Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kamu Telah Disucikan

Kamu Telah Disucikan

‘Daya aktif daripada Tuhan kita membersihkan kamu daripada dosa, menjadikan kamu umat Tuhan.’—1 KOR. 6:11.

1. Apakah kejadian buruk yang dilihat oleh Nehemia apabila dia kembali ke Yerusalem? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

PENDUDUK Yerusalem terkejut. Seorang lelaki asing yang terkenal dengan kejahatannya sedang menginap di Rumah Tuhan. Orang Lewi mengabaikan tugas mereka. Para pemimpin orang Yahudi tidak mengambil pimpinan dalam hal-hal ibadat, sebaliknya mereka sibuk berurus niaga pada hari Sabat. Ramai orang Israel mengahwini wanita bukan Yahudi. Inilah beberapa kejadian buruk yang dilihat oleh Nehemia apabila dia kembali ke Yerusalem selepas tahun 443 SM.—Neh. 13:6.

2. Bagaimanakah bangsa Israel menjadi umat milik Tuhan?

2 Bangsa Israel ialah umat milik Tuhan. Pada 1513 SM, orang Israel berkata dengan bersemangat, ‘Kami akan melakukan segala yang difirmankan oleh Yehuwa.’ (Kel. 24:3) Mereka sudi mematuhi Tuhan, jadi Dia menyucikan mereka, atau memilih mereka untuk menjadi umat-Nya. Betapa besarnya penghormatan ini! Selepas 40 tahun, Musa mengingatkan mereka, ‘Kamu milik Yehuwa, Tuhan kamu. Dari antara semua bangsa di bumi, Dia memilih kamu untuk menjadi umat-Nya yang istimewa.’—Ul. 7:6.

3. Apakah keadaan rohani orang Yahudi apabila Nehemia kembali ke Yerusalem buat kali kedua?

3 Sedihnya, semangat orang Israel tidak bertahan lama. Meskipun ada beberapa orang di antara mereka yang menyembah Tuhan, kebanyakan orang Yahudi hanya berpura-pura mematuhi Yehuwa. Kira-kira 100 tahun selepas orang Israel yang setia pulang dari Babilon untuk memulihkan ibadat sejati, Nehemia kembali ke Yerusalem buat kali kedua dan mendapati bahawa semangat mereka terhadap hal-hal rohani kian pudar.

4. Bagaimanakah kita dapat tetap suci di mata Yehuwa dan terus mendapat perkenan-Nya?

4 Seperti bangsa Israel, Saksi-Saksi Yehuwa hari ini ialah sekumpulan orang yang dipilih Yehuwa untuk menjadi umat-Nya. Sama ada golongan terurap ataupun  kumpulan besar manusia, mereka telah disucikan dan dikhaskan untuk khidmat suci. (Why. 7:9, 14, 15; 1 Kor. 6:11) Kita tidak ingin kehilangan perkenan Tuhan seperti orang Israel kuno. Jadi bagaimanakah kita dapat tetap suci di mata Yehuwa dan terus mendapat perkenan-Nya? Nehemia bab 13 memberitahu kita empat cara: (1) Menjauhi pergaulan yang buruk; (2) menyokong aturan teokratik; (3) mengutamakan hal-hal rohani; dan (4) memelihara identiti Kristian kita. Marilah kita membincangkan setiap cara ini.

MENJAUHI PERGAULAN YANG BURUK

Bagaimanakah Nehemia menunjukkan bahawa dia setia kepada Yehuwa? (Lihat perenggan 5, 6)

5, 6. Siapakah Elyasib dan Tobia? Mengapakah Elyasib bergaul dengan Tobia?

5 Baca Nehemia 13:4-9. Kita dikeliling pengaruh yang buruk, maka tidak mudah untuk tetap suci. Fikirkan contoh Elyasib dan Tobia. Elyasib ialah imam agung, manakala Tobia ialah orang Amon dan mungkin bekerja sebagai pegawai Asyur. Tobia dan konco-konconya pernah menghalang usaha Nehemia untuk membaiki tembok Yerusalem. (Neh. 2:10) Orang Amon tidak dibenarkan untuk memasuki Rumah Tuhan. (Ul. 23:3) Jadi mengapakah Elyasib membenarkan Tobia menggunakan sebuah bilik di dalam Rumah Tuhan?

6 Nampaknya Tobia ialah sahabat rapat Elyasib. Tobia dan anaknya Yohanan mengahwini wanita Yahudi. Ramai orang Yahudi juga memuji Tobia. (Neh. 6:17-19) Salah seorang cucu Elyasib telah mengahwini anak perempuan Sanbalat. Sanbalat ialah pegawai Samaria yang juga merupakan kawan rapat Tobia. (Neh. 13:28) Hal-hal ini menjelaskan mengapa Imam Agung Elyasib membenarkan seorang bukan Yahudi dan penentang Tuhan untuk mempengaruhinya. Tetapi Nehemia setia kepada Yehuwa. Dia melempar keluar semua barang kepunyaan Tobia dari Rumah Tuhan.

7. Bagaimanakah umat Tuhan, termasuk penatua, memastikan bahawa mereka tetap suci di mata Tuhan?

7 Selaku umat suci Yehuwa, kita setia kepada-Nya. Kita akan mengutamakan Yehuwa dan hidup selaras dengan piawaian-Nya yang adil benar. Kita tidak akan membenarkan ahli keluarga mempengaruhi kita untuk mengetepikan prinsip Bible. Penatua Kristian dibimbing oleh fikiran Tuhan, bukannya pendapat atau perasaan sendiri. (1 Tim. 5:21) Mereka berusaha menghindari apa-apa sahaja yang mungkin menjejaskan hubungan mereka dengan Tuhan.—1 Tim. 2:8.

8. Apakah yang harus kita ingat semasa memilih pergaulan?

8 Ingatlah bahawa “persahabatan yang buruk merosakkan akhlak baik.” (1 Kor. 15:33) Sanak saudara mungkin memberikan pengaruh yang buruk kepada kita. Pada mulanya, Elyasib memberikan teladan yang baik kepada bangsa Israel dengan menyokong usaha Nehemia untuk membina semula tembok Yerusalem. (Neh. 3:1) Tetapi, pengaruh buruk daripada Tobia dan orang lain telah mengubahnya. Akhirnya, dia melakukan perkara yang najis di mata Yehuwa. Pergaulan yang baik dapat menggalakkan kita untuk melakukan apa yang baik, seperti membaca Bible, menghadiri perjumpaan, dan menginjil. Kita patut lebih menghargai dan mengasihi ahli keluarga yang menggalakkan kita untuk berbuat demikian.

MENYOKONG ATURAN TEOKRATIK

9. Apakah yang berlaku di Rumah Tuhan? Bagaimanakah Nehemia menangani situasi ini?

9 Baca Nehemia 13:10-13. Semasa Nehemia kembali ke Yerusalem, dia mendapati bahawa orang Israel tidak lagi memberikan sumbangan yang mencukupi untuk Rumah Tuhan. Akibatnya, orang Lewi terpaksa meninggalkan tugas mereka untuk bekerja di ladang-ladang. Oleh itu, Nehemia menegur para pegawai kerana mengabaikan tugas  mereka. Mereka tidak mengumpulkan persembahan persepuluhan orang Israel, atau tidak menghantarnya ke Rumah Tuhan. (Neh. 12:44) Nehemia menyuruh agar persembahan persepuluhan dikumpulkan. Dia juga menugaskan orang yang boleh dipercayai untuk menjaga dan mengagihkan bekalan Rumah Tuhan.

10, 11. Bagaimanakah umat Tuhan dapat menyokong ibadat sejati?

10 Apakah pengajarannya bagi kita? Kita diingatkan bahawa memberikan sumbangan kepada Yehuwa ialah penghormatan yang istimewa. (Ams. 3:9) Apabila kita memberikan sumbangan untuk menyokong kerja Yehuwa, kita sedang mengembalikan apa yang sepatutnya milik Tuhan. (1 Taw. 29:14-16) Sumbangan kita mungkin sedikit sahaja, namun jika kita memberi dengan rela, Yehuwa akan menerimanya dengan gembira.—2 Kor. 8:12.

11 Selama bertahun-tahun, sebuah keluarga yang besar mengundang sepasang perintis yang tua untuk datang dan makan di rumah mereka seminggu sekali. Meskipun keluarga itu mempunyai lapan orang anak, ibu selalu berkata, “Saya sudah pun memasak untuk 10 orang, apa bezanya jika tambah dua pinggan lagi?” Jemputan ini nampaknya remeh, tetapi pasangan perintis itu amat bersyukur atas keramahan yang ditunjukkan! Pasangan itu menceritakan pengalaman yang baik dan menggalakkan anak-anak keluarga ini untuk membuat kemajuan rohani. Hasilnya, kesemua lapan orang anak menceburi khidmat sepenuh masa.

12. Apakah teladan baik yang diberikan oleh saudara yang terlantik?

12 Catatan ini juga mengajar kita bahawa seperti Nehemia, saudara yang terlantik mengambil pimpinan dalam menyokong aturan teokratik. Ahli-ahli sidang meraih manfaat daripada teladan mereka. Selain itu, para saudara yang terlantik juga mencontohi rasul Paulus. Dia telah menyokong ibadat sejati dan memberikan bimbingan yang baik. Contohnya, Paulus pernah memberikan beberapa cadangan yang baik berkenaan cara memberikan sumbangan.—1 Kor. 16:1-3; 2 Kor. 9:5-7.

MENGUTAMAKAN HAL-HAL ROHANI

13. Bagaimanakah sesetengah orang Yahudi tidak mementingkan hari Sabat?

13 Baca Nehemia 13:15-21. Jika kita terlalu bertumpu pada hal-hal kebendaan, kerohanian kita akan beransur-ansur lemah. Menurut Keluaran 31:13, hari Sabat yang dirayakan setiap minggu bertujuan untuk mengingatkan orang Israel bahawa mereka  ialah umat suci Tuhan. Hari Sabat patut dikhaskan agar seluruh keluarga dapat beribadat, berdoa, dan merenungkan Hukum Tuhan. Tetapi sesetengah orang Israel tidak mementingkan hari Sabat, mereka terus berurus niaga dan mengetepikan ibadat kepada Tuhan. Jadi, Nehemia memberikan perintah supaya pedagang asing dihalau dan pintu gerbang kota ditutup sebelum hari Sabat bermula.

14, 15. (a) Apakah yang mungkin terjadi jika kita terlalu bertumpu pada usaha mencari wang? (b) Bagaimanakah kita mendapat rehat yang dijanjikan oleh Tuhan?

14 Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada teladan Nehemia? Jangan terlalu bertumpu pada usaha mencari wang. Tumpuan kita akan teralih malah kasih kita akan berbelah bahagi, terutamanya jika kita menyukai kerja sekular. Ingatlah amaran Yesus tentang menjadi hamba kepada dua orang tuan. (Baca Matius 6:24.) Semasa di Yerusalem, Nehemia boleh berurus niaga dengan pedagang dari Tirus atau negara lain dan mengaut keuntungan besar, tetapi apakah yang dilakukan olehnya? (Neh. 5:14-18) Dia bekerja keras untuk membantu saudara saudarinya dan memuliakan nama Yehuwa. Begitu juga dengan penatua dan pembantu sidang pada hari ini. Mereka bertumpu pada usaha membantu sidang, dan semangat mereka amatlah dihargai. Hasilnya, umat Tuhan saling mengasihi serta hidup dengan aman dan selamat.—Yeh. 34:25, 28.

15 Biarpun orang Kristian tidak perlu merayakan hari Sabat setiap minggu, Paulus berkata bahawa ‘masih ada lagi rehat bagi umat Tuhan.’ Dia menambah, ‘Sesiapa mendapat rehat yang dijanjikan oleh Tuhan, akan berehat juga daripada kerjanya sebagaimana Tuhan berehat daripada kerja-Nya.’ (Ibr. 4:9, 10) Sebagai orang Kristian, kita ‘mendapat rehat yang dijanjikan oleh Tuhan’ dengan mentaati Yehuwa dan bekerja keras untuk menyokong kehendak-Nya. Adakah anda dan keluarga mengutamakan ibadat kepada Yehuwa, menghadiri perjumpaan, dan menginjil? Jika majikan atau rakan sekerja kita berpendapat bahawa hal-hal ini tidak penting, kita perlu berpendirian teguh dan menjelaskan bahawa kita akan mengutamakan kerja Yehuwa. Seperti Nehemia, kita mungkin perlu menghalau orang Tirus dan menutup pintu gerbang kota agar kita dapat mengutamakan dan bertumpu pada hal-hal rohani. Selaku umat suci Tuhan, kita patut menanya diri, “Adakah cara hidup saya menunjukkan bahawa saya mengutamakan Yehuwa?”—Mat. 6:33.

MEMELIHARA IDENTITI KRISTIAN KITA

16. Mengapakah orang Israel pada zaman Nehemia hampir kehilangan identiti mereka sebagai umat suci Tuhan?

16 Baca Nehemia 13:23-27. Pada zaman Nehemia, lelaki Israel mengahwini wanita asing. Pada kali pertama Nehemia melawat Yerusalem, dia menyuruh semua pemimpin untuk menandatangani perjanjian dan bersumpah bahawa orang Israel tidak akan mengahwini orang kafir. (Neh. 9:38; 10:30) Tetapi selepas beberapa tahun, dia mendapati bahawa mereka bukan sahaja mengahwini wanita asing, malah mereka bakal kehilangan identiti sebagai umat suci Tuhan! Anak-anak yang dilahirkan wanita asing ini tidak boleh membaca atau bercakap bahasa Ibrani. Apabila dewasa nanti, adakah mereka akan menganggap diri sebagai orang Israel? Atau adakah mereka akan menganggap diri sebagai orang Asdod, Amon, atau Moab? Dapatkah mereka memahami Hukum Tuhan jika mereka tidak mengetahui bahasa Ibrani? Adakah mereka akan mengenali Yehuwa dan memilih untuk menyembah-Nya, dan bukannya dewa dewi palsu yang disembah ibu mereka? Nehemia perlu bertindak dengan segera untuk memelihara identiti orang Israel.—Neh. 13:28.

Bantu anak anda memupuk hubungan yang akrab dengan Yehuwa (Lihat perenggan 17, 18)

17. Bagaimanakah ibu bapa membantu anak-anak mereka untuk memupuk hubungan yang akrab dengan Yehuwa?

 17 Dewasa ini, ibu bapa Kristian perlu membantu anak-anak mereka untuk memupuk identiti Kristian. Ibu bapa boleh menanya diri, “Adakah anak saya mahir menuturkan bahasa murni, iaitu dapat memahami dan membincangkan kebenaran Bible? (Zef. 3:9) Adakah perbualan mereka menunjukkan bahawa mereka dipengaruhi daya aktif Tuhan atau semangat dunia? Jangan cepat putus asa jika anda mendapati bahawa mereka perlu membuat kemajuan. Mempelajari bahasa yang baru memerlukan masa, terutamanya jika ada banyak gangguan. Dunia ini mencuba mengumpan anak-anak anda untuk mengingkari Tuhan. Jadi, bersabarlah dan bantu anak anda memupuk hubungan yang akrab dengan Yehuwa semasa Penyembahan Keluarga dan pada setiap kesempatan. (Ul. 6:6-9) Nyatakan manfaatnya jika mereka tidak menjadi sebahagian daripada dunia Syaitan. (Yoh. 17:15-17) Berusahalah untuk mencapai hati mereka.

18. Mengapakah ibu bapa Kristian ialah orang yang terbaik untuk membantu anak-anak mereka membaktikan diri kepada Yehuwa?

18 Setiap anak perlu membuat keputusan sama ada dia ingin menyembah Tuhan atau tidak. Tetapi sebagai ibu bapa, anda boleh membantu dalam banyak cara, seperti memberikan teladan yang baik, menjelaskan mengapa suatu tingkah laku adalah salah, dan membantu anak memahami bahawa keputusan yang salah membawa akibat buruk. Mereka memerlukan bantuan anda untuk memupuk dan memelihara identiti Kristian mereka. Ibu bapa, andalah orang yang terbaik untuk membantu anak-anak agar mereka memilih untuk membaktikan diri kepada Yehuwa. Kita perlu menjaga identiti Kristian masing-masing, iaitu sentiasa memelihara sifat dan piawaian yang mencerminkan identiti kita sebagai pengikut Kristus.—Why. 3:4, 5; 16:15.

KITA AKAN DIINGATI DAN DIBERKATI

19, 20. Apakah yang perlu kita lakukan agar Yehuwa mengingati dan ‘memberkati kita’?

19 Nabi Maleakhi yang hidup sezaman dengan Nehemia berkata, ‘Nama setiap orang yang menghormati Yehuwa dan takut akan Dia, ditulis di dalam sebuah kitab.’ (Mal. 3:16, 17) Tuhan tidak sekali-kali akan melupakan mereka yang takut akan-Nya dan mengasihi nama-Nya.—Ibr. 6:10.

20 Nehemia berdoa, ‘Ya Tuhan, ingatlah akan semua hal ini, dan berkatilah aku.’ (Neh. 13:31) Seperti Nehemia, nama kita akan ditulis di dalam kitab Tuhan jika kita terus menjauhi pergaulan yang buruk, menyokong aturan teokratik, mengutamakan hal-hal rohani, dan memelihara identiti Kristian kita. Marilah kita terus menguji diri ‘sama ada kita betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan kepada Kristus.’ (2 Kor. 13:5) Berusahalah untuk menjadi umat suci Yehuwa, nescaya Dia akan mengingati dan ‘memberkati kita.’