Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Janganlah Putus Harapan!

Janganlah Putus Harapan!

Adakah anda seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang sudah lama ingin menyembah Yehuwa bersama dengan teman hidup anda?

Atau, pernahkah anda berasa kecewa kerana pelajar Bible anda yang nampaknya membuat kemajuan rohani kemudiannya hilang minat pada kebenaran?

 Beberapa pengalaman dari Britain akan membantu anda memahami mengapa anda tidak harus putus harapan. Anda juga dapat melihat bagaimana “melakukan perkara-perkara baik” dapat membantu orang yang belum menerima kebenaran.—Gal. 6:9.

KETABAHAN AMATLAH PENTING

Ketabahan merupakan salah satu hal yang penting. Anda perlu berpaut pada kebenaran dan Yehuwa. (Ul. 10:20) Itulah yang dilakukan oleh Georgina. Sewaktu dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1970, suaminya, Kyriacos, menjadi sangat marah. Suaminya cuba menghalangnya daripada belajar Bible, tidak membenarkan Saksi-Saksi ke rumahnya, dan merampas semua bahan bacaan Saksi-Saksi Yehuwa yang ditemui.

Sewaktu Georgina mula menghadiri perjumpaan, Kyriacos menjadi semakin marah. Ada satu ketika, dia pergi ke dewan perjumpaan untuk mencetuskan pertengkaran. Seorang saudari menyedari bahawa Kyriacos fasih berbahasa Greek, lalu dia menelefon dan meminta seorang saudara yang berbangsa Greek untuk datang. Saudara itu baik hati dan disambut baik oleh Kyriacos. Malah, dia mula belajar dengan saudara itu. Tetapi kemudian, Kyriacos berhenti belajar.

Selama tiga tahun, Georgina menghadapi tentangan. Jika Georgina dibaptis, Kyriacos ingin meninggalkannya. Pada hari pembaptisannya, Georgina berdoa dengan tekun agar Kyriacos tidak meninggalkannya. Sewaktu para Saksi datang untuk membawa Georgina ke perhimpunan, Kyriacos memberitahu mereka, “Kamu pergi dulu. Kami akan ikut kereta kamu dari belakang.” Kyriacos telah menghadiri sesi pagi perhimpunan itu dan melihat isterinya dibaptis!

Hampir 40 tahun selepas bertemu Saksi-Saksi Yehuwa, Georgina akhirnya menyaksikan suaminya dibaptis

Kemudian, tentangan Kyriacos mereda, dan dia beransur-ansur membuat perubahan besar. Hampir 40 tahun selepas bertemu dengan Saksi-Saksi, Georgina akhirnya menyaksikan suaminya dibaptis! Apakah yang membantu Kyriacos? Dia berkata, “Saya sangat gembira kerana tekad Georgina untuk menyembah Yehuwa.” Georgina pula berkata, “Walaupun suami saya menentang, saya tidak berhenti menyembah Yehuwa. Sepanjang masa itu, saya berdoa kepada Yehuwa dan tidak berputus asa.”

NILAI KEPERIBADIAN BARU

Satu lagi cara penting untuk membantu teman hidup adalah dengan memupuk keperibadian Kristian. Rasul Paulus memperingatkan para isteri Kristian, ‘Taatlah kepada suami, supaya jika ada antara suami kamu yang tidak percaya kepada firman Tuhan, kelakuan kamu akan menyebabkan mereka menjadi percaya. Kamu tidak perlu mengatakan apa-apa kepada mereka.’ (1 Ptr. 3:1) Christine menerapkan nasihat ini, walaupun masa yang lama berlalu sebelum suaminya menerima kebenaran. Apabila Christine dibaptis lebih daripada 20 tahun lalu, suaminya, John, langsung tidak percaya kepada Tuhan. John tidak ingin melibatkan diri dalam agama. Namun, dia mendapati isterinya sangat menghargai agamanya. “Saya boleh lihat dia sangat gembira,” kata John. “Isteri saya memupuk keperibadian yang teguh dan boleh dipercayai. Hal ini membantu saya sewaktu menghadapi masalah.”

Christine tidak memaksa suaminya menerima kebenaran. John berkata, “Sejak mula lagi, Christine tahu bahawa bercakap kepada saya tentang hal-hal agama bukanlah bijak. Jadi, dia benarkan saya belajar dengan cara saya sendiri.” Ketika Christine mendapati ada rencana tentang sains dan alam semula jadi yang diminati John dalam majalah-majalah kita, dia akan menunjukkan rencana itu kepada suaminya sambil berkata, “Saya pasti kamu minat membaca rencana ini.”

Setelah John bersara dan mula bekerja sebagai tukang kebun, dia ada banyak masa untuk berfikir. Dia mula merenung, “Adakah manusia wujud secara kebetulan, atau adakah kita diciptakan dengan tujuan tertentu?” Pada suatu hari, seorang saudara menanya John, “Kamu mahu belajar Bible?” John berkata, “Sekarang saya mula mempercayai Tuhan. Jadi, saya menerima tawarannya.”

Betapa pentingnya untuk tidak putus harapan! Christine berdoa selama 20 tahun agar John menerima kebenaran dan dibaptis. Sekarang, mereka menyembah Yehuwa bersama. John berkata, “Ada dua hal yang membantu saya. Kebaikan hati serta keramahan Saksi-Saksi Yehuwa. Dan jika anda berkahwin dengan seorang Saksi-Saksi Yehuwa, anda  akan mendapat pasangan yang setia, boleh diharap, dan tidak mementingkan diri.” Christine diberkati kerana menerapkan kata-kata di 1 Petrus 3:1.

BENIH BERCAMBAH SELEPAS BERTAHUN-TAHUN

Bagaimana pula dengan pelajar Bible yang hilang minat pada kebenaran? “Taburlah benih pada waktu pagi dan waktu petang juga, kerana kamu tidak tahu sama ada semuanya akan tumbuh, ataupun yang mana satu akan tumbuh dengan lebih subur,” tulis Raja Salomo. (Pkh. 11:6, ABB) Kadangkala benih kebenaran mengambil masa yang lama untuk bercambah. Lambat-laun, seorang pelajar Bible mungkin menyedari pentingnya untuk menghampiri Tuhan. (Yak. 4:8) Mungkin suatu hari nanti anda akan menerima berita yang baik tentang salah seorang pelajar Bible anda.

Alice yang berpindah dari India ke England mula mempelajari Bible pada tahun 1974. Dia berbahasa Hindi tetapi ingin lebih fasih berbahasa Inggeris. Pembelajaran itu berlangsung selama beberapa tahun, dan dia menghadiri beberapa perjumpaan bahasa Inggeris. Dia tahu apa yang dipelajarinya adalah kebenaran, tetapi menganggapnya sebagai hobi sahaja. Lagipun, dia mencintai wang dan gemar bersuka ria. Akhirnya, Alice berhenti belajar.

Hampir 30 tahun kemudian, Stella, guru Bible Alice, menerima sepucuk surat daripadanya. Surat itu berbunyi, “Kamu tentu gembira untuk tahu bahawa salah seorang pelajar Bible kamu dari tahun 1974 dibaptis di konvensyen yang lalu. Kamu memainkan peranan penting dalam hidup saya. Kamu telah menanam benih kebenaran dalam hati saya. Walaupun pada masa itu saya belum bersedia membaktikan diri kepada Tuhan, saya terus menyimpan benih kebenaran itu dalam fikiran dan hati saya.”

Surat Alice kepada Stella berbunyi, “Kamu tentu gembira untuk tahu bahawa salah seorang pelajar Bible kamu dari tahun 1974 telah dibaptis di konvensyen yang lalu”

Apakah yang telah berlaku? Alice menjelaskan bahawa dia sangat sedih selepas kematian suaminya pada tahun 1997. Dia mula berdoa. Dalam masa 10 minit, dua orang Saksi yang berbahasa Punjabi datang dan memberinya sehelai risalah tentang harapan bagi orang mati. Alice berasa doanya dijawab dan ingin bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Tetapi di manakah mereka boleh ditemui? Dia terjumpa sebuah diari lama yang mengandungi alamat sidang Punjabi yang diberikan oleh Stella. Dia menghadiri perjumpaan itu dan disambut dengan ramah. “Kasih mereka menyentuh hati saya dan membantu melegakan kesedihan saya,” kata Alice.

Alice mula menghadiri perjumpaan sidang dan belajar Bible dengan teratur sambil belajar bahasa Punjabi. Pada tahun 2003 dia dibaptis. Dia mengakhiri suratnya dengan berkata, “Saya sangat berterima kasih kerana 29 tahun yang lalu, kamu telah menanam benih kebenaran dalam hati saya dan menjadi teladan baik bagi saya.”

“Saya sangat berterima kasih kerana 29 tahun yang lalu, kamu telah menanam benih kebenaran dalam hati saya dan menjadi teladan baik bagi saya.”—Alice

Apakah pengajarannya? Seseorang mungkin mengambil masa yang lama untuk membuat kemajuan rohani. Tetapi jika orang itu lapar secara rohani, jujur, dan rendah hati, Yehuwa akan membenarkan benih kebenaran bercambah dalam hatinya. Dalam perumpamaan Yesus, “Benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Orang itu [penyemai] tidak mengerti bagaimana hal itu berlaku. Tanah itulah yang menumbuhkan tanaman sehingga berbuah: mula-mula pucuk, kemudian bulir dan akhirnya buah.” (Mrk. 4:27, 28, ABB) Pertumbuhan sebegini berlaku secara beransur-ansur dan secara tersendiri. Setiap penyiar Kerajaan Tuhan tidak tahu bagaimana hal itu berlaku. Jadi, taburlah benih dengan melimpah, anda mungkin menuai dengan melimpah.

Janganlah lupa betapa pentingnya berdoa. Georgina dan Christine terus berdoa kepada Yehuwa. Jika kita “senantiasa berdoa” dan tidak putus harapan, “kelak kita akan menuai hasilnya.”—Rm. 12:12; Gal. 6:9.