Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Kasih yang Berkekalan Wujud?

Adakah Kasih yang Berkekalan Wujud?

“Nyala cinta yang berkobar-kobar itu nyala api Yah.”—KID. 8:6, NW.

1, 2. Siapakah yang meraih manfaat daripada buku Kidung Agung, dan mengapa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

PENGANTIN perempuan dan pengantin lelaki melihat satu sama lain sambil tersenyum. Semua saudara saudari tahu bahawa mereka dilamun cinta. Gerak-geri mereka menunjukkan bahawa mereka sangat mengasihi satu sama lain. Namun ada yang terfikir, “Adakah kasih mereka akan semakin mendalam, atau semakin pudar?” Jika suami isteri benar-benar mengasihi satu sama lain, perkahwinan mereka akan bertahan walaupun menghadapi masalah. Tetapi, banyak pasangan tidak berasa gembira dan akhirnya berpisah. Maka anda mungkin tertanya, “Adakah kasih sejati yang berkekalan wujud?”

2 Pada zaman Raja Salomo, kasih sejati tidak senang dijumpai. Mengapa? Salomo berkata, ‘Antara seribu orang, aku menemui seorang lelaki yang dapat aku hormati, tetapi antara mereka tiada seorang wanita yang dapat aku hormati. Hanya inilah yang telah kupelajari: Tuhan telah menjadikan kita jujur, tetapi kita sendiri yang berputar belit.’ (Pkh. 7:26-29) Pada masa itu, terdapat ramai wanita asing yang menyembah Baal dalam kalangan orang Israel. Oleh itu, ramai orang Israel pun  terikut dengan wanita yang tidak bermoral itu. * Sekitar 20 tahun sebelum itu, Salomo menulis sebuah puisi mengenai cinta sejati yang berkekalan. Tidak kira kita sudah berkahwin atau masih bujang, kita dapat meraih pengajaran daripada buku Kidung Agung. Kita akan belajar mengenai cinta sejati dan cara untuk menunjukkannya.

ADAKAH CINTA SEJATI WUJUD?

3. Mengapakah cinta sejati antara lelaki dan perempuan tidak mustahil?

3 Baca Kidung Agung 8:6. * Cinta diterangkan sebagai “nyala api Yah.” Mengapa? Kerana sifat Yehuwa yang paling agung ialah kasih. Dia juga menciptakan kita dengan keupayaan untuk menunjukkan kasih seperti-Nya. (Kej. 1:26, 27) Setelah Yehuwa menciptakan lelaki yang pertama, Adam, Dia mengurniainya seorang isteri yang cantik. Apabila Adam melihat Hawa pada kali pertama, dia berasa sangat gembira sehingga meluahkan perasaannya dalam sebuah pantun. Hawa juga berasa rapat dengan suaminya. Hal ini adalah kerana Yehuwa menciptakannya daripada Adam. (Kej. 2:21-23) Yehuwa telah menciptakan lelaki dan perempuan dengan keupayaan untuk menunjukkan kasih sejati yang berkekalan.

4, 5. Apakah kisah dalam buku Kidung Agung?

4 Cinta antara seorang gadis kampung dengan seorang gembala muda dikarangkan sebagai nyanyian dalam buku Kidung Agung. Inilah kisah mereka: Gadis itu berasal dari Sunem, atau Sulam. Dia bekerja di ladang anggur abangnya. Ladang itu berdekatan dengan perkhemahan Raja Salomo dan askar-askarnya. Raja Salomo ternampak gadis itu dan menyuruh hambanya untuk membawa gadis itu ke khemahnya. Kemudian, dia memuji kecantikan gadis itu dan menawarkan banyak hadiah. Tetapi gadis itu sebenarnya mencintai seorang gembala dan enggan berpisah dengannya. (Kid. 1:4-14) Gembala itu mencari-cari gadis itu di khemah Salomo. Apabila dia berjumpa dengannya, mereka meluahkan perasaan kasih dengan kata-kata yang indah.—Kid. 1:15-17.

5 Apabila Salomo kembali ke Yerusalem, dia membawa gadis muda itu bersama. Gembala itu mengikut kekasihnya. (Kid. 4:1-5, 8, 9) Tidak kira apa yang dikatakan atau dilakukan oleh Salomo, dia gagal menawan hati gadis itu. (Kid. 6:4-7; 7:1-10) Akhirnya, Salomo membiarkan gadis itu kembali. Gadis itu pun memanggil kekasihnya untuk datang dengan cepat “seperti seekor kijang.”—Kid. 8:14.

6. Mengapakah susah untuk mengetahui siapa yang sedang bercakap dalam buku Kidung Agung?

6 Kidung Agung merupakan nyanyian yang indah. Sebenarnya, “Kidung Agung” bermaksud nyanyian yang agung. (Kid. 1:1) Tetapi dalam karya asal Salomo, dia tidak menyerlahkan nama watak-watak. Dia ingin menonjolkan keindahan puisinya tanpa memberikan terlalu banyak maklumat. Walaupun demikian, kita masih boleh tahu watak mana yang sedang bercakap berdasarkan kata-kata mereka.

“CINTAMU LEBIH NIKMAT DARIPADA WAIN”

7, 8. Bagaimanakah gembala itu dan gadis itu meluahkan kata-kata cinta mereka? Berikan contoh.

7 Gadis itu dan kekasihnya meluahkan kata-kata cinta yang indah. Namun, kita  mungkin tidak biasa dengan cara mereka meluahkan perasaan. Hal ini adalah kerana buku Kidung Agung ditulis lebih daripada 3,000 tahun yang lalu. (Kid. 1:2) Walaupun budaya mereka berbeza daripada budaya kita, kita dapat memahami bahawa mereka saling mencintai. Contohnya, gembala itu berkata bahawa mata gadis itu bagaikan “mata merpati.” Maksudnya mata gadis itu sangat cantik. (Kid. 1:15) Gadis itu pula berkata bahawa mata gembala itu bagaikan burung merpati. (Baca Kidung Agung 5:12.) Bagi dia, warna mata gembala itu kelihatan cantik seperti merpati kelabu biru yang bermandi susu.

8 Gembala itu dan buah hatinya bukan sekadar memuji kecantikan satu sama lain. Gembala itu juga suka mendengar cara gadis itu bercakap kepada orang lain. (Baca Kidung Agung 4:7, 11.) Jadi dia memberitahu gadis itu, “Bibirmu lebih manis daripada madu, hai pengantinku. Lidahmu seperti susu dan madu.” Baginya, kata-kata gadis itu lemah lembut, baik, dan manis seperti susu dan madu. Gembala itu juga memberitahu gadis itu, “Alangkah cantiknya engkau, hai sayangku, tiada cacat padamu.” Dia bukan sahaja bercakap tentang kecantikannya, tetapi juga sifat-sifatnya yang baik.

9. (a) Apakah yang terangkum dalam kasih suami isteri? (b) Mengapakah penting bagi suami isteri untuk meluahkan perasaan cinta kepada satu sama lain?

9 Bagi penyembah Yehuwa hari ini, perkahwinan bukan sekadar perjanjian rasmi. Suami isteri benar-benar mengasihi satu sama lain dan menunjukkannya melalui perbuatan dan kata-kata. Namun, apakah maksud kasih sejati antara suami isteri? Adakah kasih ini berdasarkan prinsip Bible? (1 Yoh. 4:8) Adakah kasih ini perasaan sayang antara ahli keluarga? Adakah kasih ini merujuk kepada hubungan yang rapat antara dua sahabat sejati? (Yoh. 11:3) Atau, adakah kasih ini merujuk kepada cinta antara dua kekasih? (Ams. 5:15-20) Sebenarnya, kasih sejati antara suami isteri merangkumi semua jenis kasih yang disebutkan itu. Melalui kata-kata dan perbuatan, anda dapat meluahkan isi hati anda dan hidup bahagia bersama. Ya, hal ini memang penting tidak kira betapa sibuknya anda. Bagi sesetengah budaya, perkahwinan suami isteri adalah dirancang. Suami dan isteri mungkin tidak mengenali satu sama lain sebelum hari perkahwinan. Jadi selepas mereka berkahwin, mereka harus saling mengenali dan meluahkan perasaan mereka supaya ikatan kasih antara mereka menjadi kuat. Dengan demikian, mereka akan semakin rapat dan perkahwinan mereka akan kukuh.

10. Bagaimanakah luahan kasih dapat menguatkan sebuah perkahwinan?

10 Luahan cinta dapat menguatkan perkahwinan dalam cara yang lain. Dalam buku Kidung Agung, Raja Salomo telah menawarkan “perhiasan emas” dan “perhiasan yang bertatahkan perak” kepada gadis muda itu. Dia juga memuji gadis itu dengan berkata bahawa kecantikannya “seindah bulan purnama, secerah sang suria.” (Kid. 1:9-11; 6:10) Namun, gadis itu sudah pun mempunyai kekasih yang sejati. Apakah yang membantunya untuk tetap setia kepada kekasihnya? Apakah yang menghiburkan hatinya ketika mereka berjauhan? (Baca Kidung Agung 1:2, 3.) Dia teringat kembali luahan cinta gembala itu yang membuatnya gembira. Baginya, luahan gembala itu “lebih nikmat daripada wain” dan menghiburkan hatinya, bagaikan “minyak wangi yang dicurahkan” atas  kepala. (Mzm. 23:5; 104:15) Suami atau isteri akan ingat tentang kasih yang ditunjukkan oleh pasangan mereka. Jadi adalah penting bagi suami isteri untuk sentiasa meluahkan kasih mereka. Hal ini akan menguatkan hubungan mereka.

JANGAN BANGKITKAN CINTA SEBELUM SAATNYA TIBA

11. Apakah pengajaran daripada kata-kata gadis Sulam kepada wanita-wanita di istana?

11 Jika anda ingin berkahwin, apakah yang boleh anda pelajari daripada gadis Sulam tersebut? Dia tidak mencintai Salomo dan dengan tegas memberitahu wanita-wanita di istana, “Janganlah bangkitkan perasaan cinta dalam diriku sebelum saatnya tiba.” (Kid. 2:7; 3:5, NW) Mengapakah dia berkata demikian? Kerana orang Kristian tidak seharusnya memupuk hubungan romantik dengan sesiapa sahaja. Sebaliknya, adalah lebih bijak untuk menunggu orang yang sesuai, orang yang anda benar-benar cintai.

12. Mengapakah gadis Sulam mencintai kekasihnya?

12 Mengapakah gadis Sulam itu mencintai kekasihnya? Kerana gembala itu tampan seperti “kijang.” Tangannya kuat seperti “emas.” Kakinya kukuh “seperti tiang marmar putih.” Tetapi lebih-lebih lagi, dia mengasihi Yehuwa dan mempunyai sifat-sifat yang baik. Itulah sebabnya gadis Sulam jatuh cinta kepadanya. Gadis Sulam berkata bahawa kekasihnya istimewa “bagaikan pokok epal antara pokok-pokok hutan.”—Kid. 2:3, 9; 5:14, 15.

13. Mengapakah gembala muda itu mencintai gadis Sulam?

13 Gadis Sulam sangat menawan. Walaupun Raja Salomo “ada enam puluh orang permaisuri, dan lapan puluh orang gundik, dan gadis yang tidak terbilang,” dia terpikat dengan gadis Sulam itu. Namun gembala mengasihi gadis ini bukan hanya kerana kejelitaannya. Gadis ini mengasihi Yehuwa dan mempunyai sifat-sifat yang elok. Contohnya, gadis ini rendah hati dan menyamakan dirinya kepada “bunga mawar” yang biasa dijumpai. Namun dia sangat istimewa di mata kekasihnya, seperti “bunga bakung antara semak berduri.”—Kid. 2:1, 2; 6:8.

14. Jika anda ingin berkahwin, apakah yang boleh anda pelajari daripada contoh gadis Sulam dan kekasihnya?

14 Firman Tuhan menasihati orang  Kristian untuk mengahwini seseorang yang merupakan “pengikut Tuan kita.” (1 Kor. 7:39) Maksudnya, orang Kristian hanya boleh berdating atau berkahwin dengan orang yang sudah dibaptis. Mengapakah hal ini bermanfaat? Suami isteri perlu menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian. Tetapi, jika mereka mempunyai hubungan yang baik dengan Yehuwa, perkahwinan mereka akan aman dan bahagia. Jika anda ingin berkahwin, teladanilah contoh gadis Sulam dan kekasihnya. Carilah seseorang yang mengasihi Yehuwa dan mempunyai sifat-sifat baik.

Orang Kristian tidak akan berdating atau berkahwin dengan orang yang tidak menyembah Yehuwa (Lihat perenggan 14)

“PENGANTINKU SEPERTI TAMAN YANG BERTEMBOK”

15. Mengapakah kesetiaan gadis Sulam merupakan contoh baik bagi pasangan Kristian yang merancang untuk berkahwin?

15 Baca Kidung Agung 4:12. Mengapakah gembala itu menyamakan gadis Sulam dengan “taman yang bertembok”? Sebuah taman yang bertembok tidak terbuka kepada orang awam dan hanya boleh dimasuki melalui pintu pagar. Gadis Sulam disamakan dengan taman itu kerana dia hanya mencintai kekasihnya. Dia ingin berkahwin dengannya, jadi dia tidak mempedulikan perhatian yang diberikan oleh Raja Salomo. Hatinya tidak berubah, bagaikan “tembok” yang kukuh dan bukan “pintu” yang senang dibuka. (Kid. 8:8-10) Maka, pasangan Kristian yang merancang untuk berkahwin harus setia kepada satu sama lain dan hanya mencintai pasangan mereka.

16. Jika anda sedang berdating, apakah pengajaran yang boleh anda peroleh daripada buku Kidung Agung?

16 Apabila gembala itu mengajak gadis Sulam untuk pergi berjalan-jalan, abang-abang gadis Sulam tidak mengizinkannya. Sebaliknya, mereka menyuruhnya menjaga ladang anggur. Adakah mereka tidak mempercayainya? Adakah mereka berfikir bahawa adik mereka dan gembala itu akan melakukan perkara yang tidak bermoral? Tidak. Sebenarnya, mereka ingin melindungi adik mereka daripada situasi yang berbahaya itu. (Kid. 1:6; 2:10-15) Jika anda sedang berdating, bagaimanakah anda dapat mengelakkan situasi yang mungkin menggoda anda untuk berbuat salah? Pastikanlah terlebih dahulu apa yang harus dielakkan supaya hubungan anda berdua tetap bersih. Janganlah bersendirian tanpa diawasi. Luahkan kasih anda dalam cara yang betul.

17, 18. Apakah yang anda pelajari daripada buku Kidung Agung?

17 Semasa seorang lelaki dan wanita berkahwin, mereka dilamun cinta. Yehuwa ingin perkahwinan mereka berkekalan. Jadi mereka harus berusaha untuk terus mengasihi satu sama lain dan memastikan bahawa nyala api kasih mereka tidak terpadam.—Mrk. 10:6-9.

18 Jika anda ingin berkahwin, carilah orang yang anda benar-benar cintai. Selepas anda menemuinya, anda berdua harus bekerjasama untuk mengekalkan kasih sejati. Buku Kidung Agung menunjukkan bahawa kasih sejati yang berkekalan memang wujud. Itulah “nyala api Yah.”—Kid. 8:6, NW.

^ per. 2 Lihat The Watchtower terbitan 15 Januari 2007, muka surat 31.

^ per. 3 Kidung Agung 8:6 (NW): “Jadikanlah aku meterai pada hatimu, dan meterai pada lenganmu, kerana cinta itu sekuat maut, dan kesetiaan itu seperti Kuburan yang tidak mengenal lelah. Nyala cinta yang berkobar-kobar itu nyala api Yah.”