Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Rela Berkhidmat—Di Micronesia

Mereka Rela Berkhidmat—Di Micronesia

KATHERINE membesar di Amerika Syarikat dan dibaptis pada umur 16 tahun. Dia suka menginjil tetapi tidak ramai orang di kawasannya sudi menerima berita baik. Maka dia berkata, “Saya pernah membaca pengalaman tentang orang yang berdoa agar Tuhan menghantar seseorang untuk membantu mereka mengenali-Nya. Saya pun berharap untuk menemui orang sebegitu, tetapi hal ini tidak terjadi.”

Selepas menginjil selama bertahun-tahun di sana, Katherine berfikir untuk berpindah ke tempat lain di mana orang lebih berminat terhadap kebenaran. Tetapi dia tidak pasti jika dia dapat melakukannya. Dia pernah meninggalkan keluarganya selama dua minggu dan dia merindui mereka setiap hari. Namun, keinginan untuk berpindah ke tempat lain menjadi semakin kuat. Selepas berfikir tentang beberapa tempat, dia menulis kepada pejabat cawangan di Guam dan menerima maklumat yang diperlukan. Pada Julai 2007, semasa berumur 26 tahun, dia berpindah ke pulau Saipan di Lautan Pasifik, kira-kira 10,000 km dari rumahnya. Apakah hasilnya?

DUA DOA DIJAWAB

Tidak lama selepas tiba di sidang baru, Katherine bertemu dengan Doris, seorang wanita berumur pertengahan 40-an yang sudi belajar Bible dengannya. Setelah membincangkan tiga bab yang pertama dalam buku Ajaran Bible, Katherine mula risau. Katanya, “Doris ialah pelajar yang baik dan saya tidak ingin membuat kesilapan. Saya tidak pernah mengendalikan pembelajaran Bible secara tetap dan saya berasa bahawa Doris memerlukan seseorang yang lebih berpengalaman, mungkin yang sebaya dengannya.” Katherine berdoa meminta bantuan Yehuwa untuk mencari seorang saudari yang dapat mengadakan pembelajaran Bible dengan Doris. Kemudian dia bercadang untuk memberitahu Doris tentang perubahan ini.

Katherine berkata, “Sebelum saya dapat memberitahu Doris, dia berkata bahawa dia ada satu masalah. Selepas mendengar masalahnya, saya memberitahu cara Yehuwa membantu saya mengatasi masalah yang serupa. Doris menghargai bantuan saya.” Kemudian Doris memberitahu Katherine, “Yehuwa menggunakan kamu untuk membantu saya. Pertama kali kamu datang, saya sedang membaca Bible selama berjam-jam. Saya menangis dan meminta Tuhan agar menghantar  seseorang untuk membantu saya memahami Bible. Kemudian kamu pula ketuk pintu. Yehuwa telah menjawab doa saya!” Semasa Katherine menceritakan pengalaman ini, air matanya mengalir. Dia berkata, “Kata-kata Doris ialah jawapan kepada doa saya. Yehuwa menunjukkan bahawa saya dapat meneruskan pembelajaran tersebut.”

Doris dibaptis pada 2010. Kini, dia mengendalikan beberapa pembelajaran Bible. Katherine berkata, “Saya sangat gembira kerana matlamat saya untuk membantu seseorang menjadi penyembah Yehuwa sudah tercapai!” Hari ini, Katherine berkhidmat sebagai perintis khas di pulau Kosrae.

TIGA CABARAN—CARA MENGATASINYA

Lebih daripada seratus saudara saudari dari pelbagai negara (berumur 19 hingga 79 tahun) telah berkhidmat di Micronesia. Erica, yang berpindah ke Guam pada 2006 semasa berumur 19 tahun meluahkan perasaan para penyebar yang bersemangat ini. Dia berkata, “Menginjil kepada orang yang haus akan kebenaran amat menyeronokkan. Saya bersyukur kerana Yehuwa membantu saya untuk merintis di sini. Inilah kehidupan terbaik!” Hari ini, Erica merupakan perintis khas di pulau Ebeye. Sudah tentu, berkhidmat di negara lain ada cabarannya. Mari kita lihat tiga cabaran dan cara mereka yang berkhidmat di Micronesia mengatasinya.

Erica

Gaya hidup. Simon yang berumur 22 tahun berpindah ke pulau Palau pada 2007. Namun, gajinya di sana hanya sedikit berbanding gajinya di negara asal, England. Dia berkata, “Saya belajar untuk tidak membeli apa sahaja yang saya mahu. Semasa membeli makanan, saya memilih dengan bijak dan mencari tawaran yang baik. Jika sesuatu rosak, saya mencari alat ganti terpakai dan mencari orang yang dapat membaikinya.” Apakah kesimpulan Simon? Dia berkata, “Saya sedar bahawa saya tidak memerlukan banyak benda dan saya dapat hidup walaupun tidak mempunyai banyak wang. Saya merasai bantuan Yehuwa banyak kali. Selama tujuh tahun berkhidmat di sini, saya selalu mempunyai makanan dan tempat tinggal.” Sememangnya, Yehuwa menyokong mereka yang menyederhanakan hidup demi kepentingan Kerajaan-Nya.—Mat. 6:32, 33.

Perasaan rindu. Erica berkata, “Saya amat rapat dengan keluarga dan risau bahawa perasaan rindu akan menjejaskan kerja penyebaran saya.” Apakah yang dia lakukan? “Sebelum pindah, saya membaca rencana dalam majalah Watchtower tentang topik merindui kampung halaman. Hal ini membuat saya lebih bersedia untuk menghadapi cabaran ini. Dalam sebuah rencana, seorang ibu meyakinkan anaknya mengenai jagaan Yehuwa dengan berkata, ‘Yehuwa dapat menjaga kamu lebih baik daripada saya menjaga kamu.’  Kata-kata itu menggalakkan saya.” Hannah dan suaminya, Patrick, berkhidmat di pulau Majuro. Hannah mengatasi perasaan rindu dengan meluangkan masa dengan saudara saudari di sidang. Dia berkata, “Saya sentiasa bersyukur kepada Yehuwa kerana memberikan persaudaraan sedunia. Mereka merupakan keluarga saya. Tanpa sokongan dan kasih mereka, saya pasti tidak mampu untuk berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan.”

Simon

Mencari Kawan. Simon berkata, “Apabila kita berada di negara lain, hampir semuanya berbeza. Kadangkala jenaka saya tidak difahami oleh orang lain.” Erica berkata, “Pada mulanya, saya berasa tersisih, tetapi perasaan itu membantu saya ingat motif saya berpindah. Saya berpindah bukan untuk kepentingan diri tetapi demi Yehuwa.” Dia menambah, “Tidak lama kemudian, saya mempunyai ramai sahabat yang dikasihi.” Simon rajin belajar bahasa Palau, dan hal ini mengeratkan hubungannya dengan saudara saudari tempatan. (2 Kor. 6:13) Oleh itu, dia disayangi saudara saudari. Ya, apabila mereka yang baru berpindah bekerjasama dengan saudara saudari tempatan, mereka semua akan menikmati persahabatan yang erat. Apakah berkat lain yang diraih oleh mereka yang rela berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan?

“MENDAPAT TUAIAN YANG BANYAK”

Rasul Paulus berkata, “Orang yang menanam banyak benih, akan mendapat tuaian yang banyak.” (2 Kor. 9:6) Hal ini memang benar jika seseorang ingin meningkatkan kerja penyebarannya. Apakah “tuaian” yang diraih di Micronesia?

Patrick dan Hannah

Di sana, terdapat banyak peluang untuk mencari pelajar Bible dan melihat cara mereka menerapkan ajaran Bible serta membuat kemajuan rohani. Patrick dan Hannah juga pernah berkhidmat di pulau Angaur yang mempunyai 320 orang penduduk. Selepas dua bulan di sana, mereka bertemu dengan seorang ibu tunggal. Dia segera menerima kebenaran dan membuat perubahan besar dalam hidupnya. Hannah berkata bahawa setiap kali mereka belajar dengannya, mereka sangat berterima kasih kepada Yehuwa. Mereka tahu bahawa lambat-laun wanita itu akan dibimbing kepada Yehuwa. Namun oleh sebab mereka berkhidmat di sana, merekalah yang berpeluang untuk membantunya. Hannah berkata, “Hal ini merupakan salah satu pengalaman yang terbaik dalam kehidupan kami!” Erica berkata, “Apabila kita membantu orang lain mengenali Yehuwa, kita meraih sukacita yang tak terhingga!”

BAGAIMANA PULA DENGAN ANDA?

Terdapat banyak tempat yang memerlukan bantuan penyiar. Dapatkah anda berpindah ke sana? Mintalah agar Yehuwa menguatkan niat anda untuk meningkatkan kerja penyebaran. Bincanglah dengan para penatua, penyelia litar, atau dengan orang yang pernah berkhidmat di tempat lain. Apabila anda mula membuat perancangan untuk berpindah ke sesuatu tempat, tulislah surat kepada pejabat cawangan yang mengawasi tempat itu untuk meminta maklumat lanjut. * Mungkin anda juga boleh menyertai ribuan saudara saudari, tua dan muda, bujang atau yang sudah berkahwin, untuk merasai sukacita daripada “tuaian yang banyak.”

^ per. 17 Lihat rencana “Bolehkah Anda ‘Datang ke Makedonia’?” dalam Kerja Teokratik Kita terbitan Ogos 2011.