Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menjaga Mereka yang Sudah Tua

Menjaga Mereka yang Sudah Tua

“Anak-anakku! Janganlah kita mengasihi hanya dengan kata-kata belaka. Kita harus saling mengasihi dengan kasih yang sejati, yang dibuktikan dengan perbuatan.”1 YOH. 3:18, ABB.

1, 2. (a) Apakah cabaran yang dihadapi banyak keluarga, dan apakah soalan yang selalu ditanya? (b) Bagaimanakah ibu bapa dan anak-anak dapat menangani masalah ini?

MEMANG menyedihkan apabila melihat ibu bapa kita yang dahulunya kuat dan berdikari, kini tidak mampu menjaga diri sendiri. Mereka mungkin terjatuh lalu patah tulang, menjadi keliru dan sesat, atau menghidap penyakit yang serius. Orang tua juga mungkin berasa susah untuk menerima hakikat bahawa mereka tidak lagi dapat berdikari kerana kesihatan yang merosot. (Ayb. 14:1) Apakah yang boleh kita lakukan? Bagaimanakah mereka dapat dijaga?

2 Sebuah rencana tentang penjagaan orang tua menyatakan bahawa usia tua bukan suatu topik yang senang dibincangkan. Namun, keluarga yang membuat perancangan awal dapat menangani masalah yang timbul pada kemudian hari dengan lebih baik. Kita perlu sedar bahawa masalah usia tua tidak dapat dielakkan. Oleh itu, adalah baik bagi keluarga untuk bersedia dahulu. Mari kita bincangkan bagaimana ahli keluarga dapat bekerjasama untuk menghadapi masalah ini.

MERANCANG UNTUK “MASA SENGSARA”

3. Apakah yang dapat dilakukan oleh keluarga apabila ibu bapa tidak lagi mampu menjaga diri? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Apabila orang tua tidak lagi mampu menjaga diri sendiri, mereka memerlukan bantuan. (Baca Pengkhutbah 12:1-7.) Oleh itu, ibu bapa dan anak harus berbincang bersama tentang cara penjagaan yang terbaik mengikut kemampuan mereka. Bincangkan bantuan yang diperlukan, cara untuk membantu, dan bagaimana semua ahli keluarga dapat bekerjasama. Semua yang terlibat, terutamanya ibu bapa, perlu bercakap secara terbuka dan berpandangan realistik. Misalnya, mereka boleh bertanya, “Adakah ibu bapa masih dapat tinggal bersendirian dengan selamat atau tidak?” * Mereka juga dapat bercakap tentang apa yang dapat dilakukan oleh setiap ahli keluarga untuk menjaga ibu bapa. (Ams. 24:6) Misalnya, ada yang dapat memberikan bantuan harian, manakala yang lain pula dapat menyediakan bantuan kewangan. Semua orang harus tahu peranan masing-masing. Namun, dengan peredaran masa, peranan ini mungkin berubah atau ahli keluarga perlu bergilir-gilir menjaga ibu bapa.

4. Bagaimanakah ahli keluarga dapat mencari bantuan?

4 Semasa anda baru mula menjaga ibu bapa yang lanjut usia, belajarlah sebanyak yang boleh tentang keadaan mereka. Jika ibu bapa menghidap penyakit yang akan menjadi semakin teruk, ketahuilah apa yang bakal berlaku. (Ams. 1:5) Sila hubungi agensi kerajaan untuk mengetahui perkhidmatan yang tersedia bagi warga emas. Ketahuilah tentang program kebajikan yang dapat meringankan beban anda dan dapat membantu anda memberikan penjagaan yang lebih baik. Cabaran yang dihadapi mungkin mempengaruhi emosi anda sehingga anda berasa amat sedih, terkejut, atau keliru. Pada masa itu, luahkanlah perasaan anda kepada seorang kawan yang boleh dipercayai. Yang penting sekali, luahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa kerana Dia dapat memberikan ketenangan jiwa yang membantu anda menangani apa sahaja cabaran.Mzm. 55:23; Ams. 24:10; Flp. 4:6, 7.

5. Mengapakah baik untuk mengumpulkan maklumat tentang penjagaan orang tua dari awal lagi?

5 Terdapat keluarga yang sudah mengumpul maklumat tentang cara untuk menjaga ibu bapa yang lanjut usia dari awal lagi. Contohnya, mereka dapat mengetahui sama ada lebih baik bagi ibu bapa untuk tinggal bersama seorang anak, tinggal di pusat penjagaan orang tua, atau pilihan lain. Dengan ini, ahli keluarga bersedia untuk menghadapi “kekhuatiran dan kesusahan” yang akan berlaku. (Mzm. 90:10) Keluarga yang tidak berbuat demikian mungkin perlu membuat keputusan secara tergesa-gesa apabila masalah timbul. Menurut seorang pakar, “Inilah masa yang paling buruk untuk membuat keputusan.” Apabila ahli keluarga membuat keputusan terburu-buru, mereka akan berasa tertekan dan perselisihan faham akan berlaku. Namun, jika kita membuat perancangan awal, cabaran pada masa depan dapat ditangani dengan mudah.Ams. 20:18.

Keluarga dapat bertemu untuk berbincang tentang cara menjaga ibu bapa (Lihat perenggan 6-8)

6. Mengapakah berfaedah bagi ibu bapa dan anak-anak untuk berbincang dan membuat perancangan awal?

6 Untuk membantu ibu bapa yang tua, anda mungkin perlu membuat perubahan dalam rumah atau berpindah rumah. Anda mungkin berasa tidak selesa untuk bercakap tentang hal ini kepada mereka. Namun, ramai setuju bahawa dengan berbincang bersama, mereka akan bersenang pada kemudian hari. Mengapa? Kerana lebih senang untuk berbincang dan mendengar dengan hormat sebelum masalah itu timbul. Mereka boleh merancang dalam keadaan yang tenang dan penuh kasih. Orang yang lanjut usia mungkin ingin berdikari selama yang boleh. Namun, dengan berbincang bersama ibu bapa, anda dapat mengetahui pilihan mereka. Hal ini membantu anda membuat keputusan bagi mereka pada masa depan.

7, 8. Apakah topik-topik yang harus dibincangkan oleh keluarga, dan mengapa?

7 Ibu bapa, semasa berbincang dengan anak, beritahulah keinginan anda, kemampuan kewangan anda, dan pilihan anda kepada mereka. Hal ini akan membantu anak untuk membuat keputusan mengikut kehendak anda apabila anda tidak mampu membuat keputusan sendiri. Pastinya mereka ingin membuat keputusan yang selaras dengan kehendak anda supaya anda masih dapat berdikari. (Ef. 6:2-4) Contohnya, adakah anda mahu tinggal bersama salah se­orang daripada anak anda? Atau adakah anda inginkan perkara yang lain? Ingatlah bahawa semua ahli keluarga mempunyai pandangan yang berbeza. Mereka mungkin memerlukan masa untuk menerima pandangan anda.

8 Jika kita merancang dan berbincang bersama, masalah dapat dielakkan. (Ams. 15:22) Perbincangan tersebut patut merangkumi kaedah rawatan yang dikehendaki. Isi-isi dalam Kad Arahan Penjagaan Kesihatan yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa boleh dibincangkan bersama. Semua orang harus tahu tentang kaedah rawatan yang ditawarkan dan berhak untuk menerima atau menolak rawatan tersebut. Kad Arahan Penjagaan Kesihatan dapat menunjukkan pilihan seseorang. Anda boleh melantik seorang wakil yang dapat dipercayai untuk memastikan bahawa kehendak anda dilaksanakan jika anda sendiri tidak dapat berbuat demikian. Semua yang terlibat harus memiliki dokumen-dokumen ini. Ada yang menyimpan dokumen sebegini bersama wasiat, dokumen kewangan, insurans, atau dokumen penting yang lain.

MENGHADAPI SITUASI YANG BERUBAH

9, 10. Bilakah ibu bapa memerlukan lebih banyak pertolongan daripada anak?

9 Biasanya, ibu bapa dan anak ingin membuat keputusan yang membenarkan ibu bapa untuk terus berdikari. Selagi mereka dapat memasak, membersihkan rumah, memakan ubat, dan berkomunikasi, anak-anak tidak perlu terlalu melibatkan diri dalam aktiviti harian ibu bapa. Namun, seraya masa berlalu, ibu bapa mungkin tidak berupaya untuk membeli-belah, atau menghadapi masalah ingatan. Kalau begitu, anak-anak perlu membantu mereka.

10 Orang yang semakin tua mungkin mudah berasa keliru, murung, cepat lupa, menghadapi masalah pendengaran dan penglihatan, serta masalah menggunakan tandas. Masalah kesihatan sebegini mungkin boleh dirawat, maka jumpalah doktor secepat yang mungkin. Anak-anak mungkin perlu mengambil inisiatif dalam hal ini. Lambat-laun, anak-anak mungkin perlu membantu menetapkan temu janji doktor dan membuat keputusan lain yang berkaitan dengan hal-hal peribadi ibu bapa. Oleh itu, anak yang menjaga ibu bapa bertindak sebagai juru cakap, setiausaha, pemandu, dan sebagainya bagi mereka.Ams. 3:27.

11. Apakah yang dapat dilakukan supaya ibu bapa mudah menyesuaikan diri?

11 Jika masalah kesihatan ibu bapa anda tidak dapat diubati, anda mungkin perlu membuat perubahan dari segi penjagaan dan aturan tempat tinggal. Jika perubahan yang dibuat adalah kecil, lebih mudah bagi mereka untuk menyesuaikan diri. Jika anda tinggal jauh daripada ibu bapa, seorang rakan seiman atau jiran dapat membantu melawat ibu bapa anda lalu memberitahu anda tentang keadaan mereka. Adakah mereka memerlukan bantuan untuk memasak dan membersihkan rumah? Adakah sedikit perubahan di rumah dapat memudahkan mereka untuk bergerak, mandi, dan sebagainya? Mungkin ibu bapa yang tua hanya memerlukan seorang pembantu yang datang dari semasa ke semasa. Namun, jika ibu bapa tidak selamat tinggal bersendirian, seorang penjaga yang tetap diperlukan. Selain itu, ketahuilah tentang perkhidmatan yang disediakan di kawasan mereka. *Baca Amsal 21:5.

CARA SESETENGAH ORANG MENGHADAPI CABARAN

12, 13. Bagaimanakah anak-anak dewasa yang tinggal jauh daripada ibu bapa dapat terus menunjukkan hormat dan menjaga mereka?

12 Sebagai anak, kita mengasihi ibu bapa dan ingin mereka berasa selesa. Kita senang hati jika ibu bapa dapat diberikan penjagaan yang baik. Namun, banyak anak tinggal jauh daripada ibu bapa. Ada yang menggunakan masa cuti untuk melawat ibu bapa untuk menjaga keperluan mereka dan membantu mereka dengan kerja rumah. Anak-anak boleh menunjukkan kasih dengan selalu menelefon ibu bapa, menulis surat, dan menghantar e-mel atau SMS.Ams. 23:24, 25.

13 Walaupun anda tinggal jauh daripada ibu bapa, anda masih perlu membuat keputusan tentang cara untuk menjaga mereka setiap hari. Jika ibu bapa anda ialah Saksi, anda boleh meminta nasihat daripada para penatua di sidang mereka. Yang terpenting, berdoalah kepada Yehuwa. (Baca Amsal 11:14.) Walaupun ibu bapa anda bukan Saksi, anda masih perlu menghormati mereka. (Kel. 20:12; Ams. 23:22) Hakikatnya, bukan semua keluarga akan membuat keputusan yang sama. Terdapat keluarga yang memutuskan supaya ibu bapa tinggal bersama mereka atau berpindah lebih dekat dengan mereka. Namun, perkara ini tidak selalunya terjadi. Sesetengah ibu bapa tidak ingin tinggal bersama anak-anak mereka. Ibu bapa mungkin lebih suka hidup berdikari dan tidak mahu membebankan anak-anak. Bagi ibu bapa yang berkemampuan, mereka mungkin memilih untuk membayar kos penjagaan di rumah sendiri.Pkh. 7:12.

14. Apakah masalah yang mungkin dihadapi oleh anak yang menjaga orang tua?

14 Bagi kebanyakan keluarga, ibu bapa biasanya akan dijaga oleh anak yang tinggal berdekatan dengan mereka. Namun, anak yang menjadi penjaga ibu bapa harus seimbang dan tidak mengabaikan tanggungjawab keluarganya sendiri. Tenaga dan masa setiap orang adalah terhad. Jika situasi penjaga berubah, aturan penjagaan ibu bapa juga mungkin perlu diubah. Adakah seorang ahli keluarga memiliki terlalu banyak tanggungjawab? Dapatkah anak yang lain membantu menjaga ibu bapa secara bergilir-gilir?

15. Bagaimanakah penjaga dapat mengelak daripada menjadi sangat letih?

15 Jika ibu bapa perlu dijaga setiap masa, ada kemungkinan orang yang menjaga mereka menjadi sangat letih. (Pkh. 4:6) Anak sememangnya ingin memberikan penjagaan terbaik, tetapi ada kalanya tanggungjawab ini menjadi beban yang amat berat. Para penjaga harus bersikap seimbang. Dari masa ke masa, mereka boleh meminta bantuan orang lain. Dengan bantuan sebegini, ibu bapa dapat dijaga dan tidak perlu dihantar ke pusat penjagaan.

16, 17. Apakah cabaran yang dihadapi anak ketika menjaga ibu bapa yang tua? Bagaimanakah mereka dapat menghadapinya? (Lihat kotak “Menghargai Ibu Bapa.”)

16 Kita berasa pilu apabila melihat kesan usia tua terhadap ibu bapa kita. Ramai penjaga mungkin mengalami perasaan sedih, khuatir, marah, bersalah, atau geram. Ada kalanya, ibu bapa yang tua tidak menunjukkan penghargaan atau melemparkan kata-kata yang kasar. Jika hal ini terjadi, janganlah tersinggung. Seorang pakar kesihatan mental berkata bahawa jika anda berasa geram, jangan menafikannya. Anda tidak perlu berasa bersalah kerana mempunyai perasaan sebegini. Luahkan perasaan anda kepada suami atau isteri, ahli keluarga lain, atau seorang sahabat yang dapat dipercayai. Perbualan sebegini dapat membantu anda menjaga kesejahteraan emosi anda.

17 Apabila ahli keluarga tidak lagi mampu menjaga ibu bapa di rumah, mereka mungkin perlu menghantar ibu bapa yang tersayang ke pusat penjagaan. Seorang saudari melawat ibunya di pusat penjagaan hampir setiap hari. Dia berkata, “Ibu memerlukan penjagaan 24 jam sehari, dan kami tidak mampu memberikan penjagaan sedemikian. Jadi kami terpaksa membawanya ke pusat penjagaan. Keputusan itu memang tidak senang. Namun, itulah keputusan yang terbaik bagi bulan-bulan terakhirnya, dan dia pun setuju.”

18. Apakah yang boleh diyakini oleh mereka yang menjaga orang tua?

18 Tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa yang tua boleh menjadi sesuatu yang membebankan dan dapat mempengaruhi emosi. Namun, setiap keluarga boleh mencari jalan penyelesaian masing-masing. Jika anda merancang dengan baik, bekerjasama dengan keluarga, berkomunikasi dengan baik, dan terpenting sekali, berdoa kepada Yehuwa, anda akan dapat menjalankan tanggungjawab untuk menghormati ibu bapa yang tersayang. Anda boleh yakin dan bangga kerana anda memberikan jagaan yang mereka perlukan. (Baca 1 Korintus 13:4-8.) Dengan itu, anda boleh pasti bahawa Yehuwa memberkati anda dengan kesejahteraan.Flp. 4:7.

^ per. 3 Dalam budaya tertentu, ibu bapa biasanya memilih untuk tinggal bersama anak mereka.

^ per. 11 Jika ibu bapa anda masih tinggal di rumah, pastikan seorang penjaga yang dapat dipercayai memiliki kunci untuk memasuki rumah mereka sekiranya berlaku kecemasan.