Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menyembah Yehuwa, Raja yang Kekal

Menyembah Yehuwa, Raja yang Kekal

Raja yang kekal . . . dihormati serta dimuliakan selama-lamanya!”—1 TIM. 1:17.

1, 2. (a) Siapakah “Raja yang kekal,” dan mengapakah gelaran ini sesuai? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah yang membuat kita tertarik kepada cara Yehuwa memerintah?

RAJA SOBHUZA II telah memerintah Swaziland selama hampir 61 tahun. Hal ini amat mengagumkan kerana dia memerintah untuk waktu yang lama. Namun, terdapat raja yang dapat memerintah selama-lamanya. Bible berkata bahawa Dia ialah “Raja yang kekal.” (1 Tim. 1:17) Seorang pemazmur menyebut nama raja ini dengan berkata, ‘Yehuwa memerintah sebagai Raja selama-lamanya.’—Mzm. 29:10.

2 Jangka masa pemerintahan Yehuwa berbeza dengan pemerintahan manusia. Namun, kita semua tertarik dengan cara Dia memerintah. Seorang raja yang memerintah Israel selama 40 tahun memuji Tuhan dengan berkata, ‘Yehuwa pengasih dan penyayang, panjang sabar, dan penuh dengan kasih. Yehuwa membina takhta-Nya di syurga; Dia raja yang menguasai semuanya.’ (Mzm. 103:8, 19, ABB) Yehuwa bukan sahaja Raja kita, malah Dia merupakan Bapa kita yang penyayang di syurga. Bagaimanakah Yehuwa membuktikan diri sebagai Bapa? Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia masih Raja yang berkuasa sejak pemberontakan di Taman Eden? Jawapan kepada soalan-soalan ini akan mendekatkan kita kepada Yehuwa  dan mendorong kita untuk menyembah-Nya dengan sepenuh hati.

RAJA KEKAL MENCIPTA KELUARGA BESAR

3. Siapakah ahli keluarga Yehuwa yang pertama? Keluarga Yehuwa yang besar merangkumi siapa?

3 Betapa bangganya Yehuwa apabila menciptakan anak tunggal-Nya! Tuhan tidak merendahkan anak tunggal-Nya, tetapi mengasihi dan menjemput dia untuk menciptakan makhluk sempurna yang lain. (Kol. 1:15-17) Antaranya ialah jutaan malaikat yang “melakukan kehendak-Nya” dengan sukacita. “Makhluk-makhluk syurga” ini merupakan sebahagian daripada keluarga Yehuwa yang besar.—Mzm. 103:20-22; Ayb. 38:7.

4. Bagaimanakah manusia menjadi sebahagian daripada keluarga Yehuwa yang besar?

4 Setelah menciptakan langit dan menjadikan bumi sebagai tempat tinggal yang indah, Yehuwa menambah ahli keluarga-Nya. Dia menciptakan manusia pertama, Adam, mengikut imej-Nya. (Kej. 1:26-28) Sebagai Bapa, Yehuwa memberikan semua perintah dengan baik hati dan pengasih. Sebagai Pencipta, Yehuwa mengharapkan Adam untuk mematuhi-Nya. Dia tidak memberikan peraturan yang terlalu ketat sehingga membatasi kebebasan Adam.—Baca Kejadian 2:15-17.

5. Apakah aturan Tuhan untuk memenuhi bumi dengan manusia?

5 Tidak seperti raja-raja di bumi, Yehuwa memperlakukan ciptaan-Nya seperti ahli keluarga yang boleh dipercayai dan memberikan mereka tanggungjawab. Misalnya, Dia memberi Adam tugasan yang menyeronokkan dan memuaskan, iaitu untuk menamakan semua binatang. (Kej. 1:26; 2:19, 20) Tuhan tidak mencipta setiap manusia. Sebaliknya, Dia mencipta pelengkap bagi Adam, iaitu Hawa. (Kej. 2:21, 22) Dia memberi mereka peluang untuk beranak cucu dan memenuhi bumi. Dalam keadaan yang sempurna, manusia mampu menjadikan seluruh bumi sebuah firdaus. Jika demikian, umat manusia dapat menyembah Yehuwa selama-lamanya bersama para malaikat di syurga dan membentuk sebuah keluarga yang besar. Betapa menakjubkan harapan ini! Sememangnya, Yehuwa ialah Bapa yang pengasih!

MANUSIA MENOLAK TUHAN SEBAGAI RAJA

6. (a) Bagaimanakah pemberontakan berlaku di dalam keluarga Tuhan? (b) Mengapakah pemberontakan itu tidak bermaksud bahawa Yehuwa tidak lagi berkuasa?

6 Sedihnya, Adam dan Hawa tidak rela menerima Yehuwa sebagai Pemerintah Yang Berdaulat. Sebaliknya mereka mengikut Syaitan, malaikat yang memberontak menentang Tuhan. (Kej. 3:1-6) Akibatnya mereka merana, menghadapi kesusahan, dan membawa kematian kepada seluruh umat manusia. (Kej. 3:16-19; Rm. 5:12) Maka, tiada lagi individu di bumi yang taat kepada Tuhan. Adakah hal ini bermaksud Yehuwa tidak lagi berkuasa dan bukan lagi Pemerintah Yang Berdaulat? Tidak! Dia mengusir Adam dan Hawa dari Taman Eden, dan menempatkan kerub untuk mengawal jalan masuk ke taman itu. (Kej. 3:23, 24) Pada masa yang sama, Yehuwa membuktikan bahawa Dia ialah Bapa yang penyayang dengan berjanji untuk memenuhi tujuan asal-Nya, iaitu menyatukan manusia dan malaikat dalam sebuah keluarga yang besar. Dia berjanji bahawa salah satu ‘keturunan’ Adam akan memusnahkan Syaitan dan memansuhkan segala keburukan yang dibawa Syaitan.—Baca Kejadian 3:15.

7, 8. (a) Apakah keadaan di bumi pada zaman Nuh? (b) Apakah yang dilakukan Yehuwa untuk membersihkan bumi dan melindungi umat manusia?

7 Sepanjang ratusan tahun yang seterusnya,  ada beberapa orang yang setia kepada Tuhan seperti Habel, dan Henokh. Namun kebanyakan manusia tidak menerima Yehuwa sebagai Bapa dan Raja. Pada zaman Nuh, “kekejaman terdapat di mana-mana.” (Kej. 6:11) Adakah hal ini bermaksud bahawa Yehuwa tidak dapat mengawal keadaan di bumi lagi? Apakah yang dikatakan dalam Bible?

8 Perhatikanlah kisah Nuh. Yehuwa memberinya arahan yang terperinci mengenai cara membina sebuah bahtera yang akan menyelamatkan dia dan keluarganya. Tuhan juga menunjukkan bahawa Dia masih menyayangi umat manusia dengan menyuruh ‘Nuh mengisytiharkan cara hidup yang dikehendaki Tuhan’ kepada mereka. (2 Ptr. 2:5) Sudah tentu Nuh menggalakkan orang untuk bertaubat dan memberikan amaran tentang pembinasaan yang akan tiba. Namun kebanyakan orang tidak mengendahkannya. Selama puluhan tahun, Nuh dan keluarganya hidup di bumi yang ganas dan tidak bermoral. Selaku Bapa penyayang, Yehuwa melindungi lapan individu ini. Dengan membawa Banjir besar, Yehuwa menyingkirkan manusia dan malaikat jahat dari bumi. Hal ini menunjukkan bahawa Dia masih berkuasa.—Kej. 7:17-24.

Yehuwa sentiasa berkuasa sebagai Raja (Lihat perenggan 6, 8, 10, 12, 17)

PEMERINTAHAN YEHUWA SELEPAS BANJIR

9. Apakah peluang yang diberikan Yehuwa kepada manusia selepas Banjir?

9 Selepas Nuh dan keluarganya keluar dari bahtera dan melangkah ke atas bumi yang telah dibersihkan serta menghirup udara yang segar, mereka berasa sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana menjaga dan melindungi mereka. Dengan serta merta, Nuh membina sebuah mazbah lalu mempersembahkan korban kepada Yehuwa. Tuhan memberkati keluarga Nuh dan memerintah mereka untuk ‘mempunyai anak cucu yang banyak supaya keturunan mereka mendiami seluruh bumi.’ (Kej. 8:20–9:1) Sekali lagi, umat manusia berpeluang menyembah Yehuwa dan memenuhi bumi.

10. (a) Selepas Banjir, di manakah dan bagaimanakah umat manusia mula memberontak menentang Yehuwa? (b) Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa supaya kehendak-Nya terlaksana?

10 Namun, manusia masih berdosa selepas Banjir. Manusia masih menghadapi pengaruh Syaitan dan roh-roh jahat yang tidak kelihatan. Tidak lama kemudian, manusia mula memberontak menentang Yehuwa. Contohnya Nimrod, cicit Nuh, digelar sebagai ‘seorang pemburu ulung’ yang menentang Yehuwa. Dia membina kota-kota besar, seperti Babel, dan menjadikan dirinya raja “di Babilonia.” (Kej. 10:8-12) Apakah yang akan dilakukan Yehuwa terhadap Nimrod yang enggan menurut perintah-Nya untuk “menduduki seluruh muka bumi”? Tuhan mengelirukan bahasa pengikut Nimrod sehingga mereka semua ‘tercerai-berai ke seluruh bumi.’ Mereka juga membawa bersama ibadat palsu dan corak pemerintahan manusia dengan mereka.—Kej. 11:1-9.

11. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kesetiaan kepada sabahat-Nya, Abraham?

11 Walaupun banyak orang menyembah tuhan-tuhan palsu selepas Banjir, terdapat beberapa orang yang setia menyembah Yehuwa. Salah seorang ialah Abraham. Dia patuh kepada Yehuwa dengan meninggalkan halaman rumahnya yang selesa dan tinggal dalam khemah untuk masa yang lama. (Kej. 11:31; Ibr. 11:8, 9) Oleh sebab Abraham berpindah-randah, dia dikelilingi oleh raja-raja manusia yang tinggal dalam kota bertembok. Seperti seorang bapa, Yehuwa melindungi keluarga Abraham. ‘Tuhan tidak membiarkan sesiapa pun menindas mereka; kerana mereka,  Dia memberikan amaran kepada raja-raja,’ kata seorang pemazmur. (Mzm. 105:13, 14) Oleh sebab Yehuwa setia kepada sahabat-Nya, Dia berjanji kepada Abraham bahawa ‘ada antara keturunannya yang akan menjadi raja.’—Kej. 17:6; Yak. 2:23.

12. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kuasa-Nya ke atas Mesir, dan apakah reaksi umat-Nya?

12 Tuhan berjanji kepada anak Abraham, Ishak, dan cucu Abraham, Yakub, bahawa ada antara keturunan mereka yang akan menjadi raja. (Kej. 26:3-5; 35:11) Tetapi, keturunan Yakub telah menjadi hamba di Mesir. Adakah hal ini bermaksud Yehuwa tidak akan menunaikan janji-Nya atau Dia tidak lagi berkuasa ke atas bumi? Tidak! Yehuwa kemudiannya membuktikan bahawa Dia jauh lebih berkuasa daripada Firaun yang degil. Bangsa Israel menaruh kepercayaan kepada Yehuwa. Maka, Dia membebaskan mereka dengan cara yang menakjubkan melalui Laut Merah. Jelaslah, Yehuwa masih berkuasa, dan seperti seorang Bapa yang pengasih, Dia menggunakan kuasa-Nya untuk melindungi umat-Nya.—Baca Keluaran 14:13, 14.

YEHUWA MENJADI RAJA ISRAEL

13, 14. (a) Dalam sebuah lagu, apakah yang dinyanyikan oleh bangsa Israel mengenai Yehuwa? (b) Apakah janji Tuhan kepada Daud?

13 Sejurus selepas mereka dibebaskan secara mukjizat dari Mesir, orang Israel menyanyikan lagu kemenangan untuk memuji Yehuwa. Lagu itu tercatat di buku Keluaran bab 15, dan sebahagian daripada lagu itu berbunyi, ‘Yehuwa akan menjadi raja selama-lamanya.’ (Kel. 15:18) Sememangnya, Yehuwa telah menjadi Raja kepada bangsa Israel yang baru dibentuk. (Ul. 33:5) Namun, orang Israel tidak puas hati dengan Raja yang tidak kelihatan, Yehuwa. Sekitar 400 tahun selepas meninggalkan Mesir, mereka meminta Tuhan untuk melantik seorang raja manusia, seperti yang dilakukan bangsa-bangsa kafir. (1 Sam. 8:5) Walaupun begitu, semasa pemerintahan Daud, Yehuwa masih dianggap Raja.

14 Daud telah membawa tabut perjanjian ke Yerusalem. Pada masa yang penuh kegembiraan itu, orang Lewi bernyanyi dan menyebut sesuatu yang menarik  di 1 Tawarikh 16:31, ‘Beritahulah bangsa-bangsa bahawa Yehuwa itu Raja.’ Kita mungkin berfikir, “Bukankah Yehuwa ialah Raja yang kekal? Mengapakah Dia dikatakan menjadi Raja pada masa itu?” Yehuwa menjadi Raja apabila Dia menggunakan kuasa-Nya atau menugaskan seseorang untuk mewakili-Nya. Memahami hal ini amatlah penting. Sebelum Daud meninggal, Yehuwa berjanji kepada dia bahawa takhtanya akan berkekalan. Yehuwa berkata, “Seorang daripada puteramu akan Kulantik menjadi raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya.” (2 Sam. 7:12, 13) Janji ini ditunaikan lebih daripada 1,000 tahun kemudian. Siapakah Raja yang dijanjikan dan bilakah dia menjadi Raja?

YEHUWA MELANTIK RAJA BARU

15, 16. Bilakah Yesus dilantik sebagai bakal Raja Kerajaan Tuhan? Semasa di bumi, apakah yang dilakukan Yesus bagi Kerajaan Tuhan yang bakal datang?

15 Pada tahun 29 M, Yohanes Pembaptis mula mengkhabarkan bahawa ‘tidak lama lagi Kerajaan Syurga akan memerintah.’ (Mat. 3:2, nota kaki) Semasa Yesus dibaptis oleh Yohanes, Yehuwa melantik Yesus sebagai Mesias dan bakal Raja Kerajaan Tuhan. Sebagai Bapa yang pengasih, Yehuwa berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku.”—Mat. 3:17.

16 Semasa Yesus di bumi, dia memuliakan Bapanya. (Yoh. 17:4) Dia berbuat demikian dengan memberitakan Kerajaan Tuhan. (Luk. 4:43) Malah, dia mengajar pengikutnya untuk mendoakan kedatangan Kerajaan itu. (Mat. 6:10) Yesus yang bakal menjadi Raja dapat berkata kepada musuhnya, ‘Tuhan sudah mula memerintah antara kamu.’ (Luk. 17:21) Pada malam sebelum kematiannya, Yesus membuat perjanjian dengan para rasulnya. Hal ini bermaksud sesetengah pengikutnya mempunyai harapan untuk memerintah sebagai raja bersamanya di Kerajaan Tuhan.—Baca Lukas 22:28-30.

17. Bagaimanakah Yesus mula memerintah pada abad pertama, tetapi dia masih perlu menunggu apa?

17 Bilakah Yesus mula memerintah sebagai raja? Dia tidak memerintah dengan serta merta. Pada tengah hari yang berikutnya, Yesus dihukum mati dan dia ditinggalkan pengikutnya. (Yoh. 16:32) Walaupun demikian, Yehuwa masih berkuasa. Pada hari ketiga, Dia membangkitkan Anak-Nya. Pada Pentakosta 33 M, Yesus mula memerintah ke atas sidang Kristian yang terdiri daripada orang Kristian terurap. (Kol. 1:13) Tetapi, Yesus, ‘keturunan’ Daud yang dijanjikan, masih perlu menunggu untuk menerima kuasa sepenuhnya ke atas bumi. Yehuwa memberitahu Anak-Nya, “Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menaklukkan musuhmu kepadamu.”—Mzm. 110:1.

SEMBAHLAH RAJA YANG KEKAL

18, 19. Kita didorong untuk melakukan apa? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana yang seterusnya?

18 Selama ribuan tahun, terdapat malaikat dan manusia yang memberontak menentang pemerintahan Yehuwa. Tetapi Yehuwa tetap berkuasa sebagai Pemerintah Yang Berdaulat. Sebagai Bapa yang pengasih, Dia telah melindungi dan menjaga umat-Nya yang setia seperti Nuh, Abraham, dan Daud. Tidakkah hal ini mendorong kita untuk tunduk kepada Raja kita dan mendekati-Nya?

19 Maka, kita mungkin tertanya: Bagaimanakah Yehuwa menjadi Raja hari ini? Bagaimanakah kita menunjukkan kesetiaan dan menjadi anak-anak yang sempurna dalam keluarga-Nya? Apakah maknanya apabila kita berdoa untuk kedatangan Kerajaan Tuhan? Soalan-soalan ini akan dibincangkan dalam rencana seterusnya.