 27 Untuk maklumat lanjut mengenai penganiayaan yang berlaku di Malawi, sila lihat Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 1999, muka surat 171-223.

^ per. 31 Semasa rencana ini disediakan, Saudara Nsomba telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 83 tahun.