Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 Kisah Hidup

Rahsia yang Dipelajari Menerusi Khidmat Suci Kami

Rahsia yang Dipelajari Menerusi Khidmat Suci Kami

Diceritakan oleh Olivier Randriamora

“Aku sudah mengalami hidup serba kekurangan dan juga lebih daripada kecukupan. Aku mengetahui rahsianya untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan. Aku berpuas hati baik ketika kenyang ataupun lapar.”​—Flp. 4:12, 13.

KATA-KATA Paulus ini sangat menggalakkan saya dan isteri saya, Oly. Semasa berkhidmat di Madagascar, kami telah belajar cara untuk bergantung pada Yehuwa. Itulah “rahsianya untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan.”

Apabila Saksi-Saksi Yehuwa mengajarkan Bible kepada ibu Oly pada tahun 1982, saya sudah bertunang dengan Oly. Saya mula mempelajari Bible dan kemudian Oly juga menyertai saya. Kami berkahwin pada tahun 1983, dan menjadi perintis sokongan setelah dibaptis pada tahun 1985. Pada bulan Julai tahun 1986, kami menjadi perintis biasa.

Pada bulan September 1987, kami ditugaskan sebagai perintis khas di sebuah pekan kecil yang tiada Saksi di barat laut Madagascar. Penduduk Madagascar dibahagikan kepada kumpulan etnik yang mempunyai adat dan budaya yang berbeza. Terdapat lebih kurang 18 kumpulan utama dan banyak suku lain yang kecil. Malagasi merupakan bahasa rasmi, tetapi ada banyak lagi bahasa kecil yang digunakan. Maka kami belajar bahasa penduduk tempatan agar lebih senang diterima oleh mereka.

Pada mulanya, kami berdua sahaja yang menghadiri perjumpaan. Setiap hari Ahad, Oly akan bertepuk tangan selepas saya menyampaikan ceramah umum. Semasa Sekolah Penyebaran Teokratik, Oly pula duduk seorang diri dan menyampaikan tugasan kepada “penghuni rumah” yang dibayangkannya. Semasa diberitahu oleh penyelia litar bahawa kami boleh menyesuaikan program perjumpaan, kami begitu gembira!

Oleh sebab sistem pos tidak begitu cekap, kami tidak menerima elaun setiap bulan. Jadi seperti Paulus, kami tahu caranya untuk hidup serba kekurangan. Pernah sekali, kami tidak mempunyai wang untuk membayar tambang bas ke perhimpunan litar yang diadakan sekitar 130 km dari tempat kami. Kami teringat nasihat baik seorang saudara yang pernah berkata, “Kamu sedang melakukan kerja Yehuwa. Beritahulah Yehuwa masalah kamu.” Jadi kami berdoa dan membuat keputusan untuk berjalan kaki ke sana. Tetapi sebelum bertolak, seorang saudara melawat kami di rumah dan memberi kami wang yang cukup untuk membayar tambang bas!

KERJA LITAR

Pada tahun 1991, terdapat 9 orang penyiar dalam kumpulan kecil kami dan 3 daripada mereka  sudah dibaptis. Pada masa itu kira-kira 50 orang menghadiri perjumpaan. Saya dilantik sebagai penyelia litar pada bulan Februari. Selepas dilatih, kami berkhidmat di sebuah litar di Antananarivo, ibu kota Madagascar. Pada tahun 1993, kami ditugaskan ke bahagian timur Madagascar. Keadaan hidup di situ sangat berbeza daripada kehidupan di bandar.

Ada kalanya kami terpaksa berjalan sejauh 145 km dan meredah gunung yang berhutan tebal untuk mengunjungi sidang dan kumpulan terpencil. Kami berusaha untuk membawa sedikit barang sahaja. Tetapi, jika ceramah yang diberikan merangkumi penyampaian slaid, barangan kami menjadi lebih berat. Oly membawa projektor, manakala saya membawa sebuah bateri kereta.

Kami sering kali berjalan sejauh 40 km sehari untuk sampai ke sidang seterusnya. Dalam perjalanan, kami terpaksa naik turun gunung, serta merentasi sungai dan kawasan berlumpur. Biasanya kami cuba mencari penginapan, tetapi ada masanya kami terpaksa tidur di tepi jalan. Ada kalanya kami bermalam di rumah orang yang tidak dikenali. Kami juga perlu menyediakan makanan sendiri. Oly akan meminjam sebuah periuk dan mendapatkan air dari sungai atau tasik berdekatan. Saya pula akan meminjam sebuah kapak untuk memotong kayu api. Jika kami membeli ayam, ayam itu perlu disembelih. Semua ini memakan masa.

Selepas makan, kami akan mendapatkan air untuk mandi. Ada kalanya kami tidur di dapur. Jika bumbung rumah bocor semasa hujan, kami perlu tidur bersandar pada dinding supaya tidak basah.

Kami selalu menginjil kepada orang yang menawarkan tempat tinggal kepada kami. Apabila kami sampai ke rumah saudara saudari, mereka menyambut kami dengan tangan terbuka dan penuh penghargaan. Walaupun kami perlu menempuh banyak kesukaran untuk sampai ke destinasi, semua usaha itu memang berbaloi.

Apabila kami tinggal dengan saudara saudari, kami suka membantu mereka melakukan kerja rumah agar mereka dapat keluar menginjil bersama kami. Kami tidak mengharapkan barangan mahal atau makanan istimewa daripada saudara saudari.

MENGUNJUNGI KUMPULAN TERPENCIL

Kami suka sekali melawat kumpulan terpencil. Saudara di situ mengaturkan jadual yang sangat padat sehingga kami tiada masa untuk “berehat sekejap.” (Mrk. 6:31) Ada satu pasangan Saksi yang menjemput 40 pelajar Bible mereka ke rumah. Oly dan saudari itu akan mengajar kira-kira 20 orang, manakala saya dan saudara itu akan mengajar 20 orang yang lain. Apabila satu pembelajaran Bible habis, yang seterusnya pula bermula. Kami berhenti seketika untuk mengadakan perjumpaan. Sering kali kami masih mengadakan pembelajaran Bible selepas jam 8 malam.

Selepas melawat kumpulan yang lain, kami bertolak ke kampung berdekatan kira-kira jam 8 pagi. Sepanjang perjalanan kami semua menggunakan pakaian lama kerana kami perlu merentasi  hutan. Sekitar 12 tengah hari, baru kami tiba di kawasan penyebaran. Kami segera menukar baju yang bersih lalu memulakan aktiviti penyebaran. Terdapat hanya sedikit rumah, tetapi ramai penyiar. Jadi kami meliputi kawasan itu dalam masa kira-kira 30 minit. Kemudian, kami maju ke kampung seterusnya. Selepas selesai menginjil, kami terpaksa berjalan jauh untuk balik ke rumah. Kami berasa kecewa kerana mengambil masa yang lama untuk sampai ke kawasan penyebaran, tetapi hanya menginjil kira-kira satu jam. Namun, penyiar tempatan tetap bersukacita.

Sebuah kumpulan terpencil di Taviranambo terletak dekat puncak gunung. Kami tinggal bersama sebuah keluarga Saksi di rumah mereka yang hanya terdapat satu bilik. Perjumpaan pula diadakan di sebuah bangunan kecil yang berhampiran. Tiba-tiba, saudara itu menjerit dengan suara yang lantang, “Saudara-saudara!” Dari puncak gunung berdekatan, ada orang menjawab, “Oh!” Saudara itu berseru lagi, “Penyelia litar sudah sampai!” Mereka menjawab, “Ya!” Dengan cara ini saudara-saudara tersebut memaklumkan orang yang tinggal di tempat yang lebih jauh mengenai kedatangan penyelia litar. Apabila perjumpaan bermula, lebih daripada 100 orang hadir!

MASALAH PENGANGKUTAN

Pada tahun 1996, kami ditugaskan dekat Antananarivo. Litar ini mempunyai cabaran tersendiri kerana pengangkutan awam tidak boleh diharapkan. Pada suatu hari, kami ingin melawat sebuah kumpulan di Beankàna (Besakay), kira-kira 240 km dari Antananarivo. Selepas membincang harga tambang dengan pemandu lori kecil, kami menaiki kenderaannya. Terdapat kira-kira 30 orang dalam lori itu, ada orang yang berada di atas bumbung, ada juga yang bergayut pada belakang lori.

Tidak lama kemudian, kenderaan itu rosak. Hal sebegini sering berlaku. Kami terpaksa berjalan kaki berjam-jam lamanya sebelum sebuah lori besar berlalu. Walaupun lori itu sudah sesak dengan barang dan orang, pemandunya masih berhenti untuk kami. Kami menaiki lori itu meskipun tiada tempat duduk. Kemudian kami sampai di sebatang sungai, tetapi jambatannya sedang dibaiki. Sekali lagi kami terpaksa berjalan sehingga sampai di sebuah kampung kecil. Meskipun kami tidak merancang untuk melawat perintis-perintis khas di situ, kami keluar menginjil dengan mereka sehingga jambatan itu siap dibaiki dan kenderaan lain berlalu.

 Seminggu kemudian, kami menaiki sebuah kenderaan yang berlalu di situ. Jalan ke destinasi kami ada banyak lubang besar. Sering kali kami terjatuh semasa menolak kenderaan itu melalui air setinggi paras lutut. Pada pagi buta kami sampai di sebuah pekan kecil. Selepas itu, kami terpaksa berjalan melalui sawah padi dengan air lumpur setinggi pinggang kami.

Oleh sebab itu kali pertama kami mengunjungi tempat tersebut, kami mahu menginjil kepada pekerja di sawah padi dan menanya mereka tempat tinggal Saksi tempatan. Betapa gembiranya kami apabila mengetahui bahawa mereka sebenarnya saudara-saudara kami!

MENGGALAKKAN ORANG MENCEBURI KHIDMAT SEPENUH MASA

Kami sangat gembira kerana dapat menggalakkan orang lain untuk menceburi khidmat sepenuh masa. Semasa mengunjungi sebuah sidang yang mempunyai 9 orang perintis, kami menggalakkan setiap perintis untuk membantu seorang penyiar menjadi perintis. Selepas 6 bulan, bilangan perintis dalam sidang itu meningkat kepada 22 orang. Dua orang perintis telah menggalakkan bapa mereka untuk menjadi perintis. Bapa-bapa mereka yang merupakan penatua telah menggalakkan seorang lagi penatua untuk merintis. Tidak lama kemudian, penatua itu dilantik sebagai perintis khas dan berkhidmat sebagai penyelia litar bersama isterinya. Bagaimana pula dengan 2 orang penatua yang disebut tadi? Seorang menjadi penyelia litar manakala seorang lagi menjadi sukarelawan dalam projek pembinaan Dewan Perjumpaan.

Kami bersyukur kepada Yehuwa setiap hari atas bantuan yang diberikan-Nya. Walaupun kami kadangkala berasa penat dan jatuh sakit, kami tetap bersukacita semasa memikirkan hasil baik yang diraih dalam kerja penyebaran. Yehuwalah yang menjayakan kerja ini dan kami gembira kerana dapat berkhidmat kepada-Nya sebagai perintis khas. Ya, kami telah belajar cara untuk bergantung pada Yehuwa. Itulah “rahsianya untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan.”

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 6]

Kami telah belajar cara untuk bergantung pada Yehuwa. Itulah “rahsianya untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan”

[Peta/Gambar pada muka surat 4]

Madagascar merupakan pulau keempat terbesar di bumi. Tanahnya merah dan terdapat pelbagai spesies yang unik

[Gambar pada muka surat 5]

Masalah pengangkutan amat membingungkan

[Gambar pada muka surat 5]

Kami suka mengajar orang tentang Bible