Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dia Ahli Keluarga Kayafas

Dia Ahli Keluarga Kayafas

Ada kalanya, penemuan arkeologi secara langsung atau tidak langsung mengesahkan kewujudan tokoh dalam Bible. Contohnya, pada tahun 2011, para cendekiawan Israel menerbitkan maklumat tentang penemuan sebuah keranda batu kapur yang berusia 2,000 tahun. Keranda itu dihiasi dan digunakan untuk menyimpan tulang seseorang selepas mayatnya reput.

Inskripsi pada keranda itu berbunyi, “Miriam anak perempuan Yeshua anak lelaki Kayafas, imam dari kumpulan Maazya dari Beth ʹImri.” Kayafas ialah imam agung Yahudi yang terlibat dalam mengadili dan menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus. (Yoh. 11:48-50) Sejarawan Flavius Josephus menyebutnya sebagai “Yusuf, yang juga dipanggil Kayafas.” Jadi, keranda ini ialah milik salah seorang saudara Kayafas. Sebelum itu, sebuah keranda yang dipercayai milik imam agung telah ditemui. Inskripsinya berbunyi “Yehosef bar Caiapha,” iaitu Yusuf anak Kayafas. * Maka, Miriam memiliki pertalian keluarga dengan Kayafas.

Menurut maklumat yang diberi oleh Pihak Berkuasa Antikuiti Israel (IAA), keranda Miriam telah dirampas semula daripada para perompak yang menjarah sebuah makam kuno. Keranda ini dan inskripsinya telah dianalisis dan disahkan tulen.

Selain itu, keranda itu ada menyebut tentang “Maazya,” kumpulan terakhir daripada 24 kumpulan imam yang bertugas secara bergilir-gilir di Rumah Tuhan di Yerusalem. (1 Taw. 24:7-18) Menurut IAA, inskripsi pada keranda itu menyingkapkan bahawa “keluarga Kayafas berasal daripada kumpulan Maazya.”

Inskripsi itu juga ada menyebut tentang Beth ʹImri. Apakah Beth ʹImri? “Kemungkinan pertama ialah Beth ʹImri merupakan nama bagi sebuah keluarga imam—keluarga Imer (Ezra 2:36-37; Nehemia 7:39-42) yang keturunannya merupakan ahli kumpulan Maazya,” kata IAA. “Kemungkinan kedua ialah [Beth ʹImri merupakan] tempat asal si mati atau seluruh keluarganya.” Keranda Miriam memberikan bukti bahawa orang dan keluarga yang disebut dalam Bible memang pernah wujud.

^ per. 3 Maklumat tentang keranda Kayafas terdapat dalam majalah pembelajaran terbitan 15 Januari 2006, muka 10-13.