Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yesus Rela Membantu Orang Mengenal Bapanya

Yesus Rela Membantu Orang Mengenal Bapanya

 Yesus Rela Membantu Orang Mengenal Bapanya

“Tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak serta mereka yang diberitahukan oleh Anak tentang Bapa.”​—LUK. 10:22.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Mengapakah Yesus paling layak membantu orang mengenal Bapanya?

Bagaimanakah Yesus membantu orang lain mengenal Bapanya?

Bagaimanakah anda boleh meniru Yesus dan membantu orang lain mengenal Bapa?

1, 2. Apakah soalan yang telah membingungkan ramai, dan mengapa?

“SIAPAKAH Tuhan?” Soalan ini membuat ramai orang bingung. Sebagai contoh, banyak orang yang mengaku diri sebagai orang Kristian percaya bahawa Tuhan ialah Tritunggal. Namun, ramai mengaku bahawa ajaran ini tidak dapat difahami. Seorang penulis yang juga pemimpin gereja mengaku, “Doktrin ini mustahil difahami minda manusia. Ajarannya berada di luar lingkungan penjelasan yang masuk akal.” Ada pula orang yang percaya pada teori evolusi. Bagi mereka, Tuhan tidak wujud dan segala ciptaan wujud secara kebetulan. Namun, Charles Darwin tidak menafikan kewujudan Tuhan. Dia berkata, “Bagi saya, kesimpulan yang paling wajar adalah bahawa topik tentang Tuhan tidak dapat difahami manusia.”

2 Hampir semua orang dari pelbagai kepercayaan pernah berfikir tentang kewujudan Tuhan. Namun, apabila mereka tidak mendapat jawapan yang memuaskan, ramai tidak lagi mencari Tuhan. Syaitan telah “menjadikan fikiran mereka tertutup.” (2 Kor. 4:4) Itulah sebabnya kebanyakan orang berasa keliru dan tidak mengetahui kebenaran tentang Bapa, iaitu Pencipta alam semesta!​—Yes. 45:18.

3. (a) Siapakah yang memberitahu kita tentang Pencipta? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?

3 Namun, orang perlu mempelajari kebenaran tentang Yehuwa. Hal ini penting kerana hanya mereka yang “berseru kepada [Yehuwa]” akan diselamatkan. (Rm. 10:13) Untuk berseru kepada Tuhan, seseorang perlu mengenal-Nya. Yesus Kristus telah membantu para pengikutnya mengenal Bapa. (Baca Lukas 10:22.)  Mengapakah Yesus paling layak membantu orang mengenal Bapa? Bagaimanakah Yesus berbuat demikian? Seperti Yesus, bagaimanakah kita boleh membantu orang lain mengenal Bapa? Kita akan membincangkan soalan-soalan ini.

YESUS KRISTUS PALING LAYAK

4, 5. Mengapakah Yesus paling layak memberitahu kita tentang Bapanya?

4 Yesus paling layak membantu orang mengenal Bapanya. Mengapa? Sebelum hidupan yang lain diciptakan, ‘Anak tunggal Bapa’ telah wujud di syurga sebagai makhluk roh. (Yoh. 1:14; 3:18) Kedudukannya sungguh istimewa! Anak telah mendapat perhatian penuh Bapanya serta mengenal Bapa dan pelbagai sifat-Nya. Sepanjang masa yang tidak terhitung itu, Bapa dan Anak pasti banyak berkomunikasi dan menjalin ikatan kasih yang kukuh. (Yoh. 5:20; 14:31) Bayangkan betapa dalamnya pengetahuan Anak tentang sifat-sifat Bapanya!​—Baca Kolose 1:15-17.

5 Bapa telah melantik Anak sebagai jurucakap, atau ‘Firman-Nya.’ (Why. 19:13) Maka, Yesus paling layak membantu orang mengenal Bapa. Rasul Yohanes menulis bahawa Yesus berada “di sisi Bapa.” (Yoh. 1:18) Ungkapan ini menggambarkan satu kelaziman pada zaman Yohanes. Semasa makan, seorang tetamu akan mengambil tempat duduknya di sisi seorang yang lain. Memandangkan kedua-duanya duduk di kerusi panjang yang sama, amat mudah bagi mereka untuk berbual. Jadi, Anak yang berada “di sisi Bapa” telah berbual dengan-Nya dari hati ke hati.

6, 7. Bagaimanakah hubungan Bapa dengan Anak bertambah erat?

6 Hubungan Bapa dengan Anak kian rapat. Setiap hari, Anak telah menjadi “sumber kebahagiaan [Tuhan].” (Baca Amsal 8:22, 23, 30, 31.) Apabila Bapa dan Anak bekerja bersama-sama, dan semasa Anak meniru sifat-sifat Bapanya, hubungan mereka bertambah akrab. Setelah makhluk-makhluk lain diciptakan, Anak telah memperhatikan bagaimana Yehuwa melayan setiap individu. Hal ini pasti menyebabkannya lebih menghargai keperibadian Tuhan.

7 Kemudian, Syaitan mencabar kedaulatan Yehuwa. Anak telah berpeluang mempelajari bagaimana Yehuwa memperlihatkan kasih, keadilan, kebijaksanaan, dan kuasa semasa menghadapi masalah. Hal ini tentu membantu Yesus untuk menangani cabaran yang bakal dihadapinya semasa di bumi.​—Yoh. 5:19.

8. Bagaimanakah catatan Bible tentang Yesus membantu kita mengenal sifat-sifat Bapa?

8 Oleh sebab Anak begitu rapat dengan Bapa, dia dapat memberitahu kita tentang Yehuwa dengan terperinci sekali. Ajaran dan kelakuan Anak tunggal Bapa merupakan cara yang terbaik untuk mengenal Bapa. Misalnya, fikirkan betapa susahnya untuk memahami maksud perkataan “kasih” dengan hanya merujuk kepada kamus. Namun, dengan merenungkan catatan Bible tentang cara Yesus menginjil dan membantu orang lain, kita dapat memahami maksud ‘Tuhan itu kasih.’ (1 Yoh. 4:8, 16) Kita juga dapat mengenal sifat-sifat Tuhan yang lain menerusi kata-kata dan kelakuan Yesus ketika di bumi.

CARA YESUS MEMBANTU KITA MENGENAL BAPA

9. (a) Nyatakan dua cara Yesus membantu orang mengenal Bapa. (b) Berikan contoh yang menunjukkan bagaimana Yesus membantu orang mengenal Bapa menerusi ajarannya.

9 Bagaimanakah Yesus membantu murid-muridnya  mengenal Bapa? Melalui dua cara: ajarannya dan kelakuannya. Kita akan membincangkan ajaran Yesus dahulu. Ajaran Yesus menunjukkan bahawa dia sangat mengenal fikiran, perasaan, dan tindakan Bapanya. Contohnya, Yesus menyamakan Bapa dengan pemilik kawanan domba yang berusaha mencari seekor domba yang sesat. Semasa domba itu ditemui, “kegembiraannya atas domba yang seekor itu lebih besar daripada kegembiraannya atas sembilan puluh sembilan ekor domba lainnya yang tidak sesat.” Apakah iktibar daripada cerita itu? ‘Demikian juga Bapa kamu yang di syurga tidak mahu salah seorang pengikut yang kecil ini sesat,’ jelas Yesus. (Mat. 18:12-14, ABB) Menerusi cerita ini, apakah yang telah anda pelajari tentang Yehuwa? Kadangkala anda mungkin berasa tidak bernilai dan dilupakan. Namun ingatlah bahawa Bapa anda di syurga prihatin terhadap anda. Bagi-Nya, anda juga sangat berharga.

10. Bagaimanakah Yesus membantu orang mengenal Bapa menerusi kelakuannya?

10 Cara kedua Yesus membantu muridnya mengenal Bapa adalah menerusi kelakuannya. Semasa Filipus meminta Yesus, “Tunjukkanlah Bapa kepada kami,” Yesus menjawab, ‘Orang yang sudah melihat aku, sudah melihat Bapa.’ (Yoh. 14:8, 9) Perhatikan bagaimana Yesus memperlihatkan sifat-sifat Bapanya. Apabila seorang pesakit kusta meminta bantuan Yesus, dia telah menyentuh orang yang “berpenyakit kulit yang mengerikan” itu lalu berkata, “Aku mahu, sembuhlah!” Orang itu pasti sedar bahawa Yehuwalah yang memberi Yesus kuasa untuk menyembuhkannya. (Luk. 5:12, 13) Selain itu, semasa Lazarus meninggal, pengikut Yesus tentu merasai belas kasihan Bapa ketika Yesus “sedih hati dan terharu” lalu menangis. Meskipun Yesus tahu bahawa dia akan membangkitkan Lazarus, dia telah merasai keperitan yang menyelubungi keluarga dan sahabat Lazarus. (Yoh. 11:32-35, 40-43) Bible mengandungi banyak catatan lain tentang perbuatan Yesus yang menunjukkan belas kasihan Bapa. Apakah contoh yang anda gemari?

11. (a) Semasa Yesus menghalau orang yang mencemari Rumah Tuhan, apakah sifat Bapanya yang ditunjukkan? (b) Mengapakah kisah ini melegakan hati kita?

11 Pernah sekali, Yesus menghalau orang yang mencemari Rumah Tuhan. Apakah yang dapat anda pelajari daripada kisah ini? Bayangkan apa yang berlaku: Yesus membuat cemeti daripada tali, lalu mengusir orang yang menjual lembu dan bebiri. Dia menunggangbalikkan meja penukar wang sehingga wang mereka berhamburan. (Yoh. 2:13-17) Tindakan tegas Yesus mengingatkan pengikutnya  tentang nubuat Raja Daud, “Cintaku untuk Rumah-Mu berkobar-kobar seperti api.” (Mzm. 69:10) Tindakan Yesus menunjukkan bahawa dia ingin mempertahankan ibadat sejati dengan sungguh-sungguh. Dapatkah anda mengenal sifat Bapa daripada kisah itu? Kita diingatkan bahawa Tuhan bukan sahaja mempunyai kuasa yang tidak terbatas untuk melenyapkan kejahatan dari muka bumi, malah Dia ingin berbuat demikian. Reaksi Yesus terhadap perbuatan salah menunjukkan perasaan Bapa semasa melihat kejahatan yang membanjiri bumi hari ini. Tidakkah hal ini melegakan hati kita semasa kita ditindas?

12, 13. Apakah yang anda pelajari tentang Yehuwa daripada cara Yesus melayan para pengikutnya?

12 Fikirkan juga bagaimana Yesus melayan para pengikutnya. Mereka asyik bertengkar tentang siapa yang terbesar. (Mrk. 9:33-35; 10:43; Luk. 9:46) Yesus telah menghabiskan banyak masa bersama Bapa, maka dia tahu perasaan Yehuwa terhadap sikap megah diri. (2 Sam. 22:28; Mzm. 138:6) Lagipun, Yesus telah melihat Syaitan Si Iblis menunjukkan sikap sedemikian. Makhluk yang ego itu gilakan kedudukan dan kemasyhuran. Oleh itu, betapa sedihnya Yesus ketika pengikutnya terus bersikap sombong! Bahkan rasul-rasulnya juga menunjukkan sikap ini sehingga hari terakhir Yesus di bumi! (Luk. 22:24-27) Namun, Yesus masih menegur mereka dengan baik hati. Dia sentiasa berharap agar mereka akan meniru kerendahan hatinya.​—Flp. 2:5-8.

13 Yesus telah bersabar sambil membetulkan kesilapan pengikutnya. Dapatkah anda melihat sifat-sifat Bapa dalam hal ini? Menerusi pertuturan dan perbuatan Yesus, dia memberitahu kita bahawa Bapa tidak meninggalkan umat-Nya meskipun mereka melakukan kesilapan. Setelah memikirkan sifat-sifat Tuhan ini, tidakkah kita didorong untuk berdoa dan meminta pengampunan-Nya apabila kita tersilap langkah?

ANAK RELA MEMBANTU ORANG MENGENAL BAPANYA

14. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia sudi membantu orang mengenal Bapanya?

14 Ramai pemerintah yang zalim merahsiakan maklumat daripada rakyat agar dapat mengawal mereka. Yesus sangat berbeza. Dia sudi berkongsi maklumat tentang Bapanya. (Baca Matius 11:27.) Selain itu, Yesus ‘memberi pengikutnya pengertian, supaya mereka mengenal Tuhan yang benar,’ Yehuwa. (1 Yoh. 5:20) Ya, Yesus telah membuka minda pengikutnya supaya mereka boleh memahami ajarannya tentang Bapa. Dia tidak menggambarkan Bapanya sebagai Tritunggal yang misteri dan mustahil difahami.

15. Mengapakah Yesus tidak menceritakan segala-gala tentang Bapa kepada pengikutnya?

15 Adakah Yesus menceritakan segala-gala tentang Bapa kepada pengikutnya? Tidak. (Baca Yohanes 16:12.) Tindakan Yesus bijak kerana mereka “belum sanggup” atau bersedia untuk menerimanya. Tetapi Yesus menjelaskan bahawa banyak pengetahuan akan diberikan apabila “Penolong,” iaitu daya aktif Tuhan datang dan membantu mereka “mengetahui segala kebenaran.” (Yoh. 16:7, 13) Ibu bapa yang bijak akan memberitahu anak mereka sesetengah maklumat hanya apabila anak-anak cukup besar untuk memahaminya. Begitu juga, Yesus telah mengambil kira keterbatasan  pengikutnya. Dia telah menunggu sehingga mereka lebih matang.

MENIRU YESUS DENGAN MEMBANTU ORANG LAIN MENGENAL YEHUWA

16, 17. Mengapakah anda boleh membantu orang lain mengenal Bapa?

16 Setelah mengenal seseorang yang pengasih, tidakkah anda terdorong untuk memberitahu orang lain tentangnya? Semasa di bumi, Yesus memberitahu orang lain tentang Bapanya. (Yoh. 17:25, 26) Bolehkah kita meniru teladannya?

17 Kita tahu bahawa Yesus paling mengenal Bapanya. Namun, dia rela berkongsi pengetahuannya. Dia bahkan memberi pengikutnya pengertian supaya mereka dapat memahami sifat-sifat Tuhan dengan lebih mendalam. Hari ini ramai orang tidak mengenal Tuhan. Namun, tidakkah kita bersyukur kerana ajaran dan kelakuan Yesus telah membantu kita mengenal Bapanya dan menghargai keperibadian-Nya? Sebenarnya, kita patut berbangga kerana mengenal Bapa. (Yer. 9:24; 1 Kor. 1:31) Setelah kita berusaha menghampiri Yehuwa, Dia juga menghampiri kita. (Yak. 4:8) Kini, kita juga dapat membantu orang lain mengenal Bapa. Bagaimanakah kita boleh berbuat demikian?

18, 19. Jelaskan bagaimana anda dapat membantu orang lain untuk mengenal Bapa.

18 Seperti Yesus, kita perlu membantu orang mengenal Bapa menerusi tutur kata dan perbuatan kita. Ingatlah bahawa ramai yang kita temui semasa menginjil tidak mengenal Tuhan. Pandangan mereka terhadap Tuhan mungkin dikaburi ajaran palsu. Maka kita boleh memberitahu mereka nama Tuhan, tujuan-Nya bagi manusia, dan sifat-sifat-Nya yang tercatat dalam Bible. Tambahan lagi, kita boleh berbincang dengan rakan seiman tentang catatan Bible yang membantu kita memahami sifat-sifat Tuhan dari sudut pandangan yang baru.

19 Bagaimanakah kelakuan anda boleh membantu orang lain mengenal Bapa? Apabila perbuatan kita mencerminkan kasih Kristus, mereka akan tertarik kepada Bapa dan Yesus. (Ef. 5:1, 2) Rasul Paulus menggalakkan kita, “Ikutlah teladanku, sebagaimana aku pun mengikut teladan Kristus.” (1 Kor. 11:1, ABB) Kita diberi penghormatan besar untuk membantu orang mengenal Yehuwa menerusi kelakuan kita. Semoga kita terus membantu orang lain mengenal Bapa seperti yang dilakukan Yesus.

[Soalan Pembelajaran]