Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Selalu Dengar Suara Yehuwa

Selalu Dengar Suara Yehuwa

Kamu akan mendengar suara-Nya di belakang kamu berfirman, ‘Inilah jalannya, ikutlah jalan ini!’”—YES. 30:21.

1, 2. Bagaimanakah Yehuwa membimbing umat-Nya?

SELAMA ini, Yehuwa membimbing manusia dalam pelbagai cara. Pada masa dahulu, Yehuwa memberikan tugas atau nubuat kepada umat-Nya melalui malaikat, penglihatan, atau mimpi. (Bil. 7:89; Yeh. 1:1; Dan. 2:19) Yehuwa juga mengutus manusia untuk menyampaikan nasihat-Nya. Tidak kira apa cara yang digunakan Tuhan, sesiapa yang mengikut nasihat-Nya akan diberkati.

2 Dewasa ini, kita dibimbing oleh Yehuwa melalui Bible, daya aktif, dan sidang Kristian. (Kis. 9:31; 15:28; 2 Tim. 3:16, 17) Nasihat yang diberikan oleh Yehuwa begitu jelas seolah-olah kita ‘mendengar suara-Nya di belakang berfirman, “Inilah jalannya, ikutlah jalan ini!”’ (Yes. 30:21) Yehuwa juga menggunakan Yesus Kristus untuk menyampaikan kata-kata-Nya kepada kita. Yesus berbuat demikian melalui hamba yang setia dan bijaksana. (Mat. 24:45) Oleh itu, amatlah penting untuk mendengar suara Yehuwa jika kita ingin meraih berkat kehidupan kekal.—Ibr. 5:9.

3. Apakah perkara yang menghalang kita daripada mendengar suara Yehuwa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Syaitan ingin sekali menghalang kita daripada mendengar nasihat baik yang diberikan oleh Yehuwa. Lagipun, ‘hati kita  yang licik’ boleh mempengaruhi kita untuk mengabaikan nasihat Yehuwa. (Yer. 17:9) Jadi, marilah kita bincangkan cara untuk mengatasi halangan-halangan ini. Kita juga akan belajar bagaimana mendengar suara Yehuwa dan berdoa kepada-Nya dapat membantu kita untuk mengekalkan hubungan yang rapat dengan-Nya.

MENGATASI MUSLIHAT SYAITAN

4. Bagaimanakah Syaitan berusaha mempengaruhi fikiran manusia?

4 Syaitan Si Iblis berusaha mempengaruhi fikiran manusia melalui ajaran dan maklumat yang menyesatkan. (Baca 1 Yohanes 5:19.) Seluruh dunia dibanjiri dengan maklumat yang disebarkan melalui surat khabar, buku, majalah, radio, TV, dan Internet. Meskipun terdapat maklumat yang menarik dan berguna, kebanyakannya adalah bertentangan dengan prinsip Tuhan. (Yer. 2:13) Sebagai contoh, industri berita dan hiburan sering menyatakan bahawa perkahwinan sama jantina boleh diterima. Oleh itu, ramai orang sekarang berpendapat bahawa ajaran Bible tentang hubungan sejenis adalah keterlaluan.—1 Kor. 6:9, 10.

5. Bagaimanakah kita dapat menghindari pengaruh Syaitan?

5 Bagaimanakah orang yang mengasihi prinsip Yehuwa dapat menghindari pengaruh Syaitan? Bagaimanakah mereka dapat membezakan apa yang baik daripada apa yang jahat? ‘Dengan mentaati perintah Tuhan’! (Mzm. 119:9) Firman Tuhan membantu kita membezakan ajaran benar daripada ajaran palsu. (Ams. 23:23) Yesus berkata bahawa manusia harus hidup ‘dengan setiap kata yang difirmankan oleh Tuhan.’ (Mat. 4:4) Kita perlu belajar cara untuk menerapkan prinsip Bible dalam hidup kita. Misalnya, lama sebelum hukum Yehuwa mengenai perzinaan ditulis, Yusuf memahami bahawa perbuatan sedemikian adalah berdosa. Semasa digoda oleh isteri Potifar, Yusuf tidak terfikir untuk melakukan dosa yang akan menyakiti hati Yehuwa. (Baca Kejadian 39:7-9.) Walaupun isteri Potifar berulang kali menggodanya, Yusuf tetap memilih untuk mendengar suara Yehuwa. Maka, untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah, kita harus menutup telinga terhadap ajaran Syaitan dan mendengar suara Yehuwa.

6, 7. Apakah yang harus kita lakukan supaya tidak mendengar suara Syaitan?

6 Di dunia ini, terdapat pelbagai ajaran agama yang mengelirukan sehingga ramai orang berasa mustahil untuk mencari agama yang benar. Namun, jika kita rela mendengar suara Yehuwa, kita akan mengetahui kebenaran. Oleh sebab sangat sukar untuk mendengar dua suara secara serentak, kita harus memilih suara siapa yang kita ingin dengar. Kita harus ‘mengenal suara’ Yesus dan mendengarnya kerana  dialah yang dilantik oleh Yehuwa sebagai gembala kita.—Baca Yohanes 10:3-5.

7 Yesus berkata, “Perhatikanlah apa yang kamu dengar!” (Mrk. 4:24) Nasihat daripada Yehuwa memang jelas dan benar. Tetapi, kita harus mempersiapkan hati kita untuk mendengar dan menerima nasihat-Nya. Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin mendengar suara Syaitan, dan bukannya nasihat Yehuwa. Janganlah benarkan muzik, video, rancangan TV, buku, rakan, guru, atau orang yang dianggap sebagai pakar dalam dunia Syaitan ini untuk mempengaruhi hidup anda.—Kol. 2:8.

8. (a) Bagaimanakah hati kita boleh menjadi sasaran yang mudah bagi Syaitan? (b) Apakah yang boleh berlaku jika kita tidak berwaspada?

8 Syaitan tahu bahawa kita memiliki keinginan yang berdosa. Dia menggoda kita untuk mengikut keinginan itu. Apabila Syaitan menyerang kita dengan cara ini, kita akan berasa sukar untuk mengekalkan kesetiaan kita. (Yoh. 8:44-47) Contohnya, kita mungkin berhenti berdoa, tidak menghadiri perjumpaan dan tidak menyebar secara tetap. Semua ini adalah tanda-tanda bahawa hati kita dalam bahaya. Lama-kelamaan tanpa disedari, kita mungkin berhenti mendengar suara Yehuwa. Akhirnya kita digoda untuk melakukan apa yang tidak sepatutnya kita lakukan. (Rm. 7:15) Tetapi, kita dapat mengelak hal ini daripada berlaku jika kita berwaspada dan bertindak segera untuk membetulkan keinginan yang salah. Jika kita mendengar suara Yehuwa, kita juga tidak akan mendengar ajaran murtad.—Ams. 11:9.

9. Mengapakah penting untuk mengesan kecenderungan untuk berdosa sejak awal lagi?

9 Jika penyakit dikesan pada peringkat awal, kita mempunyai peluang yang baik untuk diselamatkan. Demikian juga, jika kita mengesan kecenderungan untuk berdosa dalam diri sendiri, kita harus bertindak dengan serta-merta sebelum ‘Iblis menawan kita untuk mengikut kehendaknya.’ (2 Tim. 2:26) Apakah yang patut dilakukan jika pemikiran dan keinginan kita bertentangan dengan prinsip-prinsip Yehuwa? Tanpa berlengah-lengah, kita perlu mendengar dan menerima nasihat Yehuwa dengan rendah hati. (Yes. 44:22) Kita harus sedar bahawa sesetengah kesilapan yang kita lakukan boleh meninggalkan luka yang mendalam pada hati kita dan membawa banyak penderitaan. Bukankah lebih baik jika kita mengelak daripada melakukan kesilapan yang besar?

Bagaimanakah tabiat rohani yang baik melindungi kita daripada muslihat Syaitan? (Lihat perenggan 4-9)

 MENGATASI SIFAT ANGKUH DAN TAMAK

10, 11. (a) Apakah ciri-ciri orang yang angkuh? (b) Apakah pengajaran daripada pemberontakan Korah, Datan, dan Abiram?

10 Kita harus sedar bahawa hati kita boleh menyesatkan kita. Contohnya, kita mungkin bersifat angkuh atau tamak. Mari kita lihat bagaimana sifat sebegini boleh menyebabkan kita menjauhi Yehuwa. Seseorang yang angkuh membanggakan diri dan berfikir bahawa dia dapat melakukan apa sahaja yang dia mahu. Dia juga mungkin berasa bahawa orang lain, termasuk penatua, rakan seiman, malah organisasi Yehuwa, tidak layak menasihatinya. Oleh itu, suara Yehuwa semakin perlahan baginya.

11 Semasa di padang gurun, Korah, Datan, dan Abiram telah menentang Musa dan Harun. Semua pemberontak itu bersifat angkuh dan cuba menyembah Yehuwa dengan cara tersendiri. Apakah tindakan Yehuwa? Dia menghapuskan mereka. (Bil. 26:8-10) Hal ini merupakan pengajaran yang penting bagi kita! Sebarang pemberontakan menentang Yehuwa tentu membawa kesudahan yang buruk. Kita perlu ingat bahawa “kesombongan mengakibatkan kemusnahan.”—Ams. 16:18; Yes. 13:11.

12, 13. (a) Berikan contoh tentang bagaimana sifat tamak membawa akibat buruk. (b) Berikan contoh tentang bagaimana ketamakan boleh bertumbuh dalam hati.

12 Fikirkan juga tentang ketamakan. Orang tamak biasanya mengetepikan arahan Yehuwa dan bertindak sesuka hati. Dia juga mungkin berfikir bahawa dia boleh mengambil barang yang bukan miliknya. Selepas Naaman disembuhkan daripada penyakit kusta, dia ingin memberikan hadiah kepada Elisa. Elisa menolak, tetapi Gehazi, pembantunya, bersifat tamak dan menginginkan hadiah tersebut. Gehazi berfikir, ‘Demi Yehuwa yang hidup, aku akan mengejar orang Siria itu dan mendapatkan sesuatu daripadanya.’ Apakah akibatnya? Yehuwa menghukum Gehazi dengan penyakit kusta!—2 Raj. 5:20-27.

13 Jika kita membenarkan sifat tamak untuk bertumbuh dalam hati, kita akan menerima padah. Kisah Akhan menunjukkan hal ini. Dia berkata, ‘Saya [“melihat,” NW] sehelai jubah yang cantik buatan Babilonia, perak seberat hampir dua kilogram, dan sebatang emas yang beratnya lebih daripada setengah kilogram di antara barang-barang jarahan itu. Saya begitu menginginkan barang-barang itu sehingga saya mengambilnya.’ Akhan sepatutnya menolak keinginan yang salah. Sebaliknya dia mencuri barangan yang berharga dengan tamak sekali dan menyembunyikannya dalam khemah. Yehuwa telah mendedahkan perbuatan Akhan kepada orang Israel. Akibatnya, dia dan keluarganya telah direjam hingga mati. (Yos. 7:11, 21, 24, 25) Sesiapa pun boleh menjadi tamak seperti Akhan. Maka kita harus ingat nasihat Bible, “Berjaga-jagalah dan hindarilah semua bentuk ketamakan.” (Luk. 12:15, NW) Keinginan yang tidak bermoral juga salah satu bentuk ketamakan. Jika kita mempunyai pemikiran yang tidak bermoral, kita harus mengawal pemikiran agar kita tidak melakukan dosa.—Baca Yakobus 1:14, 15.

14. Apakah yang harus kita lakukan jika terdapat sifat angkuh atau tamak dalam diri?

14 Sifat angkuh dan tamak boleh membawa akibat buruk. Dengan merenungkan kesan buruk daripada perbuatan salah, kita akan didorong untuk mendengar suara Yehuwa. (Ul. 32:29) Menerusi Bible, Yehuwa memberitahu kita manfaatnya jika kita berbuat betul, dan akibatnya jika kita  berbuat salah. Jika hati kita digoda untuk bertindak dengan angkuh atau tamak, adalah bijak untuk merenungkan kesudahannya. Kita harus berfikir tentang bagaimana perbuatan kita akan mempengaruhi diri sendiri, orang yang tersayang, dan hubungan kita dengan Tuhan.

KEKALKAN KOMUNIKASI YANG BAIK DENGAN YEHUWA

15. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Yesus?

15 Yehuwa inginkan apa yang terbaik untuk kita. (Mzm. 1:1-3) Dia memberikan bimbingan yang kita perlukan tepat pada masanya. (Baca Ibrani 4:16.) Walaupun Yesus sempurna, dia selalu berkomunikasi dengan Bapanya melalui doa. Yehuwa menyokong dan membimbing Yesus dalam pelbagai cara. Dia mengutus malaikat untuk menjaga Yesus, memberikan daya aktif, dan membimbingnya semasa memilih 12 orang rasul. Suara Yehuwa kedengaran dari syurga menyatakan perkenan-Nya terhadap Yesus. (Mat. 3:17; 17:5; Mrk. 1:12, 13; Luk. 6:12, 13; Yoh. 12:28) Seperti Yesus, kita juga perlu mencurahkan isi hati kepada Yehuwa melalui doa. (Mzm. 62:8, 9; Ibr. 5:7) Menerusi doa, kita boleh mengekalkan hubungan yang erat dengan Yehuwa dan hidup dalam cara yang menggembirakan hati-Nya.

16. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita mendengar suara-Nya?

16 Walaupun nasihat Yehuwa mudah didapati, Dia tidak memaksa kita untuk mematuhinya. Kitalah yang perlu meminta daya aktif Yehuwa dan Dia pasti memberinya dengan murah hati. (Baca Lukas 11:10-13.) Amatlah penting untuk ‘memperhatikan apa yang kita dengar.’ (Luk. 8:18) Misalnya, kita mungkin meminta Yehuwa untuk membantu kita mengatasi keinginan yang tidak bermoral. Tetapi, jika kita terus melihat bahan lucah, kita sebenarnya menunjukkan bahawa kita menolak bantuan-Nya. Untuk menerima bantuan Yehuwa, kita harus berada di tempat yang ada daya aktif Tuhan, seperti di perjumpaan Kristian. Banyak penyembah Yehuwa dapat mengelakkan masalah kerana mendengar nasihat-Nya di perjumpaan. Maka, setelah menyedari bahawa hati mereka memiliki kecenderungan yang salah, mereka membetulkannya.—Mzm. 73:12-17; 143:10.

TETAPLAH MENDENGAR SUARA YEHUWA

17. Mengapakah berbahaya untuk bergantung pada diri sendiri?

17 Fikirkan contoh Raja Daud. Semasa muda, Daud bergantung pada Yehuwa dan berjaya mengalahkan gergasi bernama Goliat. Seterusnya, Daud menjadi seorang wira dan raja. Dia bertanggungjawab untuk menjaga dan memimpin bangsa Israel. Tetapi, apabila Daud bergantung pada diri sendiri, dia digoda oleh hatinya yang licik untuk berzina dengan Batsyeba. Bahkan dia merancang untuk membunuh suami Batsyeba, Uria. Namun, apabila diberikan disiplin, Daud mengaku bersalah dan bertaubat dengan rendah hati. Dia kembali kepada Yehuwa dan menjadi sahabat-Nya semula.—Mzm. 51:6, 8, 12, 13.

18. Apakah yang boleh membantu kita untuk selalu mendengar suara Yehuwa?

18 Marilah kita mengendahkan nasihat di 1 Korintus 10:12 untuk tidak terlalu yakin kepada diri sendiri. Bible juga berkata, “Tiada seorang pun dapat mengendalikan jalan hidupnya.” (Yer. 10:23) Jadi, kita perlu memilih sama ada untuk mendengar suara Yehuwa atau Syaitan. Semoga kita sentiasa berdoa, mengikut bimbingan daya aktif Tuhan, dan selalu mendengar suara Yehuwa!