Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Percaya pada Yehuwa yang Menguasai “Musim dan Masa”

Percaya pada Yehuwa yang Menguasai “Musim dan Masa”

 Percaya pada Yehuwa yang Menguasai “Musim dan Masa”

“Dialah yang menguasai musim dan masa; Dia melantik dan memecat raja.”​—DAN. 2:21.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Bagaimanakah ciptaan Tuhan dan nubuat yang digenapi menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Penjaga Masa Yang Agung?

Apakah yang akan kita lakukan jika kita menghargai Yehuwa sebagai Tuhan yang menguasai “musim dan masa”?

Mengapakah jadual masa Yehuwa tidak bergantung pada peristiwa di bumi mahupun rancangan manusia?

1, 2. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa mempunyai pengetahuan yang lengkap tentang masa?

LAMA sebelum Tuhan Yehuwa menciptakan manusia, Dia telah menyediakan asas bagi pengiraan masa. Pada hari penciptaan yang keempat, Tuhan berfirman, “Hendaklah ada benda-benda terang di langit untuk memisahkan siang daripada malam, dan untuk menunjukkan permulaan hari, tahun, serta musim.” (Kej. 1:14, nota kaki, 1926) Seperti yang dikehendaki Tuhan, hal ini telah terjadi.

2 Sehingga hari ini, ahli sains masih bingung tentang sifat masa. Menurut sebuah ensiklopedia, “Masa merupakan misteri dunia yang paling sukar diketahui. Tiada orang yang dapat memberikan penjelasan yang tepat tentangnya.” Tetapi, Yehuwa mempunyai pengetahuan yang lengkap tentang masa. Dialah “yang menjadikan langit, . . . membentuk dan menjadikan bumi.” Yehuwa berkata, “Sejak permulaan Aku telah menubuatkan hal yang akan datang; dari dahulu Aku telah meramalkan hal yang akan berlaku.” (Yes. 45:18; 46:10) Sekarang mari kita lihat bagaimana ciptaan Tuhan dan nubuat yang telah menjadi kenyataan menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Penjaga Masa Yang Agung. Hal ini tentu menguatkan iman kita terhadap Tuhan dan Firman-Nya!

CIPTAAN MENGUKUHKAN IMAN TERHADAP PENJAGA MASA YANG AGUNG

3. Jelaskan tentang kejituan masa dalam dunia fizikal kita.

3 Dalam dunia fizikal, kejituan masa dapat dilihat pada skala yang sangat kecil mahupun yang sangat besar. Atom bergegar pada kadar yang malar. Jam atom dikatakan tidak berubah lebih daripada 1 saat  dalam setiap 80 juta tahun. Pergerakan planet dan bintang-bintang juga sangat jitu dan digunakan untuk menandakan musim dan mencari arah. Yehuwa telah menciptakan semua ini dan mempunyai ‘kuasa yang amat besar.’ Sememangnya, kita harus memuji-Nya!​—Baca Yesaya 40:26.

4. Bagaimanakah hidupan di bumi menyingkapkan kebijaksanaan Tuhan?

4 Kejituan masa boleh diamati menerusi hidupan di bumi. Banyak tumbuhan dan binatang diciptakan dengan jam biologi dalaman. Burung mengikut naluri dan mengetahui masanya untuk berpindah. (Yer. 8:7) Manusia pun mempunyai jam dalaman yang mengikut kitaran 24 jam. Selepas menaiki kapal terbang ke sebuah negara yang jauh, badan kita selalunya memerlukan berhari-hari untuk menyesuaikan diri dengan zon masa yang baru. Ya, contoh-contoh ini menunjukkan kuasa dan kebijaksanaan Tuhan yang mengawal “musim dan masa.” (Baca Mazmur 104:24.) Memandangkan Penjaga Masa Agung kita Maha Kuasa dan Maha Bijaksana, Dia pasti boleh melaksanakan kehendak-Nya!

NUBUAT YANG DIGENAPI MENGUKUHKAN IMAN

5. (a) Bagaimanakah kita dapat mengetahui masa depan kita? (b) Mengapakah Yehuwa dapat menubuatkan masa depan kita?

5 Ciptaan banyak mengajar kita tentang ‘sifat-sifat Yehuwa yang tidak kelihatan.’ Tetapi ciptaan Tuhan tidak menjawab soalan yang penting seperti, “Bagaimanakah masa depan manusia?” (Rm. 1:20) Jawapan kepada soalan ini hanya terkandung dalam lembaran Firman-Nya. Semasa mengkaji Bible, kita dapat melihat bagaimana nubuat Tuhan digenapi tepat pada masanya. Yehuwa boleh menyingkapkan masa depan kerana Dia tahu apa yang bakal berlaku. Tambahan lagi, Tuhan Yehuwa boleh memastikan bahawa sesuatu peristiwa akan berlaku menurut tertib dan tujuan yang telah ditentukan-Nya.

6. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa mahu kita memahami nubuat Bible?

6 Yehuwa mahu umat-Nya memahami nubuat dalam Bible dan meraih manfaat daripadanya. Walaupun pandangan Tuhan terhadap masa adalah berbeza daripada kita, apabila Dia menubuatkan masa depan, Dia menggunakan bahasa yang senang kita fahami. (Baca Mazmur 90:4.) Sebagai contoh, buku Wahyu merujuk pada “keempat-empat malaikat” yang telah “dipersiapkan khas bagi jam, hari, bulan, dan tahun”—semuanya unit masa yang dapat kita faham. (Why. 9:14, 15) Nubuat Tuhan sentiasa digenapi tepat pada waktunya. Hal ini menguatkan iman kita terhadap Tuhan yang menguasai “musim dan masa,” dan terhadap Firman-Nya. Mari kita kupas beberapa contoh.

7. Bagaimanakah penggenapan nubuat Yeremia tentang Yerusalem dan Yehuda menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Penjaga Masa Yang Agung?

7 Mula-mula, mari kita kembali ke abad ketujuh SM. “Pada tahun keempat selepas Yoyakim putera Raja Yosia menjadi raja Yehuda,” nabi Yeremia “mendapat perkhabaran daripada Tuhan tentang semua penduduk Yehuda.” (Yer. 25:1) Yehuwa menubuatkan kejatuhan Yerusalem dan pembuangan orang Yahudi ke Babilon. Di sana, mereka akan “mengabdi kepada raja Babilonia selama tujuh puluh tahun.” Seperti yang dinubuatkan, orang Yahudi di Yehuda dibuang negeri semasa Yerusalem dibinasakan pada tahun 607 SM. Tetapi apakah yang akan berlaku pada akhir 70 tahun itu? Yeremia bernubuat, “Tuhan berfirman, ‘Apabila genap masa tujuh puluh tahun bagi Babilonia, Aku akan memperhatikan kamu lagi dan menepati janji-Ku  untuk membawa kamu pulang.’” (Yer. 25:11, 12; 29:10, ABB) Tepat seperti yang dinubuatkan, pada tahun 537 SM orang Yahudi dibebaskan oleh kuasa Media dan Persia lalu pulang ke Yerusalem.

8, 9. Bagaimanakah nubuat Daniel tentang kedatangan Mesias dan Kerajaan Tuhan menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang menguasai “musim dan masa”?

8 Mari kita lihat satu lagi nubuat tentang umat Tuhan pada masa kuno. Kira-kira dua tahun sebelum orang Yahudi meninggalkan Babilon, Tuhan bernubuat melalui nabi Daniel bahawa Mesias akan muncul 483 tahun selepas perintah dikeluarkan untuk membina semula Yerusalem. Raja Media dan Persia mengeluarkan perintah itu pada tahun 455 SM. Genap 483 tahun kemudian, iaitu pada 29 M, Yesus diurapi daya aktif Tuhan semasa pembaptisannya lalu menjadi Mesias yang dinubuatkan.​—Neh. 2:1, 5-8; Dan. 9:24, 25; Luk. 3:1, 2, 21, 22.

9 Apa pula yang dinyatakan dalam Bible tentang Kerajaan Tuhan? Nubuat Bible menunjukkan bahawa Kerajaan Mesias akan ditubuhkan di syurga pada tahun 1914. Sebagai contoh, Bible memberikan tanda kehadiran Yesus dan menyatakan bahawa Syaitan akan dibuang dari syurga dan mencetuskan banyak masalah di bumi. (Mat. 24:3-14; Why. 12:9, 12) Nubuat-nubuat Bible lain menyingkapkan bahawa “masa yang ditetapkan oleh Tuhan” bagi bangsa-bangsa telah berakhir pada tahun 1914. Bible juga menunjukkan bahawa Kristus menjadi raja pada tahun itu.​—Luk. 21:24; Dan. 4:10-17. *

10. Apakah peristiwa-peristiwa yang pasti berlaku tepat seperti yang dijadualkan Tuhan?

10 Tidak lama lagi, kesengsaraan besar yang dinubuatkan Yesus akan berlaku. Kemudian Pemerintahan Seribu Tahun Kristus akan bermula. Sudah tentu, semua peristiwa ini akan berlaku tepat seperti yang dijadualkan Tuhan. Semasa Yesus berada di bumi, Yehuwa telah pun menentukan “hari atau waktunya” hal-hal ini akan berlaku.​—Mat. 24:21, 36; Why. 20:6.

MASA ITU EMAS

11. Bagaimanakah hakikat bahawa kita sedang hidup pada akhir zaman patut mempengaruhi kita?

11 Apakah perasaan anda memandangkan Kerajaan Tuhan sedang memerintah dan kita sedang hidup pada “akhir zaman”? (Dan. 12:4) Ramai orang tahu bahawa keadaan dunia sedang merosot tetapi enggan mengaku bahawa nubuat Bible tentang hari-hari terakhir sedang digenapi. Ada yang percaya sistem dunia kita akan sendiri hancur binasa. Yang lain pula percaya bahawa manusia akan mengecap keamanan dan ketenteraman. (1 Tes. 5:3) Bagaimana pula dengan kita? Kita tahu bahawa pembinasaan dunia  Syaitan sudah di ambang pintu. Oleh itu, tidakkah kita patut menggunakan masa yang ada untuk menyembah Yehuwa dan membantu orang lain berbuat demikian juga? (2 Tim. 3:1) Ya, semoga kita tidak memboroskan masa.​—Baca Efesus 5:15-17.

12. Apakah yang boleh kita pelajari tentang kata-kata Yesus berhubung zaman Nuh?

12 Dunia ini yang penuh gangguan menyukarkan kita untuk ‘menggunakan setiap peluang bagi melakukan apa yang baik.’ Yesus berkata, “Apabila Anak Manusia datang kelak, masa itu seperti zaman Nuh.” Bagaimanakah sifat orang yang hidup pada zaman Nuh? Mereka jahat dan Tuhan telah menubuatkan bahawa mereka akan dibinasakan dalam sebuah banjir yang besar. (Mat. 24:37, ABB) Walaupun “Nuh mengisytiharkan kebenaran,” orang pada masa itu “makan dan minum, lelaki dan perempuan berkahwin” dan mereka tidak mengendahkan amarannya. Akhirnya mereka mati semasa banjir melanda. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Kamu pun hendaklah sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.” (2 Ptr. 2:5, nota kaki; Mat. 24:38, 39, 44) Kita tentu mahu meniru contoh Nuh dan bukannya orang yang hidup sezaman dengannya. Apakah yang boleh membantu kita?

13, 14. Walaupun kita tidak tahu bila Anak Manusia akan datang, apakah yang harus kita ingat?

13 Walaupun waktu kedatangan Anak Manusia adalah di luar sangkaan kita, kita harus ingat bahawa Yehuwa merupakan Penjaga Masa Yang Agung. Jadual waktu-Nya tidak bergantung pada peristiwa dunia mahupun rancangan manusia. Untuk melaksanakan kehendak-Nya, Yehuwa boleh menyebabkan suatu peristiwa berlaku tepat pada masa yang ditentukan-Nya. (Baca Daniel 2:21.) Sebenarnya Amsal 21:1 (ABB) menyatakan, ‘Yehuwa menguasai fikiran raja seperti Dia menentukan aliran sungai.’

14 Yehuwa boleh mengawal peristiwa di dunia agar kehendak dan tujuan-Nya tercapai. Banyak peristiwa besar yang berlaku di dunia sebenarnya menggenapi nubuat Bible, terutamanya nubuat tentang penyebaran berita baik Kerajaan Tuhan di serata dunia. Contohnya, fikirlah tentang kesan kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1989. Ramai orang tidak percaya bahawa perubahan sebesar ini akan terjadi dengan begitu cepat. Tetapi perubahan ini telah memberi kita kebebasan untuk menjalankan kerja penyebaran di lebih banyak tempat. Oleh itu, kita harus bijak menggunakan masa yang ada untuk menyembah Yehuwa, Tuhan yang menguasai “musim dan masa.”

PERCAYALAH PADA PENJAGA MASA AGUNG

15. Bagaimanakah kita dapat memperlihatkan iman semasa penyesuaian berlaku dalam organisasi Yehuwa?

15 Untuk menjalankan kerja penyebaran pada hari-hari terakhir ini, kita perlu yakin pada Yehuwa sebagai Penjaga Masa Yang Agung. Memandangkan keadaan di dunia sedang berubah, organisasi kita ada kalanya membuat penyesuaian agar kerja penyebaran kita lebih berkesan. Apabila kita bekerjasama dengan penyesuaian sebegini, kita memperlihatkan iman pada Yehuwa dan mentaati pimpinan Anak-Nya, “ketua kepada jemaah” Tuhan.​—Ef. 5:23.

16. Mengapakah kita boleh berasa yakin bahawa Yehuwa akan memberi kita bantuan yang diperlukan tepat pada waktunya?

16 Yehuwa mahu kita berdoa kepada-Nya pada bila-bila masa sahaja. Dia mahu kita yakin bahawa Dia akan membantu kita “pada masa kita memerlukan pertolongan.” (Ibr. 4:16) Ya, Yehuwa mengasihi kita. (Mat. 6:8; 10:29-31) Kita boleh menunjukkan kepercayaan  kepada Tuhan dengan berdoa secara tetap serta bertindak selaras dengan doa kita dan bimbingan-Nya. Kita juga boleh berdoa untuk rakan seiman.

17, 18. (a) Tidak lama lagi, apakah yang akan Yehuwa lakukan terhadap musuh-musuh-Nya? (b) Apakah jerat yang harus kita hindari?

17 Sekarang bukanlah masanya untuk mengizinkan ‘iman kita menjadi lemah.’ Sekaranglah masanya untuk mengukuhkan iman kita. (Rm. 4:19, 20) Syaitan dan semua di bawah pengaruhnya mahu menghentikan kerja yang ditugaskan oleh Yesus kepada kita. (Mat. 28:19, 20) Walaupun kita diserang oleh Syaitan, kita tahu bahawa Yehuwa ialah ‘Tuhan yang hidup, Penyelamat semua orang, terutama sekali orang yang percaya kepada-Nya.’ Ya, “Tuhan tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan.”​—1 Tim. 4:10; 2 Ptr. 2:9.

18 Tidak lama lagi, Yehuwa akan membinasakan sistem yang buruk ini. Meskipun kita tidak tahu bila dan bagaimana hal ini akan berlaku, kita boleh berasa yakin bahawa pada masa yang paling sesuai, Kristus akan membanteras semua musuh Tuhan dan kedaulatan Yehuwa akan ditegakkan. Oleh itu jangan sekali-kali lupa bahawa kita sedang hidup pada “masa dan waktu” yang genting. Janganlah terpedaya meskipun orang ramai berfikir bahawa “segala-galanya masih sama sahaja seperti sejak kejadian alam.”​—1 Tes. 5:1; 2 Ptr. 3:3, 4.

SABAR “MENANTIKAN TUHAN”

19, 20. Mengapakah kita harus “menantikan Tuhan”?

19 Tujuan asal Yehuwa untuk manusia adalah supaya kita mempunyai kehidupan abadi untuk mengenali-Nya dan menerokai ciptaan-Nya. Pengkhutbah 3:11 (NW) menyatakan, “Dia telah membuat segala sesuatu indah pada waktunya. Bahkan Dia menyematkan di hati manusia kesedaran bahawa masa itu abadi, tetapi mereka tidak mungkin akan memahami kerja yang dilakukan oleh Tuhan yang benar sejak mula hingga akhir.”

20 Yehuwa ialah Tuhan yang “tidak berubah.” Dia tidak akan mengubah tujuan-Nya bagi manusia. (Mal. 3:6; Yak. 1:17) Sebagai “Raja yang kekal,” pandangan Yehuwa terhadap masa berbeza daripada pandangan manusia. (1 Tim. 1:17) Oleh itu, semoga kita sabar “menantikan Tuhan.” (Mi. 7:7) Ya, “semua yang berharap kepada Tuhan” digalakkan untuk menguatkan dan meneguhkan hati mereka.​—Mzm. 31:25, ABB.

[Nota kaki]

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 19]

Daniel beriman terhadap penggenapan nubuat Tuhan

[Gambar pada muka surat 21]

Adakah anda bijak menggunakan masa untuk berkhidmat kepada Tuhan?